+ All Categories
Home > Documents > Melayu di Persimpangan

Melayu di Persimpangan

Date post: 10-Nov-2023
Category:
Upload: independent
View: 0 times
Download: 0 times
Share this document with a friend
82
Melayu di Persimpangan Written by NIK AHMAD AZMI BIN NIK MD. DAUD Hits: 5330 MUKADDIMAH SAYA bukan anti-Melayu. Kalau saya bersikap anti-Melayu, saya tidak akan membuang masa menulis buku ini. Malah saya tidak akan membenarkan sesiapa pun di kalangan kaum kerabat saya menulisnya. Sekiranya usaha penulisan itu telah dibuat sekali pun, saya barangkali tergamak untuk memusnahkan manuskripnya. Jika buku ini ditulis oleh orang lain, dan saya pula seorang yang anti-Melayu, saya akan pastikan tangan saya tidak menyentuhnya. Saya akan haramkan buku ini daripada berada dalam lingkungan kawasan rumah saya. Malah saya barangkali akan membakarnya. Saya juga bukan ultra-Melayu. Bukan chauvinist yang bergerak dengan perspektif perjuangan yang bersifat parokial. Bukan seorang yang berhajat untuk menjadi jaguh pada bangsanya, tetapi pada masa yang sama menjadi petualang pada negaranya. Saya mahu terkecuali daripada semua itu. Buku ini ditulis kerana tiga sebab besar. Pertama, kerana saya Melayu; kedua, kerana saya mahu terus menjadi Melayu dan ketiga, kerana saya tidak mahu bangsa saya ‘melayu’ dalam jerit pekik ‘Hidup Melayu’nya! Dalam mengusahakan buku ini saya berhadapan dengan halangan yang tidak sedikit.Kebanyakannya halangan yang datang dan dalam diri. Dilahir dan dibesarkan sebagai Melayu menyebabkan saya memiliki banyak ‘kekurangan’. Saya, macam Melayu lain, diasuh dengan terlalu pelbagai nilai yang tidak begitu memberikan keuntungan jangka pendek. Saya tidak boleh terlalu berterus terang kerana ianya akan dianggap biadap. Apabila bercakap saya perlu beralas dan berkias. Perlu berlembut dan berhemah. Perlu mengikut resmi menarik rambut di dalam tepung. Di sinilah dilema saya. Apabila terfikir untuk menulis buku ini saya beranggapan bahawa ada Melayu, atau lebih tepat lagi, banyak Melayu yang sedang lena. Saya bermaksud untuk mengejutkan mereka. Tetapi jika menggoncang tubuh dan menghentak lantai dianggap biadap, bagaimanakah saya hendak melakukannya? Bolehkah mereka dikejutkan hanya dengan bisikan atau elusan? Akhirnya, di hujung dilema itu, saya memilih jalan yang mungkin melanggar asuhan emak bapa dan datuk nenek kita. Saya cuba berpegang pada kata-kata sesetengah orang, ada kalanya kita perlu berkurang ajar walaupun bukan dengan niat dan hajat hendak menderhaka kepada sesiapa, terutama kepada orang tua kita. Hasilnya, saya memutuskan untuk menulis buku ini dengan cara yang paling berterus terang. Saya akan menegur apa yang patut saya tegur. Saya akan mengata apa yang patut dikata. Saya tidak akan memekup bangkai dengan nyiru hanya semata-mata kerana mahu mempertahankan budi dan bahasa.
Transcript

Melayu di Persimpangan

Written by NIK AHMAD AZMI BIN NIK MD. DAUD

Hits: 5330

MUKADDIMAH

SAYA bukan anti-Melayu. Kalau saya bersikap anti-Melayu, saya tidak akan membuang

masa menulis buku ini. Malah saya tidak akan membenarkan sesiapa pun di kalangan kaum

kerabat saya menulisnya. Sekiranya usaha penulisan itu telah dibuat sekali pun, saya

barangkali tergamak untuk memusnahkan manuskripnya.

Jika buku ini ditulis oleh orang lain, dan saya pula seorang yang anti-Melayu, saya akan

pastikan tangan saya tidak menyentuhnya. Saya akan haramkan buku ini daripada berada

dalam lingkungan kawasan rumah saya. Malah saya barangkali akan membakarnya.

Saya juga bukan ultra-Melayu. Bukan chauvinist yang bergerak dengan perspektif perjuangan

yang bersifat parokial. Bukan seorang yang berhajat untuk menjadi jaguh pada bangsanya,

tetapi pada masa yang sama menjadi petualang pada negaranya.

Saya mahu terkecuali daripada semua itu.

Buku ini ditulis kerana tiga sebab besar. Pertama, kerana saya Melayu; kedua, kerana saya

mahu terus menjadi Melayu dan ketiga, kerana saya tidak mahu bangsa saya ‘melayu’ dalam

jerit pekik ‘Hidup Melayu’nya!

Dalam mengusahakan buku ini saya berhadapan dengan halangan yang tidak

sedikit.Kebanyakannya halangan yang datang dan dalam diri.

Dilahir dan dibesarkan sebagai Melayu menyebabkan saya memiliki banyak ‘kekurangan’.

Saya, macam Melayu lain, diasuh dengan terlalu pelbagai nilai yang tidak begitu memberikan

keuntungan jangka pendek. Saya tidak boleh terlalu berterus terang kerana ianya akan

dianggap biadap. Apabila bercakap saya perlu beralas dan berkias. Perlu berlembut dan

berhemah. Perlu mengikut resmi menarik rambut di dalam tepung.

Di sinilah dilema saya. Apabila terfikir untuk menulis buku ini saya beranggapan bahawa ada

Melayu, atau lebih tepat lagi, banyak Melayu yang sedang lena. Saya bermaksud untuk

mengejutkan mereka.

Tetapi jika menggoncang tubuh dan menghentak lantai dianggap biadap, bagaimanakah saya

hendak melakukannya? Bolehkah mereka dikejutkan hanya dengan bisikan atau elusan?

Akhirnya, di hujung dilema itu, saya memilih jalan yang mungkin melanggar asuhan emak

bapa dan datuk nenek kita. Saya cuba berpegang pada kata-kata sesetengah orang, ada

kalanya kita perlu berkurang ajar walaupun bukan dengan niat dan hajat hendak menderhaka

kepada sesiapa, terutama kepada orang tua kita.

Hasilnya, saya memutuskan untuk menulis buku ini dengan cara yang paling berterus terang.

Saya akan menegur apa yang patut saya tegur. Saya akan mengata apa yang patut dikata.

Saya tidak akan memekup bangkai dengan nyiru hanya semata-mata kerana mahu

mempertahankan budi dan bahasa.

Kalau ada sekerat dua Melayu yang menganggap pendekatan yang dipilih ini agak biadap dan

kurang ajar, biarkanlah. Saya tidak akan membuang masa menahan Luncai daripada terjun

dengan labu-labunya. Jika mereka mahu mengkhianati bangsa mereka dengan memejamkan

mata terhadap segala salah silap yang ada, saya tidak berhak menahan.

Melepasi halangan pertama mendepankan saya dengan halangan lain yang lebih menyulitkan.

Secara kiasannya, dilema saya kali ini ialah, apabila mula menulis buku ini bermakna saya

juga akan mula menepuk air di dulang. Saya tahu banyak atau sedikit percikan itu akan

tempias mengena saya.

Keadaan menjadi lebih payah kerana yang ada di hadapan saya bukan setakat satu atau dua

dulang. Jumlahnya terlalu banyak. Yang mana patut saya tepuk? Kesemua sekali atau hanya

sebilangan? Kalau kesemua sekali, mampukah saya? Kalau sebilangan, tidakkah pula nanti

saya dikatakan melakukan ‘tepukan terpilih’ yang lambat laun akan disamakan orang dengan

‘pendakwaan terpilih’, istilah yang popular di kalangan sesetengah golongan rakyat

sekarang?

Semuanya menyulitkan. Saya tersepit antara mahu jujur atau mahu memalsukan kejujuran.

Jika mahu jujur ertinya,saya harus menepuk ke semua dulang tanpa mengira siapa pun yang

berada di tepinya. Sebaliknya, jika mahu memalsukan kejujuran pula bermakna saya akan

memilih dulang-dulang tertentu sahaja dan membiarkan yang lain tidak terusik sehingga

berlumut.

Saya teringat ungkapan Pluto dalam The Republic, ‘kejujuran, dalam banyak keadaan, jarang

membawa keuntungan berbanding dengan ketidak-jujuran’. Ianya menjadi peringatan yang

‘menakutkan’. Tetapi akhirnya hati Melayu saya berkata, kalaulah saya akan rugi kerana

berlaku jujur, maka saya sanggup menanggung kerugian itu seumur hidup.

Saya tidak tahu apa perasaan Munsyi Abdullah apabila dia menulis tentang perkara-perkara

kurang baik, khususnya mengenai perangai dan resam orang Melayu. Tetapi saya percaya Dr.

Mahathir mengalami peperangan besar dengan perasaannya sewaktu menulis ‘Malay

Dilemma’. Dia juga tentu tersepit antara mahu berkata benar dan kemudian melukakan

bangsanya, atau mahu memilih yang baik-baik dan kemudian melenakan mereka.

Mahathir memilih yang pertama. Dia memilih untuk menjadi tidak popular demi kerana

mahu mempopularkan bangsanya.

Saya tidak mahu menjadi Mahathir. Saya tidak mahu terperangkap dalam keinginan mahu

menjadi orang lain yang telah cukup banyak menjebak orang Melayu. Saya percaya bahawa

sesuatu aliran, isme atau dogma bukan untuk ditiru, tetapi untuk diperjuangkan. Dalam

kebanyakan keadaan, budaya bapa borek anak rintik harus dihentikan daripada menjadi

amalan orang Melayu. Ianya telah menyebabkan terlalu banyak Melayu yang mengulangi

kesilapan bapa mereka, sebagaimana si bapa mengulangi kesilapan bapanya.

‘Dilema Melayu’ sekarang ini telah menjadi sejarah. Bukan sejarah yang mati, tetapi

sebaliknya yang terus hidup bersama urat nadi Melayu. Tidak siapa pun dapat menyangkal

bahawa ia menjadi karya besar yang membuka ruang pada berlakunya anjakan demi anjakan

pradigma orang Melayu.

Tetapi ‘Dilema Melayu’ bukanlah suatu mukjizat. Ia tidak akan terpelihara sepanjang zaman.

Mahathir menulisnya lebih 30 tahun lalu. Sepanjang tempoh 30 tahun itu telah terlalu banyak

perkara berlaku. Orang Melayu telah melalui perubahan yang tidak sedikit. Kalau 30 tahun

lalu Melayu menjadi bangsa yang terpencil di bumi sendiri, kini Melayu tegak sebagai nama

besar hatta di persada antarabangsa. Kalau 30 tahun lalu Melayu merupakan bangsa yang

dianggap sakit, kini Melayu lebih tepat dilabelkan sebagai bangsa sihat yang suka mencari

penyakit.

Menyedari bahawa tempoh tiga dekad sejak terhasilnya ‘Dilema Melayu’ hingga sekarang itu

bukan satu jangka waktu yang pendek, saya merasakan banyak ruang yang pernah disentuh

oleh buku tersebut perlu dijenguk semula. Pada masa yang sama ada banyak elemen-elemen

baru yang dahulunya mungkin tidak pernah dijangka oleh Mahathir, kini berlaku dan

menyentuh soal survival Melayu.

30 tahun dahulu masalah Melayu lebih banyak berkisar pada soal hak, khususnya di segi

ekonomi. Kini selepas 30 tahun masalah itu sudah tidak menjadi agenda besar bagi orang

Melayu - sekurang-kurangnya itulah anggapan mereka sekarang. Yang menanti orang

Melayu adalah cabaran lain yang lebih besar. Cabaran terhadap jati diri. Cabaran terhadap

hala tuju. Cabaran yang lebih bersifat globalisasi.

Kalau 30 tahun dahulu ‘Dilema Melayu’ muncul dengan gagasan-gagasan untuk mengajar

Melayu bagaimana hendak melangkah, kini agendanya ialah ke mana hendak melangkah.

Soal hala tuju inilah yang menjadi intipati kandungan ‘Melayu Di Persimpangan’.

Kalau Mahathir mendapat ilham untuk menghasilkan ‘Dilema Melayu’nya dalam satu

seminar di Kuala Lumpur pada tahun 1966, ekoran percanggahan pendapatnya dengan

Profesor Diraja Ungku Aziz, saya pula terfikir tentang haluan bangsa saya ini selepas sekian

lama mengikuti dari dekat setiap peristiwa besar yang berlaku dalam lingkungan sosiopolitik

orang Melayu. Kemuncaknya tiba apabila timbul peristiwa sekumpulan orang-orang Cina

yang menganggotai sebuah jawatankuasa yang dinamakan Suqui mengemukakan tuntutan 17

perkara kepada kerajaan, termasuk ‘Mengkaji Semula Hak Keistimewaan Orang Melayu’.

Banyak Melayu yang tersentak dengan tuntutan itu. Tetapi saya tidak mahu hanya sekadar

tersentak. Saya mahu bangun. Dan dengan buku ini saya mahu mengajak semua Melayu lain

supaya turut bangun!

Nik A. Azmi

11.11. 2000

Kuala Lumpur

BAHAGIAN SATU

AKAR UMBI MELAYU

1 MELAYU BANGSA BESAR

‘MELAYU sebenarnya bangsa yang besar.’

Mungkin suatu masa nanti kata-kata itu akan menjadi dendangan yang cukup muluk untuk

menghiburkan hati anak cucu. Ia menjadi seperti tarian lelaki-lelaki Gypsy di Eropah yang

menggambarkan keperwiraan nenek moyang mereka tatkala masih di benua kecil India. Ia

diiring melodi yang penuh bersemangat; cukup untuk menyebabkan Gypsy-Gypsy yang

menontonnya terlupa bahawa mereka adalah bangsa yang tidak lagi mempunyai negeri!

‘Melayu sebenarnya bangsa yang besar!’

Para pemimpin kita, datuk nenek kita, bijak pandai kita tidak pernah jemu-jemu mengulang

frasa itu. Asal ada konvensyen, ada seminar, ada tempat untuk berucap, ada kertas untuk

ditulis, ada ruang untuk bercakap dan ada orang bersedia mendengar, mereka akan

mengulangi, atau setidak-tidaknya

menyelitkan sejarah kegemilangan lampau bangsa Melayu.

Tujuannya amat jelas. Mereka bermaksud untuk membangkitkan semangat bangsa mereka.

Mereka mahu kita sama-sama sedar bahawa Melayu bukannya bangsa kecil yang boleh

diperlekehkan. Melayu pernah gemilang. Melayu pernah hebat. Melayu pernah menjadi

kuasa yang disegani dan digeruni.

Dasar pandang belakang ini dalam banyak keadaan memang membawa kebaikan. Setakat

sekarang ia berjaya menghidupkan jiwa orang Melayu. Mampu mencetuskan semangat untuk

ikut bersaing. Mampu membangkitkan impian kita untuk kembali menjadi besar seperti

dahulu.

Tetapi kekerapan melihat ke belakang juga kalau tersilap diamalkan boleh mendepankan

orang Melayu dengan masalah lain. Mereka mungkin lupa pada apa yang ada di depan.

Mereka mungkin lupa untuk mengimbangkan antara kegemilangan silam dengan

kemungkinan-kemungkinan yang bakal mendatang.

Di sinilah dilemanya sekarang. Dalam ghairah mengejar kegemilangan, yang pernah dimiliki

tetapi kemudian hilang itu, Melayu sering lupa tempat berpijak dan berdiri. Dengan perkataan

lain, Melayu mudah lupa diri.

Kenapa ini terjadi?

Jawapannya mungkin berbagai, tetapi satu di antara yang penting ialah, Melayu sebenarnya

tidak kenal diri dan bila seseorang itu tidak kenal dirinya jangan hairanlah jika ia mudah

kehilangan hala dan arah.

Cubalah buat kajian rambang, berapa kerat Melayu yang tahu asal keturunannya?

Tidak ramai. Kebanyakan Melayu cuma tahu salasilah keluarganya sehingga ke peringkat

moyangnya sahaja. Jarang yang tahu lebih daripada itu. Malah bagi anak-anak Melayu

generasi siber ini, ada yang sudah tidak tahu nama datuk atau neneknya sendiri.

Lakukanlah kajian yang sama ke atas mereka yang bukan Melayu. Kebanyakan keluarga

Cina mempunyai rekod susur galur salasilah yang teratur. Jika mereka tidak menyimpannya

secara peribadi, persatuan-persatuan yang mewakili nasab mereka akan melakukannya.

Seorang budak lelaki Cina barangkali boleh bercerita dengan baik bagaimana moyangnya

dahulu meninggalkan Swatow dengan kapal yang sarat dengan ribuan penumpang bersama

keping keping siling di saku. Tetapi jangan terkejut jika banyak budakbudak Melayu yang

tidak tahu bagaimana bapanya mula merantau ke Kuala Lumpur sepuluh atau lima belas

tahun lalu.

Apakah kesimpulan kasar yang boleh dibuat daripada kenyataan-kenyataan di atas?

Mudah. Ia mencerminkan sikap Melayu yang kurang cenderung melihat ke dalam dirinya.

Tidak mengambil berat tentang susur galur keluarga adalah gambaran terhadap tidak

wujudnya perasaan menghargai keluarga sendiri. Dan orang yang tidak menghargai keluarga

sendiri jarang sekali boleh diharap untuk menghargai bangsanya kerana bangsa sesungguhnya

bermula daripada keluarga!

Semua orang tahu majoriti penduduk asal yang berketurunan Inggeris di Australia adalah

penjenayah penjenayah yang dibuang negeri. Tidak lama selepas bermulanya penguasaan

Inggeris ke atas pulau besar itu pada tahun 1778, Australia menjadi tempat humbanan segala

jenis penjahat. Jika orang-orang Australia melihat salasilah keturunan mereka sehingga ke

tarikh itu, sudah tentu mereka patut menutup muka setiap kali muncul di depan khalayak.

Malah mereka mungkin berhak meludah kubur nenek moyang masing-masing.

Tetapi mereka tidak pula berbuat begitu. Sebaliknya orang Australia terbilang sebagai jenis

manusia yang cukup berbangga dengan keturunannya. Untuk mengelak daripada dikaitkan

dengan penjenayah-penjenayah buangan pada abad ke-18, mereka bersusah payah mencari

susur galur keturunan mereka hingga ke akar umbinya. Mereka berusaha seberapa yang boleh

untuk menghubungkan diri mereka dengan England, dan sekaligus menumpang kemegahan

dan kedaulatan British. Mereka akan mencari jalan untuk mengaku keturunan Shakespeare

walaupun hakikatnya mereka mungkin cucu cicit Kapten Kidd The Pirate.

Kesan langsung daripada sikap berbangga dengan keturunannya itu menyebabkan orang

Australia memiliki keyakinan diri yang agak luar biasa sehingga mendorong mereka berani

bertindak sebagai ‘timbalan polis dunia’ dalam banyak hal yang membabitkan hubungan

politik antarabangsa di sekitar Asia Pasifik. Hakikatnya bukan mereka tidak sedar yang

mereka tidak layak. Tetapi jiwa besar mereka menyebabkan penjajah tanah Aborigines itu

mengenepikan realiti tersebut.

Jepun juga merupakan satu lagi bangsa yang tebal dengan nilai kebangsaannya. Dan nilai itu

juga disemai melalui semangat menghargai keluarga sendiri. Dengan kepercayaan bahawa

mereka adalah dan keturunan Maharaja Jimmu, yang berasal dan anak dewa matahari, orang

Jepun tidak pernah mahu bertuankan sesiapa sahaja selain daripada matahari. Hasil daripada

pemilikan keyakinan diri yang kuat, bangsa yang kecil dan pendek itu, akhirnya bangkit

menjadi kuasa besar di dunia walaupun realitinya daripada segi kurniaan alam, Jepun

memiliki sumber semula jadi yang sangat terhad dan hanya 20 peratus daripada muka

buminya sesuai untuk kerja-kerja pertanian.

Jangan pula kita lupa pada golongan Baba Peranakan di Melaka. Selepas beberapa generasi

berada di bumi Melayu ini mereka masih kekal dengan identiti asal. Walaupun banyak

menyerapkan budaya Melayu dalam kehidupan harian, namun golongan tersebut tidak

menyingkirkan terus keperibadian warisan mereka. Mereka terus kelihatan Cina dalam terlalu

banyak perkara.

Orang-orang China yang menguasai China Town di beberapa kota besar dunia juga terkenal

dengan keupayaan mengekalkan identiti mereka. Kelompok Cina di London, New York dan

Los Angeles misalnya, tidak pernah mengalah pada tekanan-tekanan budaya yang mereka

hadapi setiap saat. Pengaruh budaya barat yang begitu kuat jelas tidak mampu menembusi

ketaksuban mereka pada budaya sendiri. Hasilnya, jika anda melangkah masuk ke premis

mereka, anda akan mendapati suasananya tidak banyak berbeza dengan apa yang ada dalam

premis-premis kediaman di Beijing, Hefei atau Zhengzhou. Mereka masih bertutur dalam

bahasa Cina, malah sesetengah generasi tuanya tidak boleh berbahasa Inggeris. Mereka juga

masih menggunakan alat-alat dekorasi Cina dan mengamalkan adat resam nenek moyang

yang dibawa bersama beratus tahun dahulu.

Satu faktor yang memungkinkan kenapa orang Melayu tidak begitu berminat untuk

menjenguk ke akar umbi keluarga dan keturunannya ialah soal assabiyah. Sebagai penganut

Islam yang taat, orang Melayu mungkin beranggapan, membanggakan keturunan adalah satu

unsur assabiyah - unsur yang ditolak oleh Islam kerana nilai puak dan kesukuannya.

Tetapi Melayu yang bijak sepatutnya melihat assabiyah dalam konteks yang lebih luas,

bukannya asabiyah-jahiliyah. Kita tidak menganjurkan mereka menjadi pengamal jingo

nasiolisme yang serba sempit. Menyayangi dan menghargai keluarga serta keturunan sendiri

tidak harus disamakan dengan orang lain yang lebih berhak.

Kerana tidak menghargai keluarga dan keturunan, Melayu juga akhirnya tidak mempedulikan

sangat asal bangsanya. Mereka seringkali tidak pernah mahu tahu dari mana orang Melayu

bermula. Sehingga sekarang amat sedikit sarjana Melayu yang mahu mengembara mencari

titik mula bangsanya. Kebanyakan mereka lebih sibuk dengan agenda politik semasa.

Menyiapkan kertas kerja bagi sebuah projek perdana sentiasa dianggap lebih baik daripada

menyempurnakan kajian tentang salasilah bangsa sendiri.

Sampai sekarang, apabila bercakap tentang asal usul orang Melayu masih kabur dan keliru.

Ada yang percaya bangsa sawo matang ini asalnya dari Yunnan dan tidak kurang yang

percaya ia bermula dari pulau-pulau di Tenggara Asia. Yang mengaitkan Melayu dengan

keturunan Iskandar Zulkarnain di Mecadonia pun ada. Dalam pada itu ada pendapat lain

menyatakan manusia Melayu sebenarnya bermula di sini, di bumi ini, bukannya di tempat-

tempat lain. Pendeknya, tidak ada satu pun yang jelas.

Kurangnya kepekaan terhadap faktor salasilah ini menyebabkan tidak ramai orang Melayu

sedar bahawa mereka mempunyai sejarah yang cukup gemilang. Lingkungan pulau-pulau

yang dikuasai oleh mereka - apa yang dinamakan Malay Archipelago - adalah kelompok

pulau yang paling luas di dunia, dengan panjangnya melebihi 6,100 km. dari Lautan Hindi ke

barat daya Lautan Pasifik.

Ada beberapa pendapat menyebut, orang Melayu telah muncul sejak lebih 5,000 tahun

dahulu. Pendapat itu dikuatkan dengan kisah seorang anak raja Byzantium, sebuah wilayah

terkenal dalam pemerintahan kerajaan Greek Purba yang kononnya telah pernah singgah di

Kedah ketika dalam pelayarannya ke negeri China. Di Kedah, anak raja itu dikatakan telah

melihat apa yang ditafsirkan oleh sesetengah ahli sejarah sebagai tamadun yang cukup tinggi.

Mengambilkira bahawa Byzantium hanya wujud pada kurun ke-7 Sebelum Masehi, pendapat

di atas mungkin boleh dipersoalkan. Ia mungkin bersifat epik dan mitos semata-mata.

Tetapi masih ada bukti lain yang boleh dipakai untuk menunjukkan bahawa usia bangsa

Melayu mungkin telah mencecah 5,000 tahun. Bukti itu tersembunyi di sebalik sejarah

perkembangan Bahasa Melayu sendiri.

Bahasa Melayu yang termasuk dalam kelompok bahasa bahasa Austronesia adalah

sebahagian daripada antara 600 hingga 1,000 bahasa yang terdapat dalam kumpulan yang

sama. Semua bahasa ini, daripada yang dituturkan oleh penduduk Kepulauan Solomon,

Vanuatu, Kiribati, Tonga, Samoa dan pelbagai pulau lain hinggalah ke bahasa yang

digunakan sehari-harian oleh kita di Malaysia dan di Indonesia, adalah berasal dan satu

bahasa atau dialek yang sama, yang dinamakan Proto-Austronesian. Dan Proto-Austronesian

dipercayai telah digunakan lebih 5,000 tahun dahulu! Ertinya nenek moyang orang Melayu

memang telah wujud semenjak 3,000 tahun Sebelum Masehi.

Sehingga sekarang bahasa Melayu masih merupakan salah satu bahasa utama di dunia. Ia

dituturkan oleh lebih 150 juta manusia, khususnya di Indonesia dan di Malaysia. Dan kalau

betul ‘bahasa menunjukkan bangsa’ ianya bermakna bangsa Melayu sebenarnya merupakan

bangsa yang besar.

Tetapi bolehkah kenyataan itu digunapakai? Sukar untuk dijawab.

Wallace dalam ‘Malay Archipelago’ mengkelaskan Melayu pada tiga kategori iaitu orang

Benua, orang Laut dan orang Melayu (jati). Orang Benua, yang dianggapnya tidak

bertamadun, dikatakan menguasai kawasan di sekitar Sumatera dan daerah-daerah

pendalaman bertanah tinggi di Melaka. Orang Laut pula, menurut Wallace, hidup dalam

keadaan separa-bertamadun dan mereka mendiami kawasan pantai. Antara ketiga-tiganya,

Orang Melayu merupakan yang paling terkehadapan daripada segi tamadun dan mereka ini

termasuklah orang Jawa dan orang Melayu jati.

Bagi orang yang mudah terpesona dengan angka, mereka mungkin boleh menepuk dada jika

dikatakan bahawa jumlah orang Melayu di seluruh dunia dianggarkan lebih 500 juta orang

atau kira-kira sembilan peratus daripada jumlah penduduk dunia. Angka ini meliputi semua

Melayu yang berada di Malaysia, Indonesia, Filipina, Madagascar, Maldives, Afrika Selatan,

Kampuchea dan pelbagai pelosok dunia yang lain.

Tetapi itu cuma angka. Untuk memperbanyakkan angka itu mereka yang berminat untuk

mengembalikan kegemilangan Tamadun Melayu seperti Tan Sri Muhammad Haji

Muhd.Taib, bekas Menteri Besar Selangor yang kini Pengerusi Simposium Melayu Sedunia,

terpaksa mengembara ke hampir segenap ceruk dunia. Mereka terpaksa me`Melayu’kan

kembali beratus juta Melayu yang sudah hilang keMelayuannya.

Ini merupakan satu lagi musibah yang berpunca daripada tiadanya perasaan mahu

menghargai keturunan sendiri. Berbanding dengan bangsa lain, orang Melayu amat mudah

kehilangan identiti. Sementara orang-orang Cina, biar di mana pun mereka berada, akan

kekal dengan imej Cinanya, orang Melayu akan segera hilang imej Melayunya selepas dua

tiga keturunan berada di tempat orang.

Contoh paling jelas barangkali boleh dilihat di Afrika Selatan, di mana orang-orang Melayu

di sana kian dihakis oleh persekitarannya. Mereka, kebanyakannya dari tanah Jawa mula

sampai di bumi ‘gelap’ itu pada tahun 1667 sebagai orang buangan dan abdi penjajah

Belanda. Bagi suatu tempoh yang agak lama mereka mampu bertahan. Bagaimanapun

menjelang abad ke-19, imej Melayu mereka semakin menjadi tipis. Mereka mula beradun

dengan pengaruh Arab, India, Sri Lanka, China dan tidak terkecuali Eropah. Bahasa asal

mereka mula hilang pada sekitar 1850-an. Perkataan-perkataan Melayu tidak lagi mampu

berdiri sendiri sebaliknya diserap, dan kemudian tenggelam dalam bahasa Afrikaans.

Bandingkanlah keadaan mereka dengan orang-orang Malabar yang sudah beberapa keturunan

berkampung mencari makan di London atau di Hongkong. Jika contoh itu tidak memadai,

lihatlah pula bagaimana keadaan anak-anak Melayu yang bermastautin di London sejak lima

atau enam puluh tahun lalu. Belum habis satu keturunan sudah ada antara mereka yang tidak

boleh berbahasa Melayu lagi.

Kenapa ini terjadi? Jawapannya mungkin terselindung di sebalik pepatah ‘masuk kandang

kerbau menguak, masuk kandang kambing mengembik’, yang menjadi salah satu warisan

‘gemilang’ yang dibanggakan oleh orang Melayu.

Pepatah itu boleh ditafsirkan dengan dua nilai utama. Pertama, ianya adalah manifestasi

terhadap kehalusan hati budi Melayu dan kedua, merupakan cerminan pada perasaan ‘rendah

diri’ (inferior) yang dikatakan terdapat dalam jiwa mereka secara semulajadi.

Biar tafsiran mana pun yang dipilih, apa yang jelas ialah pepatah tersebut telah menjadi kunci

kepada sikap kebanyakan orang Melayu apabila berhadapan dengan elemen-elemen luar. Ia

secara tidak langsung mengajar mereka supaya sentiasa bersifat mengalah dan

‘mengutamakan kera di hutan, walaupun anak di rumah mungkin kelaparan’.

Lihatlah bagaimana cara kebanyakan Melayu berinteraksi dengan orang asing.

Kelazimannya, mereka akan bersusah payah menyesuaikan diri dengan orang asing tersebut.

Apabila bercakap dengan orang Cina, mereka akan bermati-matian menggunakan bahasa

pasar yang penuh telor keCinaannya. Begitu juga apabila bercakap dengan orang India atau

orang apa sahaja. Mereka jarang menggunakan bahasa Melayu yang betul. Mereka bersedia

melonggarkan segala hukum tata bahasa sendiri. Mereka sanggup mengorbankan nahu yang

diwarisi turun-temurun.

Semua ini adalah antara faktor yang menyumbang kepada penghakisan nilai-nilai Melayu.

Tetapi faktor yang lebih besar, dan yang paling besar sebenarnya ialah kerana kita tidak

pernah berbangga menjadi Melayu sebagaimana orang Cina berbangga menjadi Cina dan

orang Inggeris berbangga dilahirkan sebagai Inggeris. Dan rasa bangga itu tidak akan dapat

dibina, apatah lagi dipupuk, jika Melayu terus melupakan asal keturunannya.

‘Melayu sebenarnya bangsa yang besar’ hanya akan menjadi kenangan yang cukup indah,

yang akhirnya akan melontarkan Melayu ke dalam kenyataan yang amat pahit.

2 TANAH MELAYU, BUMI MELAYU

DIBANDINGKAN dengan Melayu di tempat-tempat lain, Melayu di Semenanjung Malaysia

ini mempunyai kelebihan yang cukup besar. Sebabnya, bumi yang mereka duduki diberi

penghormatan entah oleh siapa untuk dinamakan Tanah Melayu.

Carilah sebuah tempat lain di muka bumi ini yang mempunyai nama yang serupa. Sulu tidak

dinamakan Pulau Melayu. Sumatera tidak dinamakan Bumi Melayu. Mindanao, Makasar,

Sulawesi, dan segala macam tempat lagi di nusantara ini tidak beri penghormatan untuk

diabadikan dengan nama Melayu.

Di sini, di bumi Semenanjung ini, terdapat begitu banyak perkara yang dikaitkan dengan

Melayu. Di sini terdapat entah berapa puluh buah kampung Melayu, di samping sebuah dua

pekan Melayu. Di sini nama Melayu berada di mana-mana, daripada baju yang dipakai

hinggalah pada parti yang memerintah.

Di mana lagikah ada gambaran keakraban yang serupa? Berapa buah bandarkah di Borneo

yang dinamakan Bandar Melayu? Berapa batang jalankah di Jawa yang dinamakan Jalan

Melayu? Berapa buahkah Kampung Melayu yang ada di Jolo? Ada tak ada perkataan yang

cukup dekat dengan Melayu atau Malay di tempat lain mungkin cuma Malayalam, bahasa

yang banyak dipakai di Kerala, barat daya India.

Apakah yang tergambar oleh semua kenyataan di atas? Bukankah ianya suatu cerminan

tentang kuatnya hubungan Semenanjung Malaysia ini dengan orang Melayu? Bukankah itu

satu gambaran yang amat jelas bahawa dalam konteks rumpun Melayu, bumi Semenanjung

ini mempunyai kehebatannya sendiri yang tidak boleh digugat oleh mana-mana bumi lain. Ia

seakan telah disahkan sebagai bumi sebenar milik Melayu. Bumi tempat Melayu bermula dan

mungkin juga bumi tempat Melayu berakhir.

Tetapi jarang orang Melayu yang menyedari kelebihan ini. Jarang Melayu mengambil berat

tentang hakikat yang tersembunyi di sebalik nama itu. Malah jarang orang Melayu

mempedulikannya.

Himpunkan semua orang Melayu di Semenanjung ini dan bertanyalah pada mereka

bagaimana dan kenapa bumi ini diabadikan dengan keturunan mereka. Tidak banyak yang

akan dapat menjawabnya. Kebanyakannya kerana tidak tahu dan kerana tidak pernah mahu

mengambil tahu. Sebabnya? Mereka jarang mengambil berat terhadap soal akar umbi sendiri.

Kebanyakan orang Melayu sendiri menyimpan anggapan bahawa mereka sebenarnya bangsa

yang masih muda. Mereka rata-rata menganggap sejarah mereka cuma bermula dengan

tegaknya Kesultanan Melayu Melaka. Bagi mereka, sebelum itu Melayu tidak wujud. Mereka

lupa atau barangkali alpa pada hakikat bahawa Melayu di Semenanjung ini telah wujud lebih

lama sebelum itu. Kedah, di utara Semenanjung, telah dirakam dalam sejarah China sejak

Dinasti Liang (502-665). Kalaupun namanya waktu itu disebut ‘Langgasu’ (Langkasuka) dan

wilayahnya menjengkau hingga ke selatan Siam, ia pada hakikatnya tetap Kedah; salah

sebuah negeri di bumi Melayu ini. Dan siapakah yang mendiami Kedah waktu itu kalau

bukan orang Melayu?

Empayar Srivijaya yang berpusat di Sumatera dan yang telah membina tamadun cemerlang di

hampir seluruh Tanah Melayu dan abad ke-9 hingga abad ke-13 adalah kerajaan Melayu. Itu

juga hakikat yang tidak boleh dinafi. Orang-orang Melayu serpihan daripada empayar besar

itulah yang kemudiannya bertukar menjadi Melayu-Islam, mengikut jejak Parameswara.

Di Perak, para arkeologis mempunyai bukti bahawa telah wujud kerajaan-kerajaan purba

sejak kurun ke-5 Masehi. Lebih 1,300 tahun dahulu kerajaan Gangga Negara yang dipercayai

berpusat di Beruas telah tegak sebagai sebuah kerajaan besar. Ia gah dan tersohor sehingga

pada kurun ke-11 Gangga Negara berupaya menarik minat Raja-Raja Chola di India untuk

menyerangnya. Siapakah yang menjadi raja dan rakyat kerajaan Gangga Negara itu kalau

bukan orang Melayu?

Peta Tanah Melayu yang dilukis oleh Ptolemy pada kurun ke-2 telah menunjukkan terdapat

dua buah pelabuhan di pantai timur Semenanjung iaitu ‘Kole’ dan ‘Perimoula’, yang kedua-

duanya terletak di Terengganu. Batu Bersurat yang ditemui di Kuala Berang pula

menunjukkan seawal tahun 1303 Islam telah tiba di Terengganu. Siapakah agaknya yang

menghuni Kole dan Perimoula? Siapakah Raja Mandalika yang memerintah Terengganu pada

waktu Islam mula sampai ke situ? Bukan Melayukah mereka?

Dalam ensiklopedia Ma Tuan-Lin ada tersebut mengenai suatu tempat bernama ‘Ko-lo’, yang

dikatakan telah mempunyai hubungan dengan China sejak zaman pemerintahan Dinasti Han

(206 S.M - 221 Masehi). Dan kebanyakan sejarahwan percaya ‘Ko-lo’ yang dikatakan

terletak di Tanah Melayu itu ialah Kelantan. Catatan-catatan China pada kurun ke-7 Masehi

juga ada menyebut mengenai ‘Ho-lan-tan’ dan ‘Kou-lo-tan’. Lagi sekali soalannya sama,

siapakah agaknya yang mendiami Kelantan ketika itu jika bukan orang Melayu?

Pendek kata, dilihat dalam apa sudut pun, orang Melayu memang mempunyai sejarah yang

amat panjang dan lama di bumi bertuah ini.

Malangnya orang Melayu sendiri cenderung memendekkan sejarah kehadiran mereka di sini.

Mereka seolah-olah tidak berbangga langsung mengenainya.

Sebagaimana disebutkan tadi, apabila bercakap tentang sejarah bangsa, kita, iaitu semua

Melayu di bumi Melayu ini, selalunya cuma melihat setakat tahun 1403, tahun bermulanya

kerajaan Parameswara di Melaka dan tahun yang menjadi titik mula tegaknya sebuah

kerajaan Melayu yang terbilang. Kita jarang, malah selalunya tidak pernah mengambil hirau,

terhadap kehebatan empayar-empayar Melayu sebelum tarikh itu.

Ada beberapa sebab kenapa ini berlaku. Pertama, sejarah tempatan pertama dalam bentuk

tulisan iaitu Sejarah Melayu hanya ditulis pada tahun 1612. Sebelum hasil penulisan Tun Seri

Lanang itu tidak ada rekod tempatan lain yang boleh dipakai. Rekod-rekod bertulis lain,

khususnya dari China dan India, kebanyakannya cuma menyebut secara samar-samar tentang

kewujudan bumi Melayu ini.

Jadi sejarah bertulis yang ada tidak cukup untuk mengajak orang Melayu menjengah jauh ke

akar umbi nenek moyangnya. Sejarah Melayu itu pula lebih banyak memberi tumpuan pada

tamadun yang dibina di Melaka selepas mencampur-adukkan sejarah akar umbi rumpun

Melayu dengan dongeng dan fakta.

Di sekolah, kita dan anak-anak, diajar terlalu sedikit tentang asal usul Melayu. Dan setiap kali

subjek itu disentuh, fokus dan tumpuan hanya setakat kerajaan Melayu Melaka, bukannya

pada Melayu yang wujud sebelum tegaknya tamadun di bumi Hang Tuah itu. Sampai

sekarang tidak ada siapa pun yang mahu mengambil berat untuk menjadikan Tamadun

Melayu sebagai subjek yang wajib dipelajari, setidak-tidaknya oleh anak-anak Melayu, di

peringkat awal persekolahan mereka. Sampai sekarang tiada sesiapa pun yang menginsafi

hakikat bahawa bangsa yang besar adalah bangsa yang tidak melupakan tunjang dan

umbinya. Hasilnya sampai sekarang anak-anak Melayu di bangku sekolah rendah lebih

mengenal nama dan asal usul Christopher Columbus atau Amerigo Vaspucci daripada

mengenal nama dan asal usul ‘Kedaram’ dan ‘Kolantam’.

Ada pendapat mengatakan orang Melayu sendiri sebenarnya sengaja tidak mahu menganggap

mereka wujud sebelum kemunculan Kerajaan Melayu Melaka. Ini berlaku kerana pada

zaman-zaman sebelum itu orang Melayu bukan penganut Islam. Tamadun yang dibina di

Semenanjung sebelum Melaka adalah tamadun bukan Islam. Srivijaya misalnya, adalah

sebuah kerajaan yang tegak di atas kepercayaan Buddha. Tamadun yang pernah muncul di

sekitar Kuala Merbok, Kedah pula terpacak atas panji-panji Hindu.

Orang Melayu dikatakan tidak mahu dikaitkan dengan semua elemen bukan Islam. Mereka

malu mengaku bahawa nenek moyang mereka dahulu adalah penganut Hindu, Buddha atau

animisme. Mereka merasakan tidak ada apa-apa yang boleh dibanggakan dengan tamadun

terdahulu kerana semuanya adalah tamadun bukan-Islam. Mereka terlupa satu perkara,

bahawa dalam apa konteks pun agama dan bangsa adalah dua perkara yang berbeza.

Kalaupun yang membina candi-candi di Merbok itu adalah penganut Hindu namun dalam

konteks bangsa, mereka berkemungkinan besar adalah Melayu. Tamadun yang mereka bina

sehingga memungkinkan tegaknya candi-candi itu juga sesungguhnya adalah Tamadun

Melayu.

Memang benar dalam Perlembagaan Persekutuan, Melayu dan Islam berkait begitu rapat.

Taraf Bumiputera yang dinikmati oleh seseorang Melayu itu akan hilang dengan sendirinya

jika individu Melayu berkenaan tidak lagi beragama Islam. Secara langsung ini bermakna

keMelayuannya juga turut gugur.

Hubungkait yang rapat antara Melayu dan Islam itulah agaknya yang menyebabkan kita tidak

menganggap nenek moyang kita sebelum kewujudan Melaka sebagai Melayu. Sebabnya,

mereka bukan beragama Islam.

Tetapi apa yang dicatatkan oleh Perlembagaan adalah sesuatu yang bersifat teknikal. Ianya

juga subjek baru. Dan subjek itu tidak mengubah realiti asal bahawa penganut Hindu,

Buddha, animisma atau apa sahaja kepercayaan sebelum Parameswara juga sebenarnya orang

Melayu.

Dengan perkataan lain, ia tidak akan dapat menggugat satu kebenaran: bahawa Melayu telah

lama - terlalu lama - menjadi penghuni di bumi Semenanjung ini. Dan kerana itu selayaknya

mereka dianggap sebagai pribumi, atau dalam istilah semasa sebagai Bumiputera.

Apa yang tersirat di sebalik hakikat itu ialah, orang Melayu sesungguhnya mempunyai hak

yang istimewa ke atas tanah ini. Hak yang diwarisi sejak zaman berzaman itulah yang mesti

mereka pertahankan dan hak itu jugalah yang tidak boleh diusik oleh sesiapa.

Tetapi hak itu sebenarnya telah diusik dan sering terusik. Secara rasmi ia bermula sejak JWW

Birch cuba menyentuh perkara-perkara yang membabitkan adat resam Melayu semasa

menjalankan tugas-tugasnya sebagai Residen pertama British di Perak hinggalah ke gagasan

Malayan Union dan seterusnya kepada suara-suara yang mempertikaikan hak keistimewaan

orang-orang Melayu, yang kedengaran akhir-akhir ini.

Usikan-usikan begitu tidak akan berakhir dengan mudah. Ia akan terus muncul dan muncul

walaupun mungkin dalam suasana dan dengan pendukung watak yang berbeza.

Jangan salahkan sesiapa. Setiap manusia mempunyai hak untuk berasa ingin dan kemudian

berusaha merealisasikan keinginannya. Birch tidak bersalah kerana cuba mengusik adat

resam Melayu dan agama Islam dalam urusan pentadbirannya. Dia hanya melaksanakan

tugas. Daripada satu sudut, dia bolehlah dianggap seorang pegawai yang amanah dan baik.

Dia telah mengambil risiko besar demi untuk menyempurnakan amanah yang dipikulkan ke

bahunya.

Tetapi pembesar-pembesar Melayu yang merancang pembunuhan Birch juga tidak bersalah.

Mereka melakukannya kerana mempertahankan hak mereka. Mereka sedar bahawa

mempertahankan hak juga adalah satu amanah.

Amanah itu jugalah yang sedang dipikul oleh kita semua sekarang. Di atas batu jemala kita,

yang suatu masa dahulu memikul titah raja ini, sekarang terpikul harapan anak cucu. Kita

dituntut untuk mempertahankan hak mereka, yang sekaligus merupakan hak kita.

Tidak ada suatu kuasa lain yang mampu membantu kita melakukannya. Hanya kita dan cuma

kita.

Tidak ada sesiapa pun yang boleh menahan usikan-usikan terhadap hak keistimewaan mereka

selain daripada orang-orang Melayu sendiri. Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu bangsa

melainkan bangsa itu yang mengubahnya. Dan mempertahankan hak yang ada adalah satu

langkah ke arah mengubah nasib yang sedia ada.

Tetapi bagaimanakah Melayu hendak bercakap tentang mempertahankan hak jika mereka

sendiri tidak begitu sedar tentang hak yang mereka miliki? Mana-mana juga bangsa yang

mengabaikan sejarahnya lambat laun akan menjadi sejarah. Sesungguhnya, hak di sisi sejarah

adalah sebesar-besar hak untuk apa juga bangsa di muka bumi ini. Dengan hak yang ada di

sisi sejarahlah Red Indian di Amerika dan Aborigines di Australia masih boleh bertahan

sehingga sekarang. Tanpa hak itu mereka mungkin akan lenyap begitu sahaja. Dan hak itu

pasti tidak dapat ditegakkan jika mereka sendiri mengabaikan sejarah!

Kesedaran tentang kuatnya hubungan darah mereka dengan tanah di bumi Melayu ini perlu

bertunas, membesar dan berkembang biak di jiwa setiap Melayu. Mereka harus berpaling

jauh memandang ke belakang untuk mengenang kembali bagaimana besarnya kekuasaan

datuk nenek mereka terhadap Tanah Melayu. Mereka perlu sentiasa memberi peringatan

kepada diri sendiri bahawa bangsa mereka pernah gemilang di negeri ini dan kerana itu juga

akan terus gemilang.

Tetapi berpaling ke belakang itu harus ada had dan batasnya. Sama jugalah dengan

memandang ke hadapan, harus ada garis dan sempadannya!

3 MITOS MELAYU PEMALAS

‘MELAYU pemalas’.

Sekurang-kurangnya sekali dalam hidup, seseorang anak Melayu akan mendengar frasa itu.

Tetapi biasanya dia mendengar lebih daripada sekali. Selalunya berpuluh atau beratus kali!

Frasa yang menyakitkan itu memang cukup tersohor. Ia telah sampai ke segenap penjuru

alam. Tidak sedikit orang asing yang mengenali Melayu melalui tulisan atau cakap orang

mempercayai bahawa pemalas itu adalah sifat semulajadi manusia Melayu. Jangan hairan

kalau ada di kalangan mereka yang mendefinasikan Melayu sebagai ‘sebangsa manusia

pemalas yang mendiami suatu kawasan di tenggara Asia.’

Yang menariknya, mitos Melayu malas ini lebih tertumpu pada orang-orang Melayu di

Malaysia sahaja. Bangsa Melayu di tempat lain bagaikan terkecuali. Malah orang Melayu

Deli dan Kampar, misalnya sentiasa dilihat lebih rajin daripada kita di sini. Bagi sesetengah

orang Melayu rumpun Jawa pula, kita orang Melayu Malaysia, bukanlah jenis sahabat yang

sesuai dijadikan teman dan bukanlah kawan yang baik untuk diajak mencari makan. Kita,

bagi mereka, tidak cukup rajin.

Pendeknya, secara langsung atau tidak, kita telah diterima sebagai bangsa yang pemalas,

hatta oleh rakan-rakan yang serumpun dengan kita sendiri.

Kenapa?

Sering terjadi apabila frasa itu timbul, kita - hampir semua Melayu - akan menghalakan

tudingan kepada Munsyi Abdullah, jurutulis dan khadam nombor satu Stamford Raffles.

Kebanyakan kita percaya bahawa tulisan-tulisan Munsyi Abdullah telah menjadi racun yang

telah merosakkan fikiran dan pandangan semua orang terhadap keperibadian Melayu. Dia,

Munsyi Abdullah, oleh sesetengah kita, telah diangkat sebagai musuh besar setiap Melayu.

Selain daripada menuduh Abdullah menulis begitu kerana disuruh oleh Raffles, yang mahu

melaksanakan agenda kolonialnya dengan bertujuan meranapkan kehormatan masyarakat

pribumi, kita jarang bertanya apakah yang ditulis oleh Munsyi itu seratus peratus salah?

Memang benar, Munsyi Abdullah adalah khadam belaan penjajah. Mungkin benar keinginan

yang luar biasa untuk menyekutukan dirinya dengan tuan besar dan atas angin telah

menyebabkan dia berasa dirinya terlalu istimewa, dan terpisah terus daripada cara hidup

Melayu, yang dilihatnya penuh dengan kelekaan dan kealpaan.

Tetapi bolehkah dia mereka-rekakan kenyataan-kenyataan tentang sikap orang Melayu tanpa

asas dan bukti yang kukuh? Setakat sekarang ini, apakah segala yang ditulis oleh Munsyi itu

karut belaka?

Jawablah, dengan akal yang waras dan dengan hati yang ikhlas.

Dalam membincangkan isu ini, perkara paling pokok yang harus kita semua fikirkan ialah

bagaimanakah kepercayaan bahawa Melayu itu pemalas boleh timbul? Di mana puncanya?

Tulisan Munsyi Abdullah atau lain-lain orientalis barat hanyalah sebahagian daripada sebab.

Memanglah budaya penjajahan pada bila-bila masa pun akan disulami dengan cerita buruk

tentang anak pribumi. Penjajah, dalam usaha menegakkan kedaulatan mereka, akan bersusah

payah mencipta kehebatan sendiri dan memperlekehkan kumpulan yang dijajah. Red Indian

dikatakan bangsa yang liar dan jahat oleh tukang-tukang cerita Amerika. Aborigines di

Australia dituduh pemalas dan hidup bersandarkan takdir oleh anak cucu lanun yang menjadi

penjajah benua Australia; malah orang-orang Scotland dan Ireland, yang serumpun dengan

Inggeris itu pun, sampai sekarang masih sering dijadikan bahan jenaka di London.

Tetapi semua tohmah yang bersifat memburuk-burukkan anak pribumi itu biasanya boleh

berdiri tegak sehingga menjadi semacam kepercayaan disebabkan oleh ‘sokongan’ yang

diberi oleh anak-anak pribumi tersebut sendiri. Dengan perkataan lain, sikap, cara dan

tindakan mereka selalunya mendorong orang beranggapan apa yang dicanangkan itu adalah

betul dan benar.

Dalam hal ini, orang Melayu di Malaysia tidak terkecuali. Kalau orang lain mempunyai

sepuluh sebab untuk mengatakan kita ini malas, kita sendiri menyediakan seribu sebab untuk

membenarkan kenyataan mereka. Sebab-sebab itu bukanlah berpunca daripada kemalasan

kita, tetapi lebih didorong oleh kealpaan kita. Kealpaanlah yang meletakkan Melayu dalam

jaket yang dipakainya. Kealpaanlah yang menjadikan Melayu lemah. Kealpaan jugalah yang

menyebabkan daya saing Melayu seringkali dipersoalkan.

Mahathir, sejak sebelum kelahiran ‘Dilema Melayu’nya beranggapan kelemahan Melayu

lebih berpunca daripada faktor-faktor keturunan dan alam sekitar. Profesor Diraja Ungku

Aziz pula menyanggah pandangan itu dengan berkata, Melayu sebenarnya mewarisi sifat

rendah din sejak turun temurun.

Sama seperti orang lain, saya tidak tahu pendapat mana yang patut dipakai. Kedua-duanya

kelihatan betul, tetapi kedua-duanya juga kelihatan tidak betul.

Hendak dikatakan Melayu lemah kerana pengaruh keturunan, terbukti mereka yang

berketurunan Melayu telah pernah berjaya pada masa-masa dahulu. Mereka telah berupaya

membina tamadun, telah mampu menjadi pelayar-pelayar agung dan telah terbukti menjadi

kuasa yang disegani.

Sekarang ini pun banyak yang berketurunan Melayu mencipta kejayaan, baik di sini mahupun

di tempat lain. Di Afrika Selatan, Melayu adalah kelompok manusia kaya yang berpengaruh

besar di bidang ekonomi. Di Filipina, Melayu adalah pejuang-pejuang yang berani dan

disegani. Di sana sini, anak-anak Melayu yang membawa diri mampu bersaing dan bangkit

menjadi orang yang berjaya. Di England, ada anak Melayu telah naik martabatnya sehingga

menjadi Datuk Bandar.

Di Hollywood, seorang lagi anak Melayu bergerak naik di celah nama ribuan manusia lain

untuk berdiri sebagai karyawan yang dihormati dalam teknologi animasi komputer. Malah

studio di mana berlangsungnya penggambaran bagi siri filem-filem James Bond yang

terkenal itu pun dikatakan milik anak Melayu!

Persekitaran, di mana-mana dan pada bila-bila masa pun, memanglah merupakan faktor besar

yang mempengaruhi kehidupan. Hukum ini tidak sahaja terbatas kepada manusia, tetapi juga

mencakupi segala makhluk lain. Anak benih pokok yang sedang membesar sekalipun akan

condong mengikut arah datangnya cahaya.

Dalam ‘Dilema Melayu’, Mahathir mengulas bagaimana persekitaran yang melingkungi

kehidupan mereka menyebabkan orang Melayu kurang berminat untuk bersaing. Beliau

beranggapan tanah semenanjung yang subur telah menyediakan segala-galanya untuk orang

Melayu hidup selesa.

“Pendeknya alam keliling menjamin keperluan makanan yang mencukupi untuk menampung

seluruh penduduk sepanjang tahun. Kelaparan dan kebuluran yang sentiasa mengancam

negeri-negeri lain, seperti Negeri China, tidak terdapat di Tanah Melayu. Dalam keadaan

begini maka semua orang dapat terus hidup. Malahan mereka yang paling lemah dan paling

malas juga boleh hidup dengan selesa dan dapat berkahwin dan beranak pinak. Dalam

keadaan yang begini tidak dapat hendak dikatakan bahawa cuma mereka yang paling kuat

dapat terus hidup. Oleh kerana terdapat banyaknya bahan makanan maka orang yang lemah

juga akan dapat terus hidup.” (DILEMA MELAYU, ms.25).

Ada benarnya pendapat itu. Tetapi ianya menjadi kurang benar apabila mengambil kira

bagaimana keadaan serba kurang di negara-negara seperti Bangladesh, Nepal dan Bhutan

juga gagal melahirkan bangsa yang kuat berdaya saing. Kebanyakan tanah di benua Afrika

boleh dikatakan gersang dan tidak subur. Ia menuntut setiap orang yang mahu hidup di atas

buminya mempunyai ketahanan yang luar biasa. Penduduk-penduduk pribumi Afrika

biasanya mempunyai ketahanan itu. Persekitaran mereka hanya membuka pintu pada yang

kuat sahaja untuk hidup selesa.

Tetapi kenapa mereka gagal berkembang sebagai bangsa yang besar, hebat dan kuat ? Kenapa

anak cucu mereka yang terlontar ke Amerika, atau ke segala penjuru dunia yang lain, gagal

mengangkat ketahanan itu untuk dijadikan aset yang boleh menjanjikan kegemilangan pada

bangsa mereka? Kenapa?

Memanglah benar orang-orang Melayu, pada peringkat awal penempatannya di Semenanjung

ini, lebih tertumpu ke kawasan-kawasan dataran yang subur. Mereka menghuni kawasan

pesisir sungai dan pantai yang menjanjikan mereka kesuburan dan kemakmuran. Mereka

tidak begitu berminat untuk meneroka bukit bukau dan hutan belantara bagi menambah

sumber kesuburan dan kemakmuran tersebut. Hasil daripada keadaan itu timbul suatu

tanggapan bahawa orang Melayu lebih suka pada kehidupan yang mudah. Mereka telah

terasuh untuk menjadi begitu. Mereka telah dimanjakan oleh alam sekeliling. Mereka lebih

senang menerima apa yang ada daripada berusaha mencari sesuatu yang baru.

Namun siapakah yang berani bertaruh untuk berkata bahawa peneroka bukit bukau itu

mempunyai keupayaan bersaing yang lebih hebat daripada pemastautin di kawasan kawasan

dataran yang subur? Tertumpu pada kawasan pesisir sungai yang subur untuk membina

penempatan bukanlah terbatas pada orang Melayu sahaja. Ia merupakan amalan lazim zaman

berzaman. Hampir semua tamadun besar terbina di kawasan seperti itu. Nil, Yang Tze dan

Ganges tidak akan menjadi terkenal kalau bukan kerana disokong oleh kebangkitan tamadun-

tamadun di pinggirnya.

Mencari kesenangan secara mudah bukanlah setakat sifat semulajadi orang Melayu. Ianya

fitrah semua bangsa. Semua manusia. Sebab itu bukan pelik jika manusia pada zaman dahulu

berebut untuk tinggal di kawasan pinggir sungai yang tidak sahaja menyediakan tanah yang

subur, tetapi juga pelbagai kemudahan lain, termasuk mendapatkan bekalan air dan untuk

dijadikan laluan pengangkutan. Orang-orang Cina yang baru datang ke Tanah Melayu pada

era awal penghijrahan mereka dahulu pun memilih kawasan pinggir sungai untuk

bermastautin.

Jika mendiami kawasan-kawasan yang subur itu menyebabkan orang Melayu terasuh untuk

menjadi tidak rajin berusaha, maka soalan yang patut ditanya ialah kenapa orang-orang China

di pinggir Yang Tze, dan kemudiannya di pinggir Sungai Kelang dan Sungai Gombak tidak

pula menjadi malas? Kenapa bangsa-bangsa lain yang turut berkembang biak di kawasan

yang serupa tidak menjadi selemah bangsa Melayu? Dan pada masa yang sama patut pula

ditanya, mengapa ‘raja-raja bukit’ seperti orang-orang Karen di Burma tidak menjadi bangsa

yang hebat sedangkan mereka adalah jenis orang yang sanggup bekerja keras meneroka

rimba jerun yang tidak berani dijengah oleh manusia lain?

Banyak orang yang bersependapat dengan Mahathir, yang lewat ‘Dilema Melayu’nya

berkata, iklim panas dan lembap di negara ini juga tidak begitu menggalakkan (orang

Melayu) untuk melakukan kerja-kerja yang berat. Ia juga tidak merangsang pemikiran

mereka untuk menjadi lebih aktif.

Sewaktu menulis fasa-frasa itu Mahathir barangkali terlupa untuk bertanya, kenapa dalam

cuaca yang panas dan lembap,orang lain, yang bukan Melayu boleh melakukan kerja-kerja

berat dan boleh berfikir secara aktif? Kenapa kesan buruk cuaca itu hanya mempengaruhi

orang Melayu bukannya bangsa-bangsa lain? Bagaimana pula halnya dengan orang-orang

Mesir Purba yang hidup dalam keadaan serba kontang dan serba kurang, namun mampu

membina tamadun besar? Tidakkah cuaca yang panas juga sepatutnya menyebabkan orang-

orang Arab tidak mampu berbuat apa-apa selain daripada duduk berbual di bawah pohon-

pohon kurma?

Keturunan mungkin mempunyai pengaruhnya. Namun ada banyak contoh untuk dijadikan

bukti bahawa ia bukan penyebab mutlak ke arah menentukan maju mundurnya sesuatu

bangsa. Janji Allah bahawa Dia tidak akan mengubah nasib sesuatu bangsa melainkan bangsa

itu sendiri mengubahnya adalah suatu isyarat yang amat jelas bahawa setiap manusia ini

dijadikan dengan kemampuan yang sama. Biar dari perdu mana pun seseorang itu lahir, dia

berupaya naik ke puncak jika usahanya ke arah itu dilakukan secara sungguh-sungguh. Teori

genetik tidak selamanya benar terutama dalam soal menentukan masa depan seseorang

manusia atau sesuatu rumpun bangsa. Tuhan akan menjadi sangat tidak adil kalau

menentukan karma manusia dengan bakanya. Sesungguhnya tidak adil itu bukanlah sifat

Tuhan.

Bangsa-bangsa yang besar dan kuat suatu masa dahulu banyak yang lenyap dan ranap

walaupun daripada segi teori mereka memiliki baka yang hebat. Ke mana perginya wira-wira

Monggol? Ke mana hilangnya anak cucu Socrates atau Aristotle? Jika hendak dikatakan

mereka pupus kerana faktor putaran masa, kenapa anak cucu Shih-Huang Ti masih ada?

Kenapa anak cucu pelopor Tamadun China masih sehebat dahulu?

Pendapat tentang sifat semulajadi Melayu yang dibelenggu rasa rendah diri juga mempunyai

banyak ruang untuk dipertikaikan. Yang paling penting untuk ditanya ialah, kenapa sifat itu

harus ada dan adakah ianya cuma hakmilik istimewa bangsa Melayu?

Kalau dikatakan sifat rendah diri itu lahir secara semulajadi, apakah buktinya? Atas alasan

apakah Tuhan memilih orang Melayu untuk diabadikan dengan sifat-sifat itu?

Ada orang berpendapat sifat rendah diri ini datang ke sanubari orang Melayu selepas mereka

menganut Islam. Nenek moyang orang Melayu dahulu menganggap diri mereka orang yang

jahil dalam ilmu-ilmu akhirat. Oleh itu, setiap kali berhadapan dengan pendakwah-

pendakwah Islam yang berilmu tinggi, terutama yang datang daripada Asia Barat, mereka

akan dibelenggu oleh rasa ‘kecil’ dan rasa untuk ‘merendah’. Lama-kelamaan perasaan itu

berkembang biak lalu terbina menjadi suatu tabiat.

Soalnya, kalaupun betul, kenapa perkara begitu hanya terjadi pada orang Melayu? Kenapa

orang Putih yang baru memeluk Islam tidak berasa rendah diri? Kenapa orang India, orang

China, orang Parsi dan segala macam orang lain tidak mempunyai perasaan yang sama

sedangkan hakikatnya tatkala mula memeluk Islam mereka sudah pasti berada dalam situasi

yang sama dengan orang Melayu - berasa kecil dan jahil?

Satu lagi andaian popular ialah perasaan rendah diri orang Melayu ini berpunca daripada

salah tanggapan terhadap ajaran Islam. Ketaatan kepada Islam menyebabkan Melayu

mentafsirkan nilai toleransi yang dituntut oleh Islam dengan perspektif yang sempit. Mereka

juga menerima hukum qada dan qadar dengan cara berfikir yang jumud. Konsep keredhaan

mereka ada kalanya melebihi tahap yang dituntut sehingga menyebabkan mereka bersikap

‘tidak apa’ dalam segala perkara. Himpunan daripada semua inilah akhirnya menyebabkan

orang Melayu berasa mereka tidak perlu bersaing dan bersikap pasrah kepada kehidupan.

Tetapi sekali lagi persoalannya ialah kenapa anggapan begitu cuma timbul di jiwa orang

Melayu? Kenapa bangsa lain yang menganut Islam tidak mempunyai tanggapan dan

pemikiran yang sama? Mengapa orang China Islam dan orang India Muslim tidak dibelenggu

oleh kejumudan tersebut sedangkan mereka juga tidak kurang taatnya berbanding dengan

kita?

Saya sengaja timbulkan soalan-soalan ini kerana saya tahu tiada sesiapa yang akan dapat

menjawabnya.

Melayu secara umumnya berada dalam satu posisi yang cukup unik, dan cukup kronik,

sehingga tiada mana-mana pengkaji dapat memberikan jawapan mutlak terhadap masalah

yang membelenggu kehidupan mereka, khususnya dalam aspek yang membabitkan sikap dan

tabiat. Apa juga andaian tentang mereka sampai bila-bila pun akan tinggal sebagai hepotitis

yang tidak akan bertukar menjadi teori.

Keunikan peribadi Melayu ini berkemungkinan besar dipengaruhi oleh banyak faktor.

Kedudukan bumi Melayu yang terdedah pada segala macam elemen budaya, latar belakang

bangsa yang berkembang daripada penganut animisme kepada penganut Islam yang taat,

semuanya sama-sama memainkan peranan untuk menjadikan Melayu satu bangsa yang agak

berkecamuk akal fikirannya. Perhatikanlah mana-mana juga Melayu, di dalam dirinya pasti

terpancar seribu wajah. Pada tubuhnya tersembunyi unsur Arab, unsur Mamak, unsur orang

Putih dan seribu satu unsur lain yang bercampur aduk.

Keperibadian yang berbagai-bagai inilah menyebabkan Melayu menjadi begitu sukar

difahami. Dan ketidakfahaman itu menjadi punca terhadap timbulnya pelbagai salah

tanggapan terhadap mereka.

‘Melayu pemalas’ adalah rentetan daripada salah tanggapan itu. Orang-orang asing yang

gagal memahami susur galur Melayu dengan mudah akan berasa hairan kenapa Melayu boleh

menjadi warga kelas dua di bumi yang subur ini. Mereka lalu beranggapan ianya berlaku

kerana Melayu tidak rajin.

Silap orang Melayu ialah mereka tidak pernah berusaha memberi kefahaman tentang asal

usul mereka kepada orang lain. Sebaliknya, mereka dengan penuh kealpaan hanya menerima

bulat-bulat teori yang orang lain sogokkan kepada mereka. Paling Iebih, sekiranya pendapat

itu kurang memihak pada mereka, sebahagian daripada orang Melayu mungkin akan marah-

marah.

Semua ini tidak akan berlaku kalau orang Melayu mempunyai hubungkait yang kuat dengan

akar umbi bangsanya. Mereka tidak akan berasa susah untuk meyakinkan orang lain bahawa

Melayu sebenarnya bangsa yang hebat jika mereka rajin mencungkil, mengenang dan

menghargai sejarah kehebatan datuk nenek mereka. Tidak susah untuk membuka mata orang

asing bagi mengakui bahawa lebih seribu tahun dahulu tamadun-tamadun Melayu telah

berkembang biak, telah menjadi gah dan tersohor di nusantara. Dan bangsa yang pemalas

sudah tentu tidak akan mampu membina tamadun-tamadun seumpama itu.

Tamadun Greek sudah lama punah. Ranap sama sekali. Greece sekarang hanya tinggal

tersepit sebagai sebuah negara kecil di pinggir Mediterranean dan Laut Ageans. Tetapi

cubalah anda berkunjung ke Athens. Anda pasti akan dapat mendengar orang-orangnya

bercerita seolah-olah Julius Caesar dan Pompei baru meninggal dunia pagi semalam.

Cubalah berkunjung ke China dan dengar sendiri bagaimana anak-anak negerinya bercerita

tentang Tembok Besar, tentang Shih-Huang Ti atau tentang Confusius. Bunyinya seolah-olah

mereka pernah hidup di era itu. Mereka jelas berbangga dengan apa yang mereka pernah ada.

Kita?

Sementara majoriti orang Melayu tidak pernah tahu di mana letaknya Lembah Bujang,

sebahagian besar yang lain pula berkunjung ke Melaka untuk melihat simbol kekuatan

Portugis iaitu A Famosa, bukannya untuk menjengah simbol ketuanan Melayu seperti Perigi

Hang Tuah atau Makam Hang Jebat. Untuk melihat tingginya seni pertukangan Melayu di

Istana Seri Menanti yang tidak berpaku itu pun kita terasa berat hati.

Tidak banyak di kalangan kita yang boleh bercerita tentang kegemilangan silam anak

bangsanya. Apabila bercerita pada anak cucu, kita lebih seronok mengulangi kisah

‘Cinderella’ atau ‘Snow White’. Kita biasakan anak-anak kita dengan nama Robin Hood dan

Kapten Cook bukannya dengan nama Hang Nadim atau Tun Teja. Kita seolah-olah tidak

pernah berbangga dengan apa yang kita ada.

Orang lain sanggup menghabiskan berjuta ringgit untuk mencari sesuatu yang boleh

menghidupkan kembali kegemilangan bangsanya. Dalam kes tertentu, mereka malah sanggup

mengubah fakta yang ada dan mencipta fakta-fakta baru yang palsu. Mereka melakukannya

kerana sayangkan bangsa.

Kita tidak begitu. Kita boleh menghabiskan cukup banyak wang untuk membiayai

rombongan ke luar negara, tetapi kita akan ‘berkira’ untuk membina sesuatu yang boleh

menghubungkan generasi sekarang dengan masa silamnya.

Pahit atau tidak, kita perlu mengaku bahawa apa yang dilakukan setakat ini belum cukup

untuk menggambarkan terima kasih kita pada generasi terdahulu. Apa yang ada itu belum

memadai untuk menghidupkan jiwa Melayu sebagaimana hidupnya jiwa orang Amerika

setiap kali melihat ‘Statue of Liberty’.

Usahlah melihat terlalu jauh ke belakang. Lihat sahajalah bagaimana kita menghargai Tuk

Gajah, Mat Kilau, Tuk Janggut atau pejuang-pejuang selepas mereka. Malah setakat manakah

sumbangan kita kepada pejuang-pejuang kemerdekaan selain daripada Datuk Onn dan Tunku

Abdul Rahman? Hendak membukukan sejarah perjuangan mereka pun tidak banyak pihak

yang sanggup.

Berdasarkan apa yang ada tergambar jelas yang kita bagaikan tidak menghargai kebolehan

orang-orang yang dahulu daripada kita. Kita tak pernah ambil kisah. Kita tak pernah peduli.

Kita alpa dalam menghargai sumbangan mereka.

Dan apabila kita alpa menghargai bangsa sendiri, bagaimanakah kita boleh mengharapkan

orang lain menghargai kita?

4 RUMPUN YANG SATU

JIKA kita melihat orang Cina, apa yang kita nampak selalunya hanyalah keCinaannya. Jarang

kita melihat dia sebagai orang Cina berketurunan Hokkien, Hakka, Teochiew dan sebagainya.

Orang India juga lebih tebal bayangan Indianya berbanding dengan bayangan rumpun

keturunan. Pendek kata, anda tidak tahu dan tidak pernah mempedulikan rakan Cina anda itu

daripada rumpun apa. Anda juga tidak tahu mamak India di tempat anda itu datang dan

Calcutta, Madras atau Calicut. Mereka sesama mereka barangkali berpisah daripada segi

rumpun keturunan, tetapi mereka di hadapan kita sentiasa kelihatan sama dan serupa.

Melayu?

Biasanya tidak begitu. Kita sesama kita sentiasa kelihatan terpisah. Di hadapan orang lain

pula sentiasa tampak berpisah. Melayu jati selalu dilihat berbeza daripada Melayu Minang,

Melayu Bugis, Melayu Jawa dan sebagainya.

Yang menjadi punca pada berlakunya itu semua bukanlah orang lain, tetapi orang Melayu

sendiri. Apabila bertemu manusia sebangsa, kita amat saling berminat mencungkil tentang

asal keturunannya. Kita amat ingin tahu apakah dia Melayu Rawa atau Melayu Bawean,

Melayu Bajau atau Melayu Riau. Dalam keghairahan mencungkil itu kita langsung terlupa

yang tindakan tersebut telah membantu memecahkan orang Melayu kepada kelompok-

kelompok yang lebih kecil.

Ia tidak berakhir setakat itu. Perkara yang lebih buruk berlaku apabila timbul pula

kecondongan untuk mengkelaskan rumpun sendiri mengikut sempadan negeri. Jika sesama

Melayu jati, kita akan mengasingkannya mengikut istilah Melayu Kelantan atau Melayu

Kedah, jika sesama Minang pula akan timbul soalan Minang Rembau atau Minang Gombak,

jika sesama Jawa akan ditanya Jawa Kelang atau Jawa Tanjung Karang.

Apakah faedah berbuat demikian?

Tidak ada. Paling lebih ia sekadar menunjukkan pada orang lain akan kemajmukan

kehidupan di Malaysia. Ia juga barangkali mampu memberi gambaran tentang betapa

banyaknya rumpun bangsa yang bersekutu di bawah panji-panji Melayu.

Dan pada masa yang sama, ia menjadi petanda tentang betapa berpecahnya orang Melayu!

Kita faham Malaysia merupakan gabungan beberapa buah negeri. Kita juga faham bahawa

antara keunikan negara ini ialah ia menjadi satu-satunya negara di dunia yang mempunyai

begitu ramai raja.

Tidak mengapa. Sejarah tidak akan boleh dipinda.

Tetapi kita juga harus faham bahawa Malaysia dibentuk bagi tujuan menyatupadukan negeri-

negeri Melayu dan perkara itulah sepatutnya dijadikan asas yang tersemat dalam fikiran

setiap orang. Hanya kefahaman tentang asas itu akan membolehkan kita membuang fahaman

kenegerian yang bersifat parokial dan menggantikannya dengan konsep MELAYU BESAR.

Sejarah pemisahan dan pengasingan Melayu sesama Melayu harus dihentikan. Ia sudah

cukup lama berlaku, telah cukup lama tercatat. Pada zaman keagungan Empayar Melayu

Melaka, telah wujud perkampungan-perkampungan berasingan yang memisahkan Melayu

mengikut kelompok keturunannya. Orang-orang Melayu Bentan berkampung di kawasannya,

terasing daripada Melayu Jawa. Orang-orang Bendahara tinggal di kawasan yang berbeza

daripada orang-orang Temenggung atau orang-orang Laksamana.

Sehingga sekarang pengasingan itu berterusan. Ada Kampung Jawa, ada Kampung Melayu

dan ada Kampung Minang. Walaupun dalam setiap perkampungan itu mungkin ada Melayu

rumpun lain yang boleh menumpang hidup dengan aman dan selesa, namun pada masa yang

sama, Melayu itu secara psikologinya akan berasa terpinggir dan terasing semata-mata kerana

dia bukan daripada rumpun Melayu yang namanya diabadikan dengan kampung tersebut. Di

peringkat awal, dia mungkin setakat berhadapan dengan dialek pertuturan yang berbeza, di

samping budaya dan resam kehidupan yang tidak begitu sama dengan apa yang diwarisi

olehnya. Dalam jangka waktu yang lebih panjang, dia mungkin menganggap apa yang

berlaku pada jiran sekampung dengannya adalah ‘hal kaum mereka’ dan dia tidak berhak ikut

campur. Kesannya? Dia secara tidak langsung akan mula terpisah, mulanya secara batiniah,

dan kemudian mungkin secara lahiriah.

Bukti lain tentang pentingnya pengaruh suku keturunan dalam kehidupan orang Melayu dapat

dilihat ketika berlakunya proses perlantikan seseorang pemimpin. Keutamaan sentiasa

diberikan pada mereka yang datang daripada kelompok keturunan yang sama dengan majoriti

golongan yang akan dipimpin. Kawasan yang besar pengaruh Minangkabaunya akan diberi

pada yang berdarah Minang, sebaliknya bagi kawasan yang dikuasai oleh Melayu Bugis,

maka yang berdarah Bugis jugalah akan dijadikan ketua.

Sekali imbas amalan itu tidak mempunyai apa-apa cacat celanya. Ia malah merupakan satu

langkah yang baik dan ideal. Tetapi dalam konteks yang lebih luas ia sebenarnya tidak

menguntungkan Melayu. Langkah seperti itu hanya akan menyebabkan faham kesukuan akan

lebih mudah berkembang dan akhirnya menyebabkan jurang perbezaan sesama Melayu akan

menjadi lebih besar. Tidak dapat tidak, seorang Melayu Bugis yang berketuakan seorang

Melayu Jawa akan merasakan dirinya berada di kelas kedua kerana pada anggapannya si

pemimpin sudah tentulah memberi keutamaan pada anak-anak buah lain yang berdarah Jawa.

Kalaupun perasaan itu tidak diluahkan, ia akan tetap bermain di dalam jiwa dan lambat laun

akan berkembang biak untuk mencetuskan perasaan-perasaan lain yang lebih tidak elok.

Tabiat mementingkan rumpun keturunan ini merupakan dosa yang turut memberi sumbangan

besar terhadap perpecahan Melayu. Ia menyebabkan Melayu terbahagi pada pelbagai

kelompok dan kasta. Martabat Melayu tidak lagi dilihat sama. Ada Melayu yang dimuliakan

sehingga dicium tangannya semata-mata kerana mempunyai darah daripada keturunan yang

dianggap terhormat, dan ada Melayu lain yang dianggap manusia kelas lima hanya kerana dia

lahir daripada zuriat yang kurang besar pengaruhnya.

Praktis yang tidak menguntungkan inilah sepatutnya dihentikan. Melayu tidak harus diajar

mengagungkan kedaulatan sukunya, tetapi patut diasuh memartabatkan bangsanya secara

keseluruhan. Melayu tidak harus dibenarkan melebih-lebihkan mereka yang setempat atau

senegeri

dengannya, tetapi mesti dibentuk supaya mahu menerima mana mana sahaja Melayu tanpa

dakwa dan dakwi. Perspektif mereka terhadap Melayu harus menjadi lebih luas dan lebih

besar sekiranya mereka mahu bangsa mereka menjadi gagah dan kuat.

Melayu di Malaysia sebenarnya telah ditakdirkan mempunyai potensi untuk menjadi bangsa

yang besar. Kedudukan bumi tumpah darah mereka sudah cukup untuk membuka ruang ke

arah itu. Sifat semulajadi mereka sendiri membesarkan lagi ruang tersebut.

Sejak terlalu lama dahulu Semenanjung Tanah Melayu berperanan sebagai tempat yang

mempertemukan barat dan timur. Baik Kuala Merbok mahupun Kota Melaka, kedua duanya

sama-sama menjadi tempat para pelaut dan pedagang dari barat berurusan dengan mereka

yang datang dari timur.

Keadaan ini sudah tentulah menyebabkan orang Melayu terdedah pada aliran kemasukan

budaya daripada kedua-dua arah mata angin itu. Tidak hanya itu, ia juga membuka peluang

pada berlakunya penyekutuan budaya-budaya tersebut ke dalam kehidupan mereka. Proses

itu berlaku bukan sahaja melalui pergaulan yang berasaskan urusan mencari makan, tetapi

juga melalut pada hal-hal yang membabitkan nikah kahwin. Dengan perkataan lain,

kedatangan pedagang-pedagang asing itu

menyediakan laluan untuk berlakunya perkahwinan campur.

Orang Melayu terkenal dan dikenali kerana ketaatannya. Jika ada sifat semulajadi mereka

yang luar biasa, ianya tidak lain daripada ketaatan tersebut. Melayu taat pada sesiapa sahaja -

raja, kawan dan tidak terkecuali sanak saudara.

Kepada agama pun begitu. Ketaatan Melayu sukar dipertikai. Di kalangan semua penganut

agama Islam barangkali tidak ada yang lebih setia kepada agamanya selain daripada Melayu.

Kalaupun seorang Melayu itu mungkin bukan penganut Islam yang baik, namun dia tetap

seorang pembela Islam yang unggul. Dia, pada bila-bila masa, biasanya bersedia untuk

mempertaruhkan darah dan nyawa demi agamanya.

Dengan berkuncikan ketaatan itu, orang Melayu tidak menghadapi masalah untuk menerima

apa sahaja yang mempunyai kaitan dengan Islam. Mereka, pada masa yang sama, tidak

mempunyai masalah untuk menerima segala yang dianggap telah disuratkan oleh Allah

Taala.

Berasaskan dua kedudukan inilah, sebagai Islam yang pasrah pada takdir dan sebagai

penghuni di Semenanjung yang mempertemukan aneka budaya, orang Melayu menerima

baik amalan perkahwinan campur. Asal sahaja yang ingin berkahwin dengan anak atau

saudara mereka itu beragama Islam, orang Melayu tidak akan menghalangnya. Mereka

menerimanya sebagai anak menantu yang telah ditentukan oleh takdir.

Pada masa lalu sikap merelakan dengan mudah perkahwinan campur ini jarang terdapat pada

bangsa-bangsa lain. Orang-orang China yang beragama Buddha tidak dapat menerima

dengan mudah seorang India penganut Buddha untuk dijadikan pasangan hidup anaknya.

Seorang Inggeris penganut Kristian totok belum tentu tidak menutup pintu rumah bagi

menghalang seorang Arab yang ingin mengahwini anaknya walaupun Arab itu juga seorang

Kristian totok.

Pendek kata, perkahwinan campur di kalangan bangsa bangsa lain adalah budaya baru. Ia

jarang berlaku pada masa dahulu. Sebab itulah di China tidak terdapat orang China berdarah

mamak dan di England tidak ada orang Inggeris berdarah China. Kalaupun ada, ia hanya kes-

kes terpencil. Bilangannya tidak cukup untuk berkembang biak menjadi satu suku keturunan

China baru atau satu suku keturunan Inggeris baru.

Di Tanah Melayu, perkahwinan campur yang diamalkan sejak beratus-ratus tahun dahulu itu

telah menghasilkan baka Melayu campur yang sangat banyak. Baka itu telah berkembang dan

membina kelompok-kelompok yang kemudiannya bercantum menjadi suku- suku keturunan

baru.

Sebagaimana diketahui, yang paling banyak terlibat dalam perkahwinan campur dengan

orang Melayu ialah para pedagang dari Arab dan India, yang menghasilkan Melayu berdarah

Arab dan Melayu berdarah Mamak. Hal ini tentulah berlaku kerana para pedagang dari

kedua-dua rantau itu umumnya beragama Islam. Jika ditakdirkan pedagang-pedagang dari

China juga beragama Islam sudah pasti sekarang ini wujud Melayu dari suku yang berdarah

China. Begitu juga kalau penjajah Portugis, Belanda dan Inggeris beragama Islam, sudah

tentu senarai suku kaum yang berada di bawah panji-panji Melayu akan menjadi lebih

panjang. Pasti akan turut berada di situ ialah Melayu berdarah Portugis, berdarah Belanda dan

berdarah Inggeris.

Adalah satu kenyataan juga bahawa perkahwinan campur yang berlaku di Tanah Melayu

pada zaman dahulu umumnya bersifat berat sebelah. Yang kerap berlaku ialah lelaki-lelaki

asing berkahwin dengan perempuan Melayu dan bukan sebaliknya.

Di dalam banyak sistem budaya, apabila berlaku perkahwinan yang bersifat sedemikian,

biasanya yang rugi adalah bangsa pihak perempuan. Mereka bukan sahaja akan ‘kehilangan’

seorang perempuan, tetapi akan ‘kehilangan’ hak ke atas anak-anak yang bakal dilahirkan

oleh perempuan itu. Anak-anak itu akan menjadi hak bangsa bapanya. Dia akan menjadi

sebahagian daripada mereka, dan zuriat selepas itu akan perlahan-lahan hilang daripada

rumpun asal ibunya. Dia dan anak cucunya akan menjadi sebahagian daripada anggota

bangsa si bapa.

Disebabkan oleh sistem sosial begitu, banyak bangsa bangsa kecil di dunia lenyap begitu

sahaja. Keadaan ini berlaku apabila bangsa-bangsa yang lebih besar menakluki mereka,

mengahwini perempuan-perempuan mereka, dan kemudian ‘memiliki’ anak-anak yang lahir

hasil daripada perkahwinan itu. Lama-kelamaan saiz bangsa kecil tersebut akan menjadi lebih

kecil dan akhirnya ia akan pupus begitu sahaja.

Ironinya perkara itu tidak berlaku di Tanah Melayu.Perkahwinan campur tidak meluakkan

bilangan Melayu, sebaliknya menambah besarkan lagi bilangan mereka. Anak-anak hasil

daripada perkahwinan campur itu amat jarang ‘terlepas’ ke pihak si bapa. Anak India Muslim

dengan wanita Melayu tidak akan membesar sebagai lelaki atau perempuan India Muslim.

Anak wanita Melayu dengan lelaki Arab juga tidak akan membesar sebagai seorang Arab.

Mereka akan menjadi Melayu, diterima sebagai Melayu dan kekal di dalam adat resam

Melayu. Kalaupun satu atau dua generasi imej kacukan mereka mungkin masih kuat, namun

lama-kelamaan mereka kembali menjadi Melayu dalam erti kata sebenar.

Jika dilihat dalam perspektif kebangsaan yang luas, faktor ini jelas amat menguntungkan

Melayu.Ia memberi peluang pada Melayu untuk menjadi bertambah ramai dan bertambah

besar.

Kita sedar yang perpecahan bukanlah hak asasi orang Melayu sahaja. Ia merupakan hak milik

semua bangsa. Orang orang Cina juga berpecah. Sejak saat awal datang ke Tanah Melayu

mereka sudah tidak boleh bersatu. Masing-masing terpaksa berlindung di bawah kumpulan-

kumpulan kecil yang mempunyai keserasian dengannya, sama ada kerana berasal dan satu

tempat atau datang daripada suku keturunan yang sama.

Tetapi perpecahan itu mempunyai batas-batasnya. Dalam keadaan perlu orang-orang Cina

boleh melupakan perbezaan itu dan bergerak berganding bahu. Apa yang lebih menarik ialah,

mereka tidak sekali-kali membiarkan imej kesukuan itu menenggelamkan imej Cina sebenar

yang mereka miliki.

Sikap beginilah yang patut kita contohi. Kita tidak harus membiarkan imej suku itu dan suku

ini membenamkan hakikat bahawa kesemua suku yang berbeza itu sebenarnya adalah

Melayu. Kita tidak boleh terus menerus mencari perbezaan antara sesuatu suku atau rumpun,

sebaliknya mesti berusaha mencari seberapa banyak persamaan yang ada.

Kita perlu belajar daripada sejarah. Perlu melihat bagaimana bangsa Arab yang sudah cukup

tua itu terus menerus menjadi lemah. Puncanya semata-mata kerana tabiat terlalu

mementingkan suku keturunan dan di kalangan suku suku itu pula terdapat perlumbaan untuk

mencari perbezaan.

Fahaman kesukuan yang kuat akhirnya menyebabkan bangsa Arab jahiliyiah hidup

bercempera. Mereka sibuk menghabiskan masa untuk berperang sesama sendiri.

Orang-orang Arab jahiliyah itu bernasib baik kerana Allah menurunkan Nabi Muhammad

s.a.w. untuk menyatupadukan mereka. Jika bukan kerana seruan dan ajaran Rasulullah s.a.w.

mungkin nasib bangsa Arab sekarang setaraf dengan orang orang Gypsy.

Orang Melayu juga patut bersyukur kerana rahmat Allah sampai kepada mereka. Mereka

ditakdirkan berpeluang mengenali, memahami dan menghayati Islam. Sepatutnya kesempatan

itu digunakan dengan sebaik-baiknya. Dalam Islam tidak terdapat anjuran untuk membezakan

manusia berdasarkan suku keturunannya. Apa yang ditekankan berulang-ulang oleh agama

suci itu ialah soal persamaan taraf dan darjat manusia di sisi Allah.

Ajaran Islam telah diterimapakai sebagai asas yang mutlak dalam kehidupan setiap umat

Melayu di Malaysia. Kita tidak menerima ajaran itu secara main-main. Kita sangat komited

dengannya. Oleh itu dengan asas yang sedia diajar oleh Islam, khususnya mengenai konsep

persamaan taraf dan darjat, kita sepatutnya tidak menghadapi masalah langsung untuk bersatu

padu.

Rekod kita dalam hal ini pun memang sangat cemerlang. Semenjak lama dahulu kita telah

membuktikan kebolehan kita bersatu padu dengan pedagang-pedagang asing yang datang

mencari nafkah di sini. Selepas merdeka kita membuktikan pula kemampuan untuk bersatu

padu dengan kaum pendatang yang bukan Melayu.

Melayu mempunyai nilai toleransi yang besar dan hebat dalam hal yang membabitkan

bangsa-bangsa lain. Apabila konsep Bangsa Malaysia diperkenalkan, kita menerimanya

dengan mudah walaupun ia bermakna kita perlu mengorbankan banyak nilai-nilai

keMelayuan yang selama ini kita bina, kita pupuk dan kita pelihara. Kita juga telah

mengorbankan nama Tanah Melayu sehinggakan anak cucu kita sekarang sudah tidak pandai

lagi menyebutnya. Kemudian pada suatu ketika, kita malah sanggup membenarkan pula

Bahasa Melayu dipadam dan diganti dengan Bahasa Malaysia. Mujurlah langkah itu

diperbetulkan dan Bahasa Melayu dihidupkan semula, jika tidak bukan mustahil suatu masa

nanti orang Melayu akan teraba-raba mencari bahasanya sendiri.

Kita tidak sepatutnya menolak perpaduan dan apa juga usaha ke arah itu. Tetapi kita juga

tidak seharusnya membenarkan sesetengah Melayu mencagarkan bangsanya dengan toleransi

yang berlebihan, terutama dalam kes-kes yang membabitkan gagasan baru seperti

pembentukan Bangsa Malaysia. Kita tidak boleh membenarkan Melayu yang suka mengalah

ini tenggelam dalam pembentukan ‘bangsa baru’ itu.

Bangsa Malaysia, boleh dan memang perlu wujud, tetapi dalam bentuk yang bersifat abstrak.

Tidak perlulah kita ke sana ke mari mendabik dada mengatakan kita ini berbangsa Malaysia,

sedangkan realitinya kita adalah berbangsa Melayu. Kita tidak perlu menyekutukan bangsa

dengan negara kerana Malaysia bermula bukan sebagai sebuah ‘melting pot’ sebagaimana

Amerika Syarikat atau Peranchis.

Kita boleh berbangga dengan negara kita. Kita boleh mendabik dada dengan kelebihan-

kelebihannya. Kita boleh berusaha menanamkan semangat kecintaan kepada negara kepada

sesiapa sahaja. Namun pada masa yang sama kita tidak harus mengorbankan semangat

kecintaan pada susur galur sendiri. Kita harus menerima hakikat bahawa yang membentuk

Malaysia adalah Melayu. Kita harus sedar bahawa Melayu telah lama wujud sebelum

Malaysia, jadi ia tidak boleh dibiarkan hilang begitu sahaja.

Tetapi mungkinkah Melayu mampu bertahan?

Jawapannya ada pada kita.

Jika semua Melayu mensyukuri apa yang telah Allah berikan kepada mereka selama ini,

soalan di atas sama sekali tidak akan timbul. Jika Melayu bersedia mengamalkan toleransi

sesama sendiri sehebat tolarensi mereka dengan orang lain, tidak ada sebab kenapa Melayu

tidak mampu bertahan.

Halangan besar kapada toleransi sebenar sesama Melayu ialah penyakit hasad dengki, yang

oleh banyak pihak telah disinonimkan dengan manusia Melayu sehingga dijenakakan bahawa

orang Melayu banyak berkelulusan Ph.D - bukan dokterat, tetapi Perangai Hasad Dengki.

Sikap tidak boleh melihat orang lain lebih, walaupun orang itu sedarah, sedaging dan

serumpun, telah menyebabkan banyak Melayu memilih untuk bermasam muka sesama

mereka. Kemesraan, kalaupun ada, tidak lagi diiring oleh keikhlasan, tetapi oleh keinginan

untuk melakukan pengkhianatan.

Sikap-sikap begitulah yang perlu dikikis habis-habisan daripada hati nurani setiap Melayu.

Kita perlu sama-sama akur bahawa satu-satunya kekuatan yang kita ada ialah pertalian

dengan saudara-saudara yang sebangsa dan seagama. Pertalian itulah yang mesti dipelihara.

Kita harus melupakan terus soal suku dan rumpun. Sama ada seseorang itu Melayu Siam atau

Melayu Sunda, Melayu Rawa atau Melayu Jawa, Melayu Bentan atau Melayu Pakistan,

selagi dia masih mengamal dan menyanjung adat budaya Melayu, maka kita harus

menerimanya sebagai Melayu yang satu. Dia tidak boleh diasing-asingkan lagi.

Percayalah, Melayu tidak akan ditertawakan kalau berbuat begitu, tetapi Melayu tidak akan

berupaya ketawa kalau terus bersusah payah mengecilkan bilangannya sendiri!

BAHAGIAN DUA

MELAYU DI MALAYSIA: DILEMA ATAU ENIGMA?

1 MELAYU KECIL DI BUMI SENDIRI

DALAM satu jurnal peribadinya, Frank Swettenham, yang berkunjung ke Kuala Lumpur

pada bulan Mac 1875 telah mencatatkan anggaran bahawa terdapat kira-kira 1,000 orang

Cina dan antara 500 hingga 700 orang Melayu - kebanyakannya pendatang dari Sumatera - di

bandar yang baru dibuka itu.

Dalam ‘Old Kuala Lumpur’ pula, J.M. Gullick menyebut, bagaimana empat tahun selepas

tarikh yang disebutkan oleh Swettenham itu, harga timah melonjak dan 73 Paun Sterling

kepada 96 Paun Sterling bagi setiap satu tan. Ini mengakibatkan jumlah orang-orang Cina di

Kuala Lumpur meningkat dengan sangat mendadak, menjadi lebih 4,000 orang dan bilangan

orang Melayu pula hanya di sekitar 1,500 orang.

Pada tahun 1891, apabila penduduk Kuala Lumpur dianggarkan berjumlah 20,000 orang,

nisbah penduduk Melayu terus bertambah kecil.

Apakah yang tergambar di sebalik kenyataan-kenyataan itu? Mudah. Ianya adalah petunjuk

paling jelas tentang bagaimana mudahnya Melayu menjadi kecil di bumi sendiri.

Kemasukan besar-besaran imigran Cina dan India untuk menampung keperluan tenaga buruh

di sektor perlombongan dan perladangan pada kurun ke-19 telah mengubah struktur sosio-

politik Melayu secara menyeluruh. Ia juga secara langsung telah menyerkupkan selubung

baru ke bumi Semenanjung ini.

Sebagai bangsa yang sudah terdedah pada kemasukan pengaruh luar sejak era Srivijaya dan

Langkasuka lagi, kemasukan orang-orang asing itu tidak mencetuskan kejutan yang serius

pada orang Melayu. Mereka menerimanya dengan segala senang hati. Mereka tidak

menganggap kemasukan itu membawa apa-apa ancaman terhadap kehidupan dan masa depan

mereka. Mereka percaya, selagi -negeri mereka masih beraja, selagi para pembesar Melayu

bebas mengutip cukai, dan selagi rakyat bawahan bebas keluar masuk hutan mencari damar

dan rotan serta bebas mengerjakan sawah dan huma, kedudukan mereka langsung tidak

tergugat.

Apabila kumpulan imigran itu, yang berketurunan Cina terutamanya, mula berkembang dari

sektor perlombongan ke sektor perniagaan lain, orang Melayu masih tidak berasa apa-apa.

Sifat bersedia menerima yang tebal di lubuk hati menyebabkan mereka meredhakan

kemajuan orang-orang Cina itu tanpa sebarang rasa curiga.

Pada peringkat awal, imigran-imigran Cina itu tidak mempunyai minat untuk mencampuri

urusan politik. Mereka lebih menganggap kedatangan mereka ke Tanah Melayu adalah

semata-mata untuk mencari makan. Mereka masih terfikir untuk balik ke Tanah Besar apabila

telah mendapat segala yang dicari.

Imigran India pun begitu. Hasrat untuk balik ke tanah tumpah darah sendiri setelah tiba

masanya nanti menyebabkan golongan pendatang tersebut beranggapan mencampuri urusan

politik setempat adalah kerja sia-sia. Mereka tidak akan mendapat faedah daripada campur

tangan itu kerana lambat laun bumi ini akan ditinggalkan juga. Jadi, sambil meletakkan nasib

mereka di bawah kibaran Union Jack, kumpulan imigran itu menyerahkan urusan pentadbiran

dan politik kepada orang Melayu - yang sudah tentulah melakukannya dengan restu, tunjuk

ajar dan arahan penjajah Inggeris.

Sikap tidak mencampuri urusan politik tempatan ini banyak membantu memainkan peranan

dalam membina keyakinan orang-orang Melayu terhadap kelompok imigran tersebut. Orang-

orang Melayu turut percaya pendatang pendatang itu benar-benar datang ke mari untuk

mencari makan bukannya untuk mencampuri urusan negeri mereka. Dengan kepercayaan itu

hubungan Melayu - imigran terus terpelihara baik. Dan hasilnya, yang betul-betul mengaut

keuntungan ialah penjajah Inggeris. Sang penjajah itu sudah tentulah berhak berasa lega

kerana tindakan mereka membawa masuk orang-orang luar itu tidak mendapat tentangan

daripada anak-anak pribumi. Ini sesungguhnya amat jarang berlaku. Di mana-mana pun

kemasukan orang asing, apatah lagi secara besar-besaran, amat jarang disambut baik oleh

penduduk asal wilayah yang berkenaan.

Tetapi jangan tersilap. Inggeris sebetulnya tidak pernah bermaksud hendak menyatupadukan

antara Melayu dengan bukan-Melayu. Dasar pecah dan perintahnya tidak akan membenarkan

perkara begitu berlaku. Untuk itu, dalam bergembira dengan reaksi positif Melayu menerima

kedatangan pendatang-pendatang asing tersebut, Inggeris juga berusaha merenggangkan

kedua-dua belah pihak. Secara halus mereka dilaga-lagakan. Tujuannya amat jelas, iaitu

supaya kedua-dua pihak sama-sama menganggap Inggeris penting.

Kemakmuran yang dikecap di bumi Tanah Melayu ini menyebabkan secara perlahan-lahan

kumpulan imigran Cina dan India itu mula melupakan tanah tumpah darah mereka. Mereka

lebih seronok mencari makan di sini daripada membawa balik apa yang telah diperolehi dan

memulakan penghidupan baru di tempat sendiri. Lebih daripada itu, mereka juga mula

menjemput lebih banyak saudara mara supaya bersama-sama datang mencari rezeki di sini.

Bagi penjajah Inggeris semua itu membawa keuntungan yang tidak sedikit. Mereka sendiri

malah melakukan berbagai cara untuk menggalakkan kemasukan imigran-imigran asing itu.

Mereka tidak hanya menyediakan kapal malah memberikan perlindungan yang secukupnya

kepada kumpulan pendatang tersebut. Saudagar-saudagar timah di Negeri-Negeri Selat

misalnya, sentiasa bersedia menyalurkan bantuan modal kepada pelombong-pelombong Cina,

sementara pentadbir Inggeris pula sentiasa berusaha memastikan agar buruh-buruh Cina dan

India mendapat kawasan penempatan yang betul dan sesuai.

Rahmat besar yang diperolehi oleh Inggeris berikutan kemasukan golongan imigran itu

bukanlah sahaja kerana mereka itu mempunyai daya saing dan kesanggupan bekerja yang

luar biasa, tetapi juga kerana sedikit demi sedikit mereka berperanan membantu

mengimbangi pengaruh orang Melayu.

Perlu disebut kembali bahawa perasaan tidak senang orang Melayu terhadap penjajah

Inggeris telah bermula sejak tahun 1870-an apabila sistem Residen diperkenalkan di Perak.

Bermula dengan pembunuhan J.W.W. Birch, Residen Inggeris yang pertama di Perak, orang

Melayu memberi isyarat bahawa, sebarang usaha Inggeris untuk campur tangan dalam hal

yang membabitkan adat resam dan agama mereka hanya akan mengundang musibah.

Pembunuhan itu juga membawa roh baru dalam jiwa orang Melayu. Mereka tidak lagi

melihat Inggeris sebagai tuan besar yang harus diberi tabik atau dicium tangan, tetapi

sebaliknya sebagai penjajah yang terang-terang merampas hak warisan mereka.

Gerakan penentangan ke atas Inggeris tidak berhenti setakat di Perak. Ia menular ke Pahang.

Satu demi satu wira-wira Melayu bangkit mengangkat senjata. Datuk Bahaman, Tuk Gajah,

Mat Kilau, menjadi nama-nama yang menyebabkan Inggeris tidak lelap tidur.

Arus kebangkitan itu sudah tentulah amat tidak menggembirakan Inggeris yang selama ini

cukup berjaya mencucuk hidung orang Melayu. Penjajah dari England itu amat khuatir

terhadap kemungkinan orang Melayu benar-benar bersatu dan menyuarakan penentangan

secara bersama. Selama ini dasar pecah dan perintah mereka telah menyebabkan Melayu

saling terpisah. Dasar yang membezakan Melayu bangsawan dengan Melayu marhain,

Melayu Makasar dan Melayu jati, Melayu makan gaji dengan Melayu kuli itu telah dengan

jayanya menyebabkan Melayu menjadi kelompok-kelompok yang tidak mungkin dapat

duduk, apatah lagi berjuang secara bersama.

Bagaimanapun pembunuhan Birch menjadikan Inggeris segera sedar bahawa dalam keadaan

tertentu Melayu rupa rupanya boleh bersatu. Peristiwa itu menjadi bukti jelas tentang

bagaimana golongan pembesar Melayu boleh melupakan perbezaan pendapat mereka dan

kemudian membina pendapat baru secara bersama. Ia juga menjadi bukti bahawa dalam

keadaan marah, orang Melayu yang terkenal dengan lemah lembut dan budi bahasanya, boleh

bertindak di luar jangkaan.

Bagi membendung kebangkitan Melayu itu, Inggeris memerlukan suntikan-suntikan baru dari

luar. Salah satu caranya ialah dengan menggalakkan kemasukan imigran asing. Kemasukan

pendatang-pendatang itu secara besar-besaran akan mencetuskan satu suasana baru di Tanah

Melayu. Aktiviti ekonomi akan menjadi lebih giat. Struktur sosialnya akan berubah. Orang

Melayu akan turut menjadi sibuk, sama ada kerana mahu menyertai aktiviti ekonomi itu atau

kerana mahu menjadi pemerhati. Dengan itu mereka tidak mempunyai masa lagi untuk duduk

mencari kesalahan Inggeris.

Kejayaan imigran-imigran itu memesatkan kegiatan ekonomi telah menyebabkan Inggeris

menjadi bertambah kuat. Pendatang-pendatang itu tidak setakat diberi ruang mencari makan,

tetapi digalakkan membina kelompok masyarakatnya sendiri. Kapitan-kapitan Cina dilantik

dan diberi tauliah untuk menguasai sesuatu kelompok atau kawasan.

Akhirnya, secara perlahan-lahan, para kapitan ini mula mempunyai peranan sebagaimana

pembesar-pembesar Melayu. Mereka mempunyai kuasa untuk membuat keputusan di

samping kuasa untuk melakukan tawar menawar. Dengan sendirinya kewujudan mereka mula

menjadi batu pengimbang terhadap pengaruh golongan bangsawan Melayu. Inggeris

meletakkan kapitan-kapitan itu di suatu tahap, di mana sekiranya berlaku sesuatu yang buruk

dalam hubungan mereka dengan orang Melayu, Inggeris akan mendapat bantuan dan

sokongan daripada kapitan-kapitan tersebut.

Dalam keghairahan mencari kekayaan di bumi Semenanjung ini kumpulan imigran Cina itu

tidak sedar, atau barangkali sengaja enggan menyedari, bahawa mereka sebenarnya telah

menjadi alat bagi Inggeris meneruskan cita-cita dan dasar kolonialismenya. Mereka

membenarkan diri dijadikan kuda tunggangan Inggeris. Apabila berlaku sengketa antara

pembesar-pembesar Melayu hasil dasar adu domba penjajah, kumpulan orang-orang Cina

inilah yang disorong oleh Inggeris untuk turut campur tangan. Mereka dijadikan alat untuk

tawar menawar dan senjata untuk Inggeris mengekalkan pengaruh.

Inggeris ternyata berjaya. Untuk suatu tempoh, ia mampu mengekang kebangkitan orang-

orang Melayu. Semangat Datuk Maharajalela, Datuk Sagor, Datuk Bahaman dan kawan

rakan mereka tidak bersambut dalam erti kata yang sebenar untuk jangka waktu yang agak

panjang. Untuk sementara waktu, Melayu turut sibuk menumpang kemakmuran yang terhasil

daripada kepesatan pembangunan di sektor perlombongan dan perladangan. Walaupun

mereka cuma mendapat sisa dan serdak, ia sudah memadai bagi mencetuskan kegembiraan

baru di hati nubari orang Melayu.

Sebagai pemilik asal tanah bertuah ini tidaklah sukar bagi orang Melayu untuk menumpang

kemakmuran itu. Mereka barangkali tidak mahir bekerja di kebun atau di ladang, namun

mereka mempunyai aset lain yang tidak dimiliki, tetapi sangat-sangat diperlukan oleh

pendatang-pendatang asing itu. Aset tersebut ialah tanah yang mereka teroka dan mereka

usahakan lama sebelum kedatangan orang-orang asing itu.

Dengan memajak atau menjual tanah-tanah mereka kepada gerombolan pendatang tersebut,

orang Melayu sudah boleh hidup bergoyang kaki. Mereka tidak mempunyai masalah untuk

melakukannya. Ini tanah mereka. Ini kampung halaman mereka. Mereka boleh menjual yang

sedia ada, kemudian menyingsing lengan meneroka kawasan baru. Kemudian, apabila ada

orang asing berminat dengan kawasan baru itu, mereka boleh menjualnya lagi dan mencari

kawasan lain pula untuk dipugar.

Proses ini berlaku dengan pesatnya. Melalui cara inilah orang Melayu memberi laluan kepada

imigran-imigran tersebut, khususnya kaum Cina. Mereka meninggalkan pekan-pekan yang

mereka buka sejak lama kepada rakan-rakan baru mereka itu. Mereka membiarkan kedai-

kedai kecil mereka ditukarkan kepada bangunan-bangunan batu yang lebih mantap.

Banyak kalangan berpendapat, fenomena ini berlaku kerana orang Melayu tidak mempunyai

daya saing. Mereka gagal menerima asakan imigran-imigran asing tersebut. Mereka tidak

sanggup untuk bersaing mencari rezeki bersama kumpulan imigran itu. Dan sebagai jalan

keluar mereka memilih untuk berundur.

Pendapat itu sebenarnya tidaklah seratus peratus benar. Jika orang Melayu tidak mempunyai

daya saing sudah pasti sejak lama dahulu mereka menjadi orang—orang bukit. Perlu diingat,

sebagaimana dinyatakan dalam bab-bab yang terdahulu, bahawa asakan asing ke atas

kehidupan orang Melayu telah berlaku terlalu lama. Bangsa Melayu telah dihimpit sejak

zaman Langkasuka dan Srivijaya. Ianya berlanjutan hingga ke zaman kegemilangan Melaka,

ke era Portugis, Belanda dan Inggeris. Begitupun sehingga pertengahan kurun ke-19 Melayu

masih mampu bertahan di kawasan-kawasan penempatan yang dalam istilah sekarang ini

dinamakan bandar dan pekan.

Satu pendapat lain yang tidak kurang popularnya mengaitkan langkah orang Melayu memberi

laluan kepada imigran-imigran asing itu dengan sifat baik hati mereka. Kononnya, orang

Melayu ini terlalu pemurah, terlalu ‘tidak apa’ dan terlalu pasrah kepada takdir. Bagi orang

Melayu tetamu adalah segala-galanya. Mereka tidak akan menjamah makanan sebelum

tetamu berbuat demikian. Mereka sanggup tidur di luar kelambu asalkan tetamu tidak digigit

nyamuk.

Orang-orang Cina dan India yang datang ke mari tidak hanya dianggap tetamu, tetapi rakan

yang membawa kemakmuran. Kerana itu mereka diraikan begitu rupa. Kerana itu orang

Melayu sering sanggup menghulurkan pinggan dan menyuakan nasi yang sedang mereka

makan.

Tetapi pendapat itu sebenarnya hanyalah jenaka yang tidak perlu diulas. Realitinya orang

Melayu tidak sebodoh itu. Apa yang mungkin berlaku sebenarnya ialah orang Melayu tidak

cukup bersedia untuk menerima perubahan wajah Tanah Melayu sebagaimana yang berlaku

pada kurun ke-19.

Melayu, sebelum ledakan industri perlombongan dan perladangan, merupakan bangsa yang

hidup dalam budaya ala-kadar. Tidak ada apa yang perlu mereka kejar dan tidak ada apa yang

hendak dibimbangkan. Semuanya dilakukan semata-mata setakat untuk cukup makan.

Menuduh Melayu menjadi demikian kerana sifat malas semulajadi mereka adalah suatu

tindakan yang tidak adil. Hakikatnya, mereka tidak mempunyai sebab untuk menjadi rajin.

Mana-mana bangsa sekalipun, jika berada dalam situasi orang Melayu di Semenanjung ketika

itu, sudah pasti akan mengambil sikap yang serupa. Bumi ini terlalu makmur. Segala yang

ada di bumi ini Iebih daripada memadai untuk membolehkan mereka hidup selesa.

Keselesaan hidup menyebabkan orang Melayu tidak berasa perlu untuk menoleh ke belakang

dan melihat kejayaan kejayaan yang pernah dicapai oleh nenek moyang mereka. Keselesaan

hidup juga menyebabkan mereka tidak terdorong untuk bergerak ke hadapan bagi mencari

kejayaan-kejayaan baru. Malah mereka sebenarnya tidak tahu apa-apa tentang kejayaan.

Mereka tidak mempunyai kemampuan untuk membandingkan antara yang berjaya dengan

yang tidak.

Persekitaran yang ada dalam hidup orang Melayu waktu itu bukan sahaja tidak merangsang

mereka untuk berjaya, malah dalam sesetengah keadaan, menghalang mereka daripada

berbuat demikian. Kecetekan pemahaman agama misalnya, menyebabkan mereka percaya

bahawa segala apa yang dilalui telah tersurat di luh mahfuz. Mereka tidak berupaya

mengubahnya. Malah sebagai penganut Islam yang taat mereka tidak mahu mengubahnya.

Mereka bukan takut berjaya, tetapi mereka takut berdosa.

Satu perkara lain yang memungkinkan semua itu berlaku ialah sebelum kurun ke-20 konsep

‘bangsa’ di kalangan orang Melayu masih tidak begitu jelas. Di kalangan orang lain pun

begitu. Walaupun istilah bangsa mula diperkenal dalam bahasa bahasa Eropah sejak abad ke-

16, dan yang pertama melalui buku ‘The Book of Martyrs’ oleh John Foxes, pada tahun 1563,

namun konsep pengasingan manusia itu tidak begitu dipedulikan. Sesuatu kelompok biasanya

lebih dikenali dengan negeri yang didudukinya dan ketua atau raja yang ditaatinya, bukan

bangsa keturunannya.

Sebagaimana disebutkan sebelum in orang Melayu sejak lama membahagi-bahagikan diri

mereka mengikut rumpun keturunannya. Mereka tidak berdiri sebagai bangsa Melayu yang

besar, tetapi sebaliknya bercempera sebagai bangsa Melayu yang berkelompok. Ibrahim

Yaakob, nasionalis Melayu yang terkenal itu, lewat tulisannya dalam ‘Melihat Tanahair’

menyebut bagaimana selepas kejatuhan Melaka orang Melayu tidak tahu apa-apa lagi tentang

bangsa mereka. Mereka bertaburan. Ibrahim sendiri, sewaktu bertemu orang-orang Minang,

Banjar dan Bawean di Perak pada sekitar tahun 1930-an, mendapati mereka semua tidak

menganggap diri masing-masing sebagai Melayu. Mereka, seperti juga Melayu di tempat-

tempat lain, hanya setia pada kelompok dan ketuanya sahaja.

Manusia tanpa bangsa, pada bila-bila masa pun, akan menjadi lemah. Ini jugalah yang

berlaku pada orang Melayu apabila mereka gagal ‘mengenali’ bangsanya sendiri.

Ditakdirkan orang Melayu mengenali akar umbi bangsanya sejak awal, dilema Melayu

tentulah tidak seperti sekarang. Ditakdirkan orang Melayu sedar bahawa nenek moyang

mereka dahulu pernah menguasai nusantara, sudah tentulah buku seperti ini tidak perlu

ditulis.

Tetapi takdir tidak menjadikannya begitu. Orang Melayu tenggelam dalam kekeliruan dan

semasa sedang keliru itulah mereka tiba-tiba menerima tekanan demi tekanan, yang dibawa

secara tidak langsung daripada gerakan kemasukan imigran asing. Mereka dikejutkan oleh

pembukaan satu demi satu lombong dan sebuah demi sebuah ladang. Hidup mereka yang

sebelum itu berkisar pada sungai, huma dan hutan tiba-tiba diserkupi segala sesuatu yang

baru. Dan sesuatu itu pula berlaku terlalu pesat dan terlalu mendadak. Akibatnya, tatkala

Melayu terpinga-pinga untuk mencari hala tuju, mereka secara perlahan lahan mula

dicicirkan.

Apa pun, dalam keadaan orang Melayu terus-menerus keliru itu, aliran kemasukan imigran

asing tetap berlaku dengan amat pesat. Dianggarkan antara tahun suku terakhir abad ke-19

hingga awal abad ke-20, lebih dua juta imigran Cina dibawa masuk ke Tanah Melayu. Jumlah

imigran India juga tidak lagi kecil.

Kumpulan pendatang itu, mungkin kerana bilangannya yang bertambah besar, tidak setakat

tertumpu ke kawasan kawasan perlombongan seperti di Selangor, khususnya Kuala Lumpur

atau di Perak. Mereka malah bertebaran ke negeri negeri lain, termasuk Negeri-Negeri

Melayu Tidak Bersekutu. Di Kedah misalnya, pada tahun 1870, telah ada tauke-tauke Cina

dan saudagar-saudagar India masuk mengusahakan ladang serta membuka pekan-pekan kecil.

Di pekan sekecil Kangar, kumpulan orang-orang asing ini tetap muncul dan mencari rezeki

dengan selesa. Ketika William Walter Skeat, seorang pegawai kanan Inggeris tiba di Kangar

bersama rombongannya pada 3 Januari 1900, dia mendapati pekan itu dikuasai oleh orang-

orang Cina. Terdapat 62 buah rumah kedai yang diperbuat daripada batu dan lapan buah

kedai yang dibina daripada kayu-kayu hutan dan beratap nipah. Kesemua 62 buah kedai batu

itu milik peniaga Cina dan kesemua lapan buah kedai kayu itu milik peniaga Melayu!

Arus kemasukan orang-orang asing itu sesungguhnya tidak pernah berkurangan. Kegiatan

ekonomi yang rancak digerakkan oleh imigran-imigran terdahulu menjadi tangan yang

sentiasa menggamit kedatangan imigran-imigran baru. Hasilnya, pada tahun 1931, bilangan

orang Cina di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (Pahang, Perak, Selangor dan Negeri

Sembilan) telah mencapai angka 64 peratus daripada jumlah penduduk keseluruhannya. Di

Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis pula angka itu mencecah 29 peratus.

Enam tahun kemudian, iaitu pada tahun 1937, satu banci rasmi menunjukkan jumlah orang

Melayu di Perak ialah 307,245 orang. Orang Cina? Angkanya ialah 376,950 orang!

Dan angka-angka inilah yang menyebabkan orang Melayu ketika itu diburu oleh satu

kebimbangan baru.

2 MELAYU, POLITIK DAN NASIONALISME

SEBELUM 1920-an istilah politik tidak pernah wujud dalam kamus hidup orang Melayu.

Mereka tidak mengenalnya, malah tidak pernah mempedulikannya. Perkataan yang paling

hampir maksudnya dengan politik dan pernah digunakan oleh orang Melayu - itu pun cuma

segelintir kalangan yang berilmu - ialah ‘siasah’, yang asalnya merupakan perkataan Arab.

Kerana tidak biasanya dengan politik, maka apabila perkataan itu diperkenalkan, orang

Melayu termangu-mangu. Ada seorang penulis Melayu pada sekitar tahun

1927,mendefinasikan politik sebagai ‘suatu adat baru’.

Kesimpulan yang boleh dibuat di sini ialah kesedaran sebenar orang Melayu tentang hak

politiknya adalah perkara baru. Mereka tidak pernah memikirkannya secara serius sebelum

memasuki abad ke-20. Penentangan terhadap penjajah pada era sebelumnya adalah lebih

bersifat individu. Kepentingannya juga adalah kepentingan individu, atau paling lebih

kelompok kecil yang diwakili oleh individu itu,bukannya bangsa Melayu secara keseluruhan.

Arus kesedaran sebenar orang Melayu tentang hak mereka mula dapat dikesan melalui

tulisan-tulisan Zaaba di dalam Al-Imam dan Mohd. Eunos Abdullah, yang menjadi

penyunting Utusan Melayu versi sisipan akhbar Inggeris ‘Free Press’. Tulisan-tulisan itu

membawa aliran menyeru orang Melayu supaya bersatu dan membina jati diri masing-

masing. Aliran itu cepat meninggalkan kesan di hati umat Melayu yang sebelumnya

terlowong kosong. Utusan Melayu versi sisipan itu misalnya, dengan cepat menjadi bahan

bacaan di kedai-kedai kopi, dan ianya dibaca dengan kuat. Tujuannya tentulah supaya isi

yang dibaca itu dapat dikongsi oleh semua Melayu lain yang mendengarnya.

Aliran kesedaran itu bertapak semakin kukuh pada sekitar tahun 1930-an. Banyak tulisan-

tulisan Ibrahim Yaakob menyebut bahawa pada dekad itulah orang Melayu mula sedar akan

ancaman yang dibawa oleh pendatang-pendatang asing terhadap hak mereka. Pada waktu itu

jugalah perasaan membenci pada orang asing mula bertunas.

Hasil daripada kesedaran itu muncullah seorang demi seorang nasionalis Melayu, yang

kebanyakannya terdiri daripada kalangan ulama dan mereka yang terlibat dalam bidang

persuratan dan persuratkhabaran.

Melalui nasionalis-nasionalis awal ini semangat kebangsaan mula tersebar. Melalui mereka

Melayu mula sedar bahawa mereka berada di suatu garisan yang menuntut kebangkitan

segera. Waktu itu mereka seakan tidak mempunyai pilihan lagi selain daripada bangun berdiri

atau terus lena dan dipijak lumat.

Seruan-seruan yang mengajak Melayu bersatu muncul dengan banyaknya. Pada mula,

kebanyakannya bercakap atas asas agama. Tokoh-tokoh seperti Syed Sheikh Alhadi, atau

yang terdahulu seperti Tuk Janggut dan Haji Abdul Rahman Limbong melihat penguasaan

asing sebagai ancaman besar terhadap kedudukan Islam di Tanah Melayu. Suara mereka

mula kedengaran dalam segala macam cara menyeru dan mengajak umat Islam supaya

bangkit mempertahankan hak. Pada waktu itu fokus penentangan lebih terarah pada penjajah

Inggeris dan budaya Kristian yang dibawa oleh mereka.

Daripada aliran penentangan itu berkembang pula suara-suara penentangan yang berasaskan

ras. Orang Melayu, dan Islam, tentunya mula menyedari bagaimana hak mereka menjadi

semakin kecil, dan pada masa yang sama orang lain mengaut pelbagai bentuk keuntungan di

atas hak itu. Dan bagi mereka, orang lain itu bukan setakat Inggeris.

Bagaimanapun satu keunikan sikap orang-orang Melayu ialah, mereka sebenarnya tidak

marah pada imigran Cina atau India. Malah tidak juga terhadap penjajah Inggeris. Nilai

toleransi mereka yang begitu tinggi, menyebabkan para nasionalis Melayu tidak

menganjurkan perjuangan ala-Ku Klux Klan, yang mengganas di Amerika Syarikat pada

pertengahan abad ke-19. Pemimpin pemimpin Melayu sejak awal lagi tidak mengamalkan

prinsip prinsip nasionalis yang berjiwa chauvanist. Mereka tidak mengajak orang Melayu

membenci sesiapa.

Apa yang berlaku ialah para nasionalis awal itu lebih banyak menyeru orang Melayu supaya

memperbaiki diri mereka sendiri. Mereka tidak mengapi-apikan anak bangsa mereka supaya

membenci orang lain. Mereka tidak menghasut orang Melayu supaya bangkit mengusir

sesiapa.

Kalaupun ada suara-suara terpencil yang cuba mencetuskan rasa benci Melayu kepada

penjajah dan imigran, suara itu acapkali akan terpadam. Ibrahim Yaakob, sebagai contoh,

menolak tanggapan bahawa yang mengancam masa depan bangsa Melayu ialah pendatang

asing. Baginya punca ancaman yang sebenar ialah modal asing, yakni kekuatan ekonomi

orang-orang luar. Dan berulangkali, sambil menekankan bahawa pendatang asing harus

menerima hakikat tentang perlunya orang Melayu memiliki hak kewatanan, Ibrahim juga

percaya, untuk mengatasi ancaman modal asing itu, orang Melayu tidak sekadar perlu bekerja

kuat, tetapi mesti bersatu padu.

Seruan-seruan seperti itu banyak meninggalkan bekas. Melayu yang bercelaru tentang status

bangsanya mula berganding tangan. Bugis, Jawa, Bawean, Aceh, Melayu Jati dan segala

rumpun lain yang terdapat di Tanah Melayu pada waktu itu tidak lagi mencari perbezaan di

antara mereka, sebaliknya masing-masing cuba mencari persamaan. Paling tidak, satu

persamaan yang ketara ialah, boleh dikatakan kesemua mereka beragama Islam.

Persamaan itu menjadi aset besar untuk mereka bergerak ke arah yang sama, dan dengan

matlamat yang sama. Hasil daripada itu, dalam tempoh yang singkat, Melayu mula berdiri

sebagai satu kesatuan bangsa.

Sebenarnya usaha menyatukan Melayu telah dapat dikesan seawal dekad 1920-an. Pada

waktu itu tertubuhlah apa yang dinamakan Kesatuan Melayu Singapura, di mana seorang

pengarang, Mohd. Eunos Abdullah menjadi presidennya.

Jika Kesatuan itu boleh dianggap sebagai organisasi politik Melayu yang pertama, Eunos

tentulah merupakan presiden pertubuhan politik Melayu yang pertama juga. Bagaimanapun

peranan Eunos dalam meniupkan semangat nasionalisme tidaklah begitu ketara kerana, oleh

banyak kalangan, dia dianggap Melayu yang taat pada Inggeris.

Apa juga yang tersirat di sebalik usaha menubuhkan Kesatuan Melayu Singapura, ia tetap

merupakan langkah yang baik ke arah penyatuan Melayu. Dan langkah itu meninggalkan

kesan ke atas perjuangan Melayu.

Pada penggal kedua 1930-an muncul sebuah lagi organisasi tidak rasmi yang menjadi tempat

Melayu menghimpunkan suaranya. Dinamakan Sahabat Pena, organisasi itu berjaya

mengumpulkan belasan ribu ahli, yang kebanyakannya terdiri daripada anak-anak Melayu

yang menyedari akan peri pentingnya mempertahankan hak. Pada tahun 1939 Sahabat Pena

dikatakan mempunyai ahli lebih 12,000 orang - jumlah yang tidak boleh dipandang kecil jika

diambilkira latar belakang komunikasi pada waktu itu.

Kesedaran Melayu untuk bangkit dan bersatu itu bukanlah kerana pendidikan dan bukan

kerana ilmu. Majoriti Melayu tidak berpeluang menimba ilmu sehingga mampu mencetuskan

kesedaran sedemikian di jiwa mereka.

Apa yang menyedarkan Melayu daripada lenanya ialah tekanan kemiskinan. Jika pada

peringkat awal kedatangan imigran asing, orang Melayu masih boleh bersikap tidak apa

kerana jurang antara mereka dengan kumpulan imigran itu belum begitu ketara, kini

keadaannya berubah. Tahun demi tahun mereka melihat bagaimana orang-orang asing itu

menjadi lebih makmur dan kaya, sedangkan mereka hanya menumpang sisanya.

Memang benar ada Melayu yang berjaya. J.M. Gullick dalam ‘Malay Society’ ada menyebut

bagaimana tatkala orang orang Cina menguasai lombong dan ladang, ada kapitalis kapitalis

Melayu yang turut menjadi kaya raya. Tetapi bilangan mereka kecil, sangat kecil kalau

dibandingkan dengan golongan hartawan bukan Melayu.

Hasil kepesatan kegiatan ekonomi di Tanah Melayu memang membuka ruang yang lebih

besar kepada orang Melayu untuk berkhidmat dengan sektor kerajaan. Memang ada banyak

Melayu yang boleh menjadi orang besar di sesebuah pejabat. Tetapi bilangan mereka juga

masih terlalu jauh untuk mengimbangi kelompok Melayu yang terpinggir, yang miskin dan

yang hidup kais pagi makan pagi.

Situasi politik di Malaysia mungkin berbeza jika penjajah Inggeris tidak melihat warga

pribumi sebagai orang-orang dungu yang boleh dipekup mulut. Jika hak yang dikaut di bumi

ini tidak asyik diangkut balik, sebaliknya diagih sama rata secara baik, orang Melayu

mungkin masih belum kenal istilah nasionalisme sehingga sekarang. Jika Inggeris tidak

memilih untuk melebihlebihkan imigran asing semata-mata kerana sumbangan ekonomi

mereka kepada England, dan kerana kedudukan mereka sebagai pengimbang pengaruh

Melayu, berkemungkinan besar orang Melayu masih sudi bertuankan mereka.

Malangnya Melayu tercicir jauh. Mereka hanya menjadi saksi-saksi yang sakit apabila

bercakap soal kemakmuran di negeri sendiri. Mereka kekal menjadi petani kecil yang

memikul guni padi untuk dijual di kedai tauke Cina yang asalnya mungkin menumpang di

tanah mereka. Kemudian wang yang diperolehi digunakan pula untuk membeli barang di

kedai seorang tauke Cina lain, yang asalnya menumpang di hujung tanah ipar duai mereka.

Tidak ada bangsa yang gembira dengan keadaan begitu. Dan apabila bangsa yang tidak

gembira itu bangkit, ia dengan sendirinya akan menggugat kegembiraan orang lain.

Mungkin jika Jepun tidak mendarat di Pantai Sabak, Kelantan pada Disember 1941,

ketidakgembiraan orang Melayu itu masih berpanjangan. Bagaimanapun pendaratan yang

diikuti oleh penaklukan Jepun membawa dimensi baru dalam cara berfikir orang Melayu.

Kalau dahulu mereka cenderung menganggap Inggeris adalah tuan besar yang tidak boleh

dikalahkan, kini perspektif itu berubah. Kejayaan orang-orang kerdil dan timur itu

mengalahkan British memberikan semangat dan kekuatan baru kepada orang Melayu.

Kesengsaraan yang ditanggung semasa pemerintahan Jepun menambahkan lagi kekuatan

semangat tersebut. Pada masa yang sama orang Melayu mula terfikir bahawa mereka tidak

boleh mengharap pada orang lain untuk melindungi mereka.

Apabila British kembali berkuasa pada tahun 1945, regim kolonial itu mendapati segala-

galanya berubah. Melayu bukan lagi bangsa yang boleh dicucuk hidung. Semangat

nasionalisme yang mula bertunas sejak era sebelum perang berkembang biak, mekar dan

semerbak ke segenap pelosok Tanah Melayu. Seorang demi seorang nasionalis timbul dan

satu demi satu gagasan untuk menyingkirkan penjajah muncul.

Mahathir dalam ‘Dilema Melayu’ menyebut bagaimana pada peringkat awal kebangkitan

nasionalis selepas perang, tumpuan mereka lebih terarah pada sektor ekonomi. Mereka mahu

menuntut hak yang lebih banyak, yang sepatutnya mereka miliki, di sektor itu. Pejuang-

pejuang Melayu berharap akan dapat menggunakan tekanan ke atas penjajah British yang

baru kembali berkuasa itu untuk memberikan lebih perhatian pada status ekonomi anak

bangsa mereka.

Bagaimanapun British mengalami renjatan psikologi akibat kekalahan di tangan Jepun.

Dalam keadaan tergesa-gesa hendak memulihkan imej dan membina kekuatan baru, British

melakukan kesilapan besar kerana mengusulkan Malayan Unionnya.

Tuhan mentakdirkan gagasan itulah rupa-rupanya menjadi titik penyatuan semua Melayu

dalam erti kata yang sebenar. Penentangan terhadap gagasan itu menyebabkan Melayu

melupakan darjat dan pangkat. Raja-raja Melayu, termasuk yang dahulunya kurang gembira

melihat Melayu membentuk kesatuan sebab ‘mereka telah mempunyai raja’, kini berganding

bahu dengan rakyat untuk mempertahankan maruah dan martabat bangsa yang cuba digugat

oleh penjajah itu. Yang menariknya, penentangan ke atas Malayan Union tidak hanya

disuarakan oleh orang Melayu, tetapi juga oleh sesetengah bekas pentadbir Inggeris yang

pernah bertugas di Semenanjung.

Kekalutan menentang Malayan Union menukar halatuju nasionalis Melayu. Mereka

melupakan seketika perjuangan untuk menuntut hak di segi ekonomi secara lebih seimbang,

sebaliknya mereka berjuang untuk mempertahankan ketuanan bangsa.

Di kalangan kumpulan imigran pula, mereka tidak mempedulikan sangat mengenai

perjuangan itu. Mereka lebih sibuk mengumpulkan kembali kekayaan yang hilang akibat

perang.

Akhirnya, Malayan Union menjadi kenangan paling buruk bagi British. Gagasan yang

disangka boleh menguatkan kembali kuku mereka itu rupa-rupanya hanya mempercepatkan

proses pencabutan kuku-kuku tersebut. Sebelas tahun selepas gagasan Malayan Union

dijelmakan, Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya.

Dalam keadaan lazim, kejayaan mencapai kemerdekaan akan menamatkan segala dilema

yang dihadapi oleh anak watan sesebuah negara. Di Malaysia, keadaannya sedikit berbeza.

Kejayaan menurunkan Union Jack hanyalah nokhtah pada sebuah perjuangan, tetapi di

nokhtah yang sama bermula pula satu perjuangan yang lain, dan perjuangan itu lebih sukar

dan lebih panjang.

Perlu diakui bahawa Melayu menerima kemerdekaan dalam keadaan tidak cukup bersedia.

Daripada segi politik memang tiada masalah. Melayu mempunyai segala yang diperlukan

untuk membina dan menegakkan sebuah negara. Daripada segi prinsipnya kuasa politik

Melayu tidak pernah berkurangan. Usaha penjajah untuk menggugat kuasa itu sejak isu

campurtangan di Perak hingga ke Malayan Union tidak pernah berjaya secara mutlak.

Bagaimanapun dalam soal ekonomi, Melayu masih menjadi kelompok yang tercicir.

Pembabitan mereka masih ditahap yang amat kecil. Penguasaan mereka, daripada segi

peratusannya, berpuluh kali ganda di belakang.

Dunia selepas Revolusi Perusahaan melanda Eropah adalah dunia yang berbeza daripada

zaman sebelumnya. Perlumbaan ke arah kemajuan menjadi lebih gila. Kehormatan tidak lagi

ditentukan oleh kekuatan seseorang atau sesuatu kelompok, sebaliknya oleh keupayaannya

untuk berjaya. Nilai kejayaan pula tidak lagi diukur dengan aspek moralnya, tetapi dengan

nilai emas dan ringgit. Tiada siapa akan memandang tinggi pada orang yang kuat tetapi papa.

Selepas Perang Dunia Kedua, kemajuan seolah-olah diterima sebagai satu rukun kehidupan.

Kemusnahan akibat perang menyebabkan semua pihak berlumba untuk bangkit dan membina

kehidupan baru. Kemusnahan itu juga menyediakan ruang kosong untuk diisi oleh kuasa-

kuasa baru.

Arus yang sama sampai ke Tanah Melayu. Perang menukar perspektif manusianya terhadap

kehidup an. Peniaga-peniaga Cina yang rugi teruk akibat peperangan mula menggandakan

usaha dan menjadi lebih gigih untuk membina semula kekayaan mereka. Inggeris yang malu

besar selepas dikalahkan oleh Jepun juga cuba membina kekuatan baru yang serba palsu.

Sama seperti di tempat-tempat lain, di mana mereka diaibkan, Inggeris cuba membeli

keyakinan anak-anak pribumi dengan mewarwarkan segala macam idea dan projek baru.

Hasil daripada halatuju yang hampir sama itu, peniaga peniaga dan pemerintah Inggeris

berjaya menjalin satu bentuk kerjasama ekonomi. Saudagar-saudagar Cina dilambakkan

dengan pelbagai peluang oleh Inggeris. Mereka seakan diberi tanggungjawab untuk

memulihkan negeri ini khususnya dalam perkara yang memababitkan penyediaan

infrastruktur asas ekonomi.

Melayu yang terkapa-kapa akibat peperangan menjadi lebih terkapa-kapa apabila melihat

seorang demi seorang tauke Cina kembali menjadi kaya sedangkan mereka pula baru setakat

mampu mencari benih padi selepas sekian lama memakan ubi. Lagi sekali Melayu menjadi

keliru.

Untuk menambahkan beban fikiran orang-orang Melayu, mereka terpaksa pula berhadapan

dengan karenah politik Inggeris, dan kemudian dengan karenah Bintang Tiga, yang secara

kebetulan membabitkan banyak orang Cina. Tekanan tekanan politik itu menjadikan Melayu

semakin tidak mempunyai masa dan tenaga untuk terlibat secara aktif dalam sektor ekonomi.

Di tengah-tengah kekalutan itulah perjuangan Melayu untuk mendapatkan kemerdekaan

tercapai. Tetapi untuk memperolehi kemerdekaan itu mereka terpaksa membayar bermacam-

macam harga, dan kebanyakannya kerana kekurangan yang mereka alami di segi ekonomi.

Tanpa penguasaan ekonomi orang Melayu kehilangan kuasa mutlak untuk membuat tawar-

menawar. Apa yang mereka ada hanyalah kuasa politik. Aliran baru dunia yang

mendaulatkan kemajuan material menyebabkan bisa kuasa politik menjadi agak tawar. Kalau

dahulu kuasa politik menjanjikan kuasa material, namun aliran baru tersebut membawa wajah

yang sebaliknya. Kekuatan politik belum tentu menjanjikan kekuatan wang ringgit.

Nasib orang Melayu jauh berbeza dengan nasib kumpulan imigran, khususnya orang-orang

Cina. Mereka umumnya memiliki kekuatan material, dan aliran baru yang melanda Tanah

Melayu memungkinkan orang-orang Cina itu menggunakan kekuatan ekonomi mereka untuk

membina kekuatan politik. Ertinya, secara tidak langsung orang-orang Cina memiliki kedua-

duanya; kekuatan ekonomi dan kekuatan politik.

Dengan berpandukan kekuatan-kekuatan yang dimiliki oleh kedua-dua kumpulan yang

menjadi tunggak kependudukan Tanah Melayu itulah, British menggariskan syarat itu dan ini

dalam tawaran kemerdekaan mereka. Orang Melayu pula, yang lebih bersungguh- sungguh

memperjuangkan kemerdekaan berbanding dengan bangsa-bangsa lain, terpaksa menerima

syarat-syarat itu. Mereka sedar, kekuatan politik mereka sahaja tidak cukup untuk membeli

kemerdekaan secara total. Atas kesedaran itu, mereka dengan senang hati menerima

cadangan supaya orang-orang Cina dan India diberi hak kewarganegaraan, dan atas kesedaran

yang sama, mereka berpuas hati dengan satu ketetapan lain iaitu, memberikan Hak

Keistimewaan kepada mereka sebagai Bumiputera.

Dan kerana mereka tidak pernah mengungkit hak menjadi warganegara yang diberi kepada

orang lain, orang-orang Melayu tentulah berhak pula untuk berasa tidak gembira apabila

orang lain cuba mengusik-usik taraf dan keistimewaan mereka sebagai Bumiputera.

3 FORMULA KERAMAT : SATU KEKELIRUAN

ADALAH agak kurang tepat kalau dikatakan orang Melayu telah melakukan pengorbanan

besar apabila mereka bersedia berkongsi negeri ini dengan kumpulan pendatang. Apa yang

sebenarnya berlaku ialah semua pihak telah sama-sama berkorban.

Tanpa aktiviti ekonomi imigran-imigran asing itu, Tanah Melayu mungkin mempunyai wajah

yang sangat berbeza. Kemakmurannya mungkin tidak sampai ke mana-mana. Orang Melayu

pula mungkin masih lena di bawah ketiak penjajah tanpa menyedari potensi besar yang

tersembunyi di sebalik bumi yang mereka duduki.

Kesediaan orang-orang bukan Melayu untuk mengiktiraf Melayu sebagai Bumiputera dengan

segala hak keistimewaannya haruslah dilihat sebagai kesediaan mereka untuk berkongsi

kekayaan dan kejayaan, dengan orang-orang Melayu. Nilainya hampir sama, kalaupun tidak

seratus peratus sama, dengan kesediaan orang Melayu untuk berkongsi kuasa dengan mereka.

Gabungan kesediaan kedua-dua pihak itulah yang meletakkan Malaysia di atas paksi yang

unik seperti sekarang. Di kebanyakan tempat lain, apabila dua atau lebih kumpulan

mempunyai kekuatan yang hampir sama, mereka biasanya akan bertarung untuk menentukan

siapa yang lebih kuat. Masing-masing akan berusaha menyingkirkan pihak yang satu lagi

demi mendapatkan kuasa mutlak.

Di Tanah Melayu, perkara yang sebaliknya terjadi. Kuasa-kuasa yang sama kuat itu

bergabung untuk satu pakatan yang lebih kuat. Realiti itu menyebabkan formula yang

digunakan untuk membina Tanah Melayu merdeka menjadi satu formula keramat. Walau

siapa pun yang mengemukakan formula itu, dia sememangnya manusia hebat.

Pakatan itu, yang secara politiknya dinamakan Perikatan, telah berjaya menggabungkan tiga

bangsa yang menjadi urat nadi Tanah Melayu dengan begitu ampuh. Organisasi itu menjadi

tempat pertama bagi orang Melayu, Cina dan India duduk semeja dalam erti kata sebenar.

Sebelumnya perkara begitu tidak berlaku. Biasanya bangsa-bangsa itu bergerak dalam

kelompok dan kepompong masing-masing dengan matlamat yang lebih menjurus pada

kepentingan sendiri bukannya kepentingan tanahair.

Di atas kertas, persefahaman yang terbina itu kelihatan seperti tidak dapat digugat oleh

sesiapa. Ia serasi benar dengan pola kependudukan Tanah Melayu. Melayu, berpadanan

dengan kedudukannya sebagai warga pribumi dan pemilik kuasa politik yang dominan,

diletakkan sebagai teraju utama. Orang-orang Cina, yang kurang kuasa politik tetapi

mempunyai kelebihan di bidang ekonomi menjadi kelompok yang kedua pentingnya,

manakala orang-orang India, yang kurang daripada segi peratusannya diberi peranan sebagai

rakan kongsi ketiga. Tidakkah ianya sesuatu yang cukup baik?

Tetapi seperti yang ditekankan berulangkali oleh Mahathir di dalam ‘Dilema Melayu’ ada

banyak bezanya antara persefahaman dengan ‘terpaksa memahami’.Dan Mahathir tidaklah

tersilap.

Apa yang dikatakan persefahaman pada peringkat awal penubuhan kerajaan yang merdeka di

Tanah Melayu mempunyai banyak ruang untuk diragui. Ia, dalam banyak keadaan, bukan

terhasil daripada hasrat dan keinginan bersama. Titik temunya bukan di situ. Sebaliknya yang

menjadi titik temu ialah ‘kebimbangan bersama’.

Perlu diakui bahawa salah satu sifat orang Melayu yang agak aneh, tetapi baik, ialah

kesangsiannya. Kebanyakan Melayu mudah merasa sangsi dan curiga pada apa sahaja, lebih-

lebih lagi jika sesuatu itu tidak mempunyai kaitan dengan Melayu dan Islam. Berkenaan hal

ini Frank Swettenham pernah menulis, ‘...Sesiapa yang hendak mengenali orang Melayu, dia

mestilah bermastautin di negerinya, bertutur dalam bahasanya, menghormati agamanya,

menunjukkan minat atas segala kegemarannya, memahami kecurigaannya...’ (Malay

Sketches:1895)

Jika dilihat secara lebih mendalam, ada kemungkinan perasaan mudah sangsi di hati orang

Melayu itu ada kaitan dengan sifat kurang yakin pada diri sendiri yang mereka miliki secara

leluasa. Di samping itu ia juga mungkin mempunyai perkaitan dengan pengaruh ajaran

agama. Kekeliruan terhadap ajaran yang diterima, kurangnya pengetahuan dan kurangnya

sumber untuk mendapat ilmu sering menghantui orang Melayu, yang pada masa yang sama

mahu menjadi seorang Islam yang baik. Kedangkalan ilmu itu menyebabkan banyak orang

Melayu Islam hidup dalam keraguan. Dalam keadaan-keadaan tertentu mereka begitu

tertekan sebab tidak tahu yang mana patut diikut dan yang mana patut ditinggalkan. Apabila

kekeliruan itu menjadi darah daging, maka dengan sendiri ia menyulitkan mereka untuk

memutuskan antara yang patut dengan yang tidak, yang betul dengan yang salah. Atas sebab

yang samalah, akhirnya, kita sering mendapati orang Melayu melakukan keduaduanya sekali.

Dalam kes orang-orang China, kesangsian orang Melayu terhadap imigran berkulit putih

kuning itu mungkin bertunas sejak hari pertama lelaki China yang pertama menjejakkan

kakinya di Tanah Melayu, iaitu beratus-ratus tahun sebelum bermulanya gelombang

kemasukan orang-orang China ke mari.

Seandainya orang-orang China itu beragama Islam, situasinya pasti berbeza. Mereka

mungkin akan disambut dan dirai sebagaimana pedagang-pedagang Arab daripada

Hadhramaut atau mamak-mamak Islam dari Malabar. Mereka akan diterima sebagai saudara

tanpa sebarang kesangsian dan curiga. Mereka tidak hanya diajak masuk ke dapur, malah

juga ke bilik tidur.

Malangnya orang China bukan penganut Islam. Walaupun istilah kafir bagi orang Melayu-

Islam pada masa lalu lebih tertumpu pada orang Inggeris yang beragama Kristian, namun

status pendatang China yang bukan beragama Islam itu sudah cukup untuk mencetuskan

kecurigaan di hati orang Melayu. Kecurigaan itulah menyebabkan golongan pendatang

tersebut tidak mendapat tempat dalam erti kata sebenar di jiwa kebanyakan Melayu.

Kecurigaan itulah yang menjadikan mereka dilayan sebagai tetamu, bukannya diterima

sebagai saudara.

Apabila orang-orang China menjadi kuat dan kaya, sementara orang Melayu pula tinggal

dalam balutan kemiskinannya, kecurigaan itu dengan sendirinya akan menjadi bertambah

tebal. Tidak sukar untuk memahami kenapa ini terjadi. Di mana-mana pun, orang miskin

sentiasa memandang serong pada yang kaya.

Hubungan baik, atau lebih tepat lagi terlalu baik, antara imigran-imigran China itu dengan

penjajah Inggeris juga menjadi satu faktor yang membesarkan prasangka orang Melayu.

Sebagai tuan rumah yang tercicir sewajarnya pun mereka berasa begitu.

Sikap orang Melayu terhadap pendatang-pendatang India pula agak berbeza. Jumlah mereka

yang kecil dan status ekonomi mereka yang tidak begitu mantap dengan sendirinya

menyebabkan kesangsian orang Melayu terhadap mereka tidak begitu menonjol. Lagipun

pentalian antara Melayu dan Hindu yang wujud sejak lama dahulu banyak membantu

menipiskan kecurigaan itu. Orang India secara umumnya bukan lagi asing bagi kehidupan

orang Melayu. Mereka telah datang ke mari sejak lama dahulu. Suatu ketika mereka pernah

berkongsi kepencayaan yang sama dengan nenek moyang orang-orang Melayu. Sampai kini

masih banyak adat resam mereka diguna pakai oleh orang Melayu.

Kecurigaan orang-orang Melayu terhadap imigran-imigran China tidak pernah susut

sehinggalah saat-saat menjelang kemerdekaan. Keghairahan Bintang Tiga untuk memerintah

menjadi faktor yang tidak membantu. Begitu juga dengan sikap yang ditunjukkan oleh

kebanyakan orang-orang China dalam usaha para nasionalis Melayu untuk menuntut

kemerdekaan.

Adalah satu perkara yang telah diterima sebagai sejarah bahawa perjuangan untuk menuntut

kemerdekaan lebih merupakan penjuangan orang Melayu. Sekalipun mereka tidak

menghalangnya, orang-orang China, pada peningkat awal,tidaklah boleh dianggap sebagai

penyokong kuat terhadap perjuangan itu. Malah terdapat keadaan-keadaan tertentu di mana

jika diberi pilihan, kumpulan pendatang itu menampakkan tanda-tanda yang mereka lebih

berminat untuk terus berada di bawah pemerintahan Inggeris daripada bernaung di bawah

payung Tanah Melayu yang merdeka.

Perbezaan sikap ini juga boleh dilihat daripada asas penubuhan parti-parti utama yang

mewakili kumpulan imigran itu. Sementara UMNO ditubuhkan oleh orang Melayu bagi

memperjuangkan kemerdekaan, MCA dan MIC ditubuhkan bukan untuk maksud yang sama.

Sebaliknya, kedua-dua parti itu dibentuk demi untuk mempertahan dan melindungi hak

orang-orang Cina dan India. Ertinya, pada peringkat itu sudah terbukti bahawa ketiga-tiga

parti, yang kemudiannya bergabung di bawah payung Perikatan itu, mempunyai mimpi yang

berbeza walaupun berkongsi bantal yang sama. Menyedari akan perbezaan mimpi itulah, rasa

cuak orang Melayu menjadi bertambah tebal. Perbezaan mimpi itulah menyebabkan orang

Melayu menganggap golongan pendatang lebih mengutamakan kepentingan diri dan

kelompoknya sahaja, serta meletakkan kepentingan-kepentingan itu melebihi kepentingan

tanahair.

Kecurigaan juga wujud di kalangan kumpulan pendatang. Mereka sedar, sebagai tuan rumah,

orang Melayu mempunyai banyak kelebihan-kelebihan yang tidak dimiliki oleh mereka.

Paling tidak, Melayu mempunyai kuasa yang hampir mutlak di segi politik. Imigran-imigran

asing itu sedar bahawa pada bila-bila masa orang Melayu boleh menggunakan kuasa politik

itu untuk menyusahkan mereka.

Selama berada di bawah naungan Inggeris, kumpulan pendatang itu boleh tidur dengan

nyenyak. Mereka tidak perlu berasa takut kerana Inggeris pasti akan memastikan kepentingan

mereka terjamin sebab mereka sendiri begitu penting untuk Inggeris.

Bagaimanapun apabila Inggeris telah tiada, banyak kemungkinan boleh berlaku. Orang

Melayu mungkin tidak berdiam diri lagi. Orang Melayu mungkin marah dan cemburu

terhadap kedudukan mereka yang lebih kaya dan berjaya. Orang Melayu mungkin akan cuba

menggunakan kuasanya yang ada untuk merampas kembali apa yang mereka anggap sebagai

hak mereka. Orang Melayu mungkin begitu dan orang Melayu mungkin begini.

Semakin hampir dengan kemerdekaan dan semakin hampir orang Melayu mempunyai

pemerintahan sendiri, semakin teballah pula rasa curiga di hati orang-orang asing itu. Dengan

perkataan lain, sementara orang Melayu berasa semakin selamat sebab hendak merdeka,

kumpulan itu pula berasa sebaliknya. Mereka bimbang. Dan sekali lagi mereka pun berbeza

daripada kita!

Kecurigaan itulah akhirnya yang mempertemukan orang Melayu dengan orang-orang Cina

dan India. Kebimbangan itulah yang meletakkan mereka di dalam tempurung yang sama.

Kedua-duanya, kecurigaan dan kebimbangan itu, menyebabkan mereka sama-sama duduk

semeja untuk mencari jalan terbaik bagi memastikan pihak masing-masing terlindung dan

terpelihara daripada sebarang kekarutan yang mungkin ditimbulkan oleh mana-mana pihak di

kalangan mereka. Dengan perkataan lain, mereka bermuafakat bukan untuk menghadapi

ancaman yang mungkin datang dan luar, sebaliknya untuk mengelak daripada ancaman yang

mungkin datang daripada sesama mereka.

Dalam setiap kerjasama yang berasaskan situasi di atas, peranan setiap pihak amatlah berat.

Tanggungjawab mereka tidak setakat menjaga kepentingan sendiri, tetapi juga menjaga

perasaan pihak yang satu lagi. Malah di antara kedua-duanya, peranan menjaga pihak lain

itulah yang lebih penting. Sebarang kegagalan berbuat demikian bererti akan menghidupkan

semula bara kecurigaan yang mereka sama-sama cuba padamkan.

Untuk suatu tempoh yang lama ketiga-tiga kaum utama di Tanah Melayu berjaya melepasi

pra-syarat itu. Mereka seakan mampu melupakan prasangka dan prejudis masing-masing.

Tetapi ‘seakan-akan’ bukanlah bermakna ‘telah benar-benar’. Perbezaan antara kedua-dua

perkataan itu sesungguhnya terlalu besar.

Dalam hal ini kita perlu mengakui bahawa semenjak merdeka sehingga sekarang, kecurigaan

orang-orang Melayu terhadap bukan-Melayu masih belum terhakis sepenuhnya.

Kebimbangan orang bukan-Melayu terhadap orang Melayu juga masih wujud walaupun

dalam kerangka yang sedikit berbeza. Bagaimanapun, sekali lagi kecurigaan dan

kebimbangan itu jugalah yang menyelamatkan kesemua pihak. Kerananya masing masing

menjadi cukup berhati-hati.

Sebagaimana telah ditegaskan, pengancam besar pada persefahaman yang agak goyah ini

bukanlah pihak lain, tetapi pihak-pihak yang terbabit dengan persefahaman itu sendiri.

Anasir-anasir anti-nasional memang menyedari kelemahan persefahaman tersebut. Musuh-

musuh luar juga begitu. Mereka tahu bahawa untuk meretakkan persefahaman itu mereka

cuma perlu mencuit kembali api kecurigaan dan bara kebimbangan yang menyalut hati

sanubari pihak-pihak yang terbabit. Mereka hanya perlu menghidupkan semula perasaan-

perasaan itu dan kemudian menukarnya menjadi kemarahan dan kebencian.

Dan itulah yang dilakukan oleh mereka lewat peristiwaperistiwa yang membawa pada

meletusnya tragedi 13 Mei, 1969.

Banyak keburukan yang dicetuskan oleh tragedi berdarah itu. Ia tidak setakat memakan

korban, malah meluluhkan maruah sebuah pakatan. Perikatan yang dibangga-banggakan

akhirnya terbukti gagal menjadi kuasa yang dihormati. Semangat persefahaman yang terbina

di dalam pakatan itu lebur oleh desakan-desakan kecurigaan dan kebimbangan yang

melampaui batas.

Tetapi musibah itu mempunyai hikmahnya. Ia membawa pradigma baru dalam akal fikiran

semua bangsa utama di Malaysia. Ia tidak sahaja mengajak mereka yang di dalam Perikatan

melihat kembali sejauh mana berkesannya kerjasama sesama mereka, sebaliknya turut

mendorong semua pihak lain menilai erti kehidupan sebenar di dalam sebuah negara

merdeka. Sekaligus ia mengajar mereka tentang mahalnya erti keamanan serta hubungkaitnya

dengan kemakmuran.

Tidak ada sesiapa pun yang waras mengharapkan tragedi seperti 13 Mei itu berulang. Malah

mengenangnya pun mungkin tiada yang mahu.

Kejayaan penubuhan Barisan Nasional tidak lama selepas tragedi itu adalah bukti jelas

bahawa semua pihak di Malaysia sebenarnya tidak ingin kejadian seumpama itu terjadi lagi.

Penubuhan Barisan Alternatif, dan sebelumnya Angkatan Perpaduan Ummah juga memberi

gambaran yang sama - bahawa semua bangsa di Malaysia bersedia mengorbankan

kepentingan masing-masing demi membolehkan mereka duduk semeja untuk mencapai

persefahaman baru dengan bangsa atau pihak-pihak lain. Dengan perkataan lain, mereka

bersedia melupakan perbezaan bangsa, agama dan dogma dalam usaha membentuk satu

pakatan yang benar-benar berwajah Malaysia. Tujuannya pastilah kerana masing-masing

tidak mahu terperangkap dalam pertelagahan yang merugikan sebagaimana yang terjadi lebih

tiga dekad lalu.

Begitu pun kita sekali lagi perlu mengaku bahawa pengorbanan untuk membina

persefahaman itu masih dibentuk atas asas yang sama; kecurigaan dan kebimbangan. Sebab

itulah sekali sekala kita masih dapat mendengar suara-suara sumbang yang mengungkit

perkara-perkara yang sepatutnya telah lama dilupakan seperti soal kesetiaan bukan-Melayu

kepada negara ini dan soal hak keistimewaan orang Melayu sebagai warga pribumi.

Soalnya sekarang ialah, sampai bila suara-suara seperti itu akan terus kedengaran?

4 JONG PECAH, YU KENYANG

INGIN menjadi sama dengan orang lain merupakan naluri semulajadi manusia. Ianya

menjadi satu bentuk obsesi yang payah difahami. Saya katakan payah difahami kerana dalam

ingin kelihatan sama dengan orang lain, mereka juga biasanya mahu dilihat berbeza daripada

orang lain. Orang-orang kaya misalnya, mahu menjadi sama kaya dengan orang yang lebih

kaya, tetapi pada masa yang sama mereka juga mahu kelihatan lebih kaya daripada saingan

mereka yang terdekat. Inilah bentuk keadilan yang dituntut oleh semua manusia dan bentuk

keadilan beginilah yang memerangkap begitu banyak manusia sehingga menyebabkan

mereka hilang kewarasan dan pertimbangan.

Hasrat untuk menuntut hak yang sama inilah merupakan kunci utama pada segala elemen

kecurigaan dan kebimbangan, yang bertapak di hati orang Melayu dan bukan-Melayu di

Malaysia. Ia malah menjadi punca dengki dan cemburu pada semua manusia di mana-mana

sahaja.

Bagi orang Melayu, keciciran mereka di bidang ekonomi adalah suratan yang sentiasa

diratapi. Ia adalah barah yang payah diubat. Ianya menjadi ibu pada segala bentuk penyakit.

Marah mereka, benci mereka, dengki mereka, curiga mereka, semuanya bertitik tolak di situ.

Orang Melayu percaya sebahagian besar masalah mereka akan selesai hanya setelah mereka

mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan orang-orang bukan-Melayu dalam

bidang ekonomi. Realitinya pun memang begitu. Ekonomilah yang menjadi punca keluh

kisah orang Melayu. Ekonomilah yang menyebabkan mereka tercicir dalam pelbagai

lapangan kehidupan. Untuk itu, apabila orang Melayu berkata hasrat bagi membentuk sebuah

Malaysia yang harmoni akan hanya tercapai jika keperluan-keperluan ekonomi mereka

dipenuhi, bukanlah cakap kosong yang tidak berasas.

Di suatu pihak lain, orang-orang bukan-Melayu pula beranggapan jawapan bagi semua

kebimbangan mereka ialah kuasa politik yang seimbang dengan orang Melayu. Selagi mereka

tidak memperolehi kuasa itu, selagi itulah mereka tidak menganggap kedudukan mereka di

negara ini benar-benar selamat.

Di sinilah kedua-dua pihak itu bertembung. Di sinilah orang Melayu dan bukan-Melayu

menemui selisihnya. Mereka jelas memiliki impian yang berbeza, dan yang lebih menarik

lagi, impian setiap pihak itu hanya akan menjadi kenyataan jika pihak yang satu lagi sedia

berkorban.

Setakat sekarang kuasa ekonomi berada di tangan kaum bukan-Melayu. Apa juga hasrat

orang Melayu untuk memiliki sebahagian daripada kuasa itu tidak akan menjadi mudah jika

golongan bukan-Melayu enggan berkongsi. Dan ia akan menjadi lebih payah sekiranya

kalangan bukan-Melayu memandang setiap Melayu dengan mata curiga.

Kuasa politik pula berada di tangan orang Melayu. Impian bukan Melayu untuk memiliki

lebih banyak kuasa itu tidak akan kesampaian jika orang-orang Melayu enggan membuka

laluan. Kesimpulannya, kedua-dua pihak memang benar-benar saling memerlukan.

Asas inilah yang perlu difahami dengan sebaik-baiknya oleh semua pihak di Malaysia.

Malangnya, asas ini jugalah yang masih gagal difahami, atau sengaja tidak mahu difahami,

oleh sesetengah pihak. Mereka inilah yang kerap membangkitkan isu-isu yang boleh

mencetuskan sentimen kaum dan menghidupkan kembali kecurigaan serta kebimbangan yang

sesungguhnya tidak pernah padam itu.

Saya mungkin akan dianggap berat sebelah jika berkata,suara-suara begitu jarang muncul

daripada mulut orang Melayu. Sesuai dengan fitrahnya yang suka menjaga hati orang, bangsa

Melayu jarang sekali mempersoalkan hak orang lain. Setakat yang kita ingat, pemimpin-

pemimpin Melayu tidak pernah mengungkit apa yang telah diberikan kepada bukan-Melayu.

Jika ada pun kenyataan-kenyataan berbau perkauman, biasanya sasaran para pemimpin

Melayu ialah terhadap orang Melayu sendiri. Mereka lebih gemar mengajak Melayu supaya

memperbaiki diri daripada menghasut Melayu merampas hak bukan-Melayu.

Agak malang kerana semangat yang sama agak tipis di kalangan sesetengah pemimpin

bukan-Melayu. Dalam mengejar impian untuk ‘menjadi sama dengan orang Melayu’ di sisi

politiknya, dan dengan melupakan bahawa orang Melayu belum menjadi sama dengan

mereka di segi ekonomi, orang-orang ini seringkali menjolok sarang tabuan dengan

kenyataan-kenyataan yang kadangkala amat menyinggung.

Kes tuntutan 17 perkara oleh sekumpulan orang-orang Cina yang menganggotai Suqui pada

Ogos 2000 adalah contoh paling dekat. Antara lain dalam tuntutan pada kerajaan itu Suqui

mendesak supaya hak keistimewaan kepada orang-orang Melayu dikaji semula. Alasan

mereka secara umumnya ialah, orang Melayu sudah mampu ke depan, mampu bersaing tanpa

perlu dilindungi oleh hak keistimewaan tersebut. Alasan berlapiknya pula ialah, hak

keistimewaan itu tidak membantu membina daya saing di kalangan orang Melayu.

Bagi setiap pemerhati politik yang luhur, apa yang ditimbulkan melalui tuntutan 17 perkara

itu sebetulnya tidaklah memeranjatkan. Ia bukan perkara baru. Ia sekadar suara baru yang

bertujuan mendarahkan semula luka-luka lama. Ia hanya pengulangan terhadap suara-suara

sumbang terdahulu yang menyentuh pelbagai perkara lain yang sensitif seperti soal bahasa

dan soal kedudukan sekolah-sekolah jenis kebangsaan.

Kita tidak boleh bayangkan bagaimana pendirian dan sikap sebenar para pemimpin bukan-

Melayu, Cina khususnya, terhadap tuntutan itu. Kita juga tidak boleh menggambarkan

bagaimana reaksi sebenar berjuta-juta warga berketurunan Cina di negara ini. Namun begitu

kita tidak mempunyai masalah untuk membayangkan apa yang akan terjadi jika sebuah

‘Suqui Melayu’ membuat desakan kepada kerajaan supaya mengkaji semula taraf

kewarganegaraan orang-orang bukan Bumiputera atau menggesa kerajaan mengkaji sejauh

mana tahap ketaatan mereka kepada negara ini.

Apa pun, selain menyesali sikap badan-badan jumud seperti Suqui itu, kita haruslah melihat

permasalahan ini dalam skop yang lebih besar. Pertama, sebagaimana kita mengharapkan

orang-orang bukan-Melayu memahami perasaan kita yang tercicir di bumi sendiri, kita juga

hendaklah cuba memahami bagaimana perasaan mereka yang sesekali tentulah masih

merasakan diri seperti penumpang di negara ini. Mereka tidak boleh disalahkan kalau berasa

begitu. Penerimaan kita tidak akan sekelip mata dapat mengubah realiti sejarah bahawa

mereka adalah kumpulan pendatang. Sekurang-kurangnya untuk beberapa generasi lagi

perasaan menumpang itu akan terus timbul dan menghantui mereka.

Jika diletakkan diri kita dalam keadaan mereka, barangkali kita juga tidak akan berasa

selamat. Barangkali juga dari semasa ke semasa kita akan membuat tuntutan yang serupa dan

niat kita mungkin tidak lebih daripada semata-mata hendak memastikan kepentingan dan

keselamatan kita terjamin.

Perkara kedua, dan yang lebih penting perlu diperhatikan ialah, apakah faktor sebenar yang

mendorong munculnya tuntutan seperti itu? Apakah kerana orang-orang bukan-Melayu

merasakan mereka sudah terlalu banyak memberi? Adakah mereka melakukannya semata-

mata kerana keserakahan untuk berkuasa? Atau apakah kita, orang-orang Melayu sendiri,

yang membuka ruang untuk mereka bertindak demikian?

Untuk mengatakan bahawa puncanya ialah keserakahan untuk berkuasa mungkin tidak tepat.

Malah mungkin sama sekali menyimpang. Pemimpin-pemimpin bukan-Melayu tidaklah

dungu sehingga melupakan kenyataan bahawa dominasi politik di negara ini tidak akan dapat

dipisahkan daripada orang-orang Melayu. Mereka tidaklah gila sehingga terfikir untuk

mendapatkan kuasa politik secara mutlak melalui proses-proses yang boleh mengecilkan

kekuasaan orang Melayu. Apa yang mungkin menjadi impian mereka sebenarnya ialah

berkongsi kekuasaan yang lebih sedikit dengan orang-orang Melayu, dan ada antara mereka

merasakan status hak keistimewaan orang Melayu merupakan halangan ke arah

merealisasikan impian itu.

Hendak dikatakan orang-orang bukan-Melayu telah memberi terlalu banyak kepada orang

Melayu juga bukan kenyataan yang munasabah. Realitinya tidak begitu. Tidak ada sesiapa

pun yang rasional, baik di kalangan bukan-Melayu di Malaysia mahupun penganalisis jujur

dari luar, yang akan berkata orang Melayu telah mendapat lebih daripada sepatutnya melalui

dasar-dasar dan program-program yang diperkenalkan oleh kerajaan. Sehingga menjelang

akhir dekad 80-an, masih terdapat lebih 2,000 buah kampung tradisional Melayu yang belum

mendapat bekalan elektrik, air paip dan jalan yang sempurna. Sehingga tempoh yang sama

kadar kemiskinan di kalangan pekebun kecil getah masih tinggi iaitu 40 peratus, manakala di

kalangan penanam padi pula 50% peratus. Siapakah pekebun kecil getah dan penanam padi

ini? Majoritinya Melayu!

Rumusannya, sehingga berakhir abad ke-20 dan selepas 43 tahun merdeka, orang Melayu

masih menjadi ‘the second best’ di negaranya sendiri, lebih-lebih lagi di sektor ekonomi.

Sekiranya matlamat untuk mengagihkan kekayaan bumi ini secara sama rata menjadi impian

nasionalis-nasionalis terdahulu, sesungguhnya matlamat itu masih belum tercapai. Sekiranya

orang-orang bukan-Melayu, pada saat membina persefahaman menjelang kemerdekaan,

bersetuju dengan gagasan pembahagian sama rata itu, mereka haruslah mengaku bahawa

mereka masih perlu terus memberi bagi memastikan tercapainya matlamat gagasan tersebut.

Dengan menolak kemungkinan yang ditimbulkan oleh kedua dua faktor itu, perkara lain yang

cukup merangsang kumpulan bukan-Melayu mengemukakan tuntutan-tuntutan sedemikian

ialah ruang yang dibuka dengan luas oleh orang Melayu sendiri. Ruang itulah yang menjadi

pintu yang menggamit orang lain meminta apa yang mereka mahu.

Jika sejarah diamati dengan teliti, kita akan mendapati suara suara tuntutan seperti itu

biasanya muncul setiap kali orang Melayu menghadapi krisis. Jangan lupa bahawa tidak

sampai pun dua tahun selepas UMNO dan PAS berpisah berikutan tindakan PAS

meninggalkan Barisan Nasional pada tahun 1978, timbul isu Bukit Cina. Selang tidak berapa

lama, tatkala isu Pindaan Perlembagaan 1983 masih hangat diperkatakan, timbul pula isu

yang mempersoalkan Ketuanan Melayu. Dan banyak lagi, yang jika dikenang hanya akan

melukakan hati.

Melihat pada budaya politik beginilah, kita percaya bahawa apa juga bentuk tuntutan yang

dikemukakan oleh Suqui mempunyai kaitan dengan apa yang berlaku pada Melayu sejak

tahun-tahun kebelakangan ini.

Bagi semua Melayu yang baik, segala yang terjadi bermula daripada September 1998

hinggalah beberapa waktu yang terakhir ini memang merupakan sejarah yang paling tidak

indah. Perpecahan sesama Melayu menjadi terlalu ketara. Berbanding dengan keretakan yang

berlaku pada tahun 1987, apabila UMNO, satu-satunya parti Melayu ketika itu terpecah

menjadi dua, apa yang berlaku selepas September 1998 adalah jauh lebih teruk. Pada tahun

1987, aliran perpecahannya masih berada dalam keadaan terkawal. Punca krisis waktu itu

pula lebih bersifat krisis politik semata-mata.

Berbeza dengan perpecahan 1998. Krisis itu merupakan adunan segala punca. Ia tidak hanya

krisis politik, tetapi juga krisis identiti, krisis keyakinan, krisis nilai, krisis ekonomi dan krisis

agama. Mungkin tidak pernah berlaku dalam sejarah, orang Melayu terperangkap dalam

krisis yang sebegitu hebat.

Buku ini tidak bermaksud hendak mencari siapa yang betul dan siapa yang salah di dalam

krisis itu. Ia tidak penting. Yang penting ialah krisis itu tidak meninggalkan apa-apa yang

manis untuk dikenang oleh orang Melayu.

Susulan daripada krisis itu Melayu menjadi seperti kehilangan arah. Suara Melayu memaki

Melayu menenggelamkan suara-suara terdahulu yang mengajak Melayu berjuang untuk

mempertahankan Melayu. Suara Melayu menghina Melayu lebih kerap didengar daripada

suara orang lain mencemuh Melayu.

Apabila menghadapi pilihanraya umum ke-10, Melayu mempamerkan pola pengundian yang

hanya menguntungkan demokrasi, tetapi banyak pula merugikan bangsa. Di mana-mana,

Melayu kelihatan berpecah. Melayu yang menang, dengan mengalahkan Melayu yang lain,

kebanyakannya cuma memperolehi majoriti tipis. Apa yang terpancar daripada keputusan

pilihanraya itu ialah, Melayu memang terbelah dua!

Hanya pembohong besar akan berkata, orang-orang Cina di Malaysia tidak pernah berkrisis.

Seperti orang Melayu,mereka juga pernah melalui saat-saat getir. Kalau mereka betul betul

boleh duduk semeja sepanjang masa, sudah tentulah tidak terjadi perang antara puak Ghee

Hin dan puak Hai San.

Sama seperti orang Melayu, organisasi-organisasi Cina juga mengalami krisis-krisis

keyakinan yang serius. Pada pilihanraya umum 1964 misalnya, MCA menerima lebih

separuh daripada undi Cina. Tetapi selepas penubuhan DAP - parti Malaysia yang tebal

wajah keCinaannya - pada tahun 1966, dan selepas Gerakan, yang juga berwajah Malaysia

tetapi berjiwa Cina, ditubuhkan dua tahun berikutnya, MCA tidak lagi menjadi simbol

perpaduan orang-orang Cina. Pada pilihanraya umum 1969, MCA kehilangan sokongan

sebahagian besar undi Cina.

10 tahun sebelum itu, MCA juga pernah berpecah. Presiden barunya yang dilantik ketika itu,

Lim Chong Eu mengemukakan desakan kepada kerajaan supaya memberi layanan yang sama

kepada orang-orang Cina dan menuntut supaya MCA diberi lebih banyak kerusi (40 daripada

104) yang dipertandingkan dalam pilihanraya berikutnya. Tuntutan itu ditolak oleh Tunku

Abdul Rahman selaku Pengerusi Perikatan. Majoriti ahli-ahli MCA memilih untuk

menyokong Tunku. Akibatnya, Chong Eu dan sebahagian penyokongnya membawa haluan

yang berbeza walaupun untuk tempoh yang agak lama mereka kekal buat sementara di dalam

MCA.

Dan dari era Lee San Choon, Neo Yee Pan, Tan Koon Swan hinggalah ke zaman Ling Liong

Sik, MCA sememangnya tidak pernah sunyi daripada krisis. Fenomena yang sama berlaku

dalam Gerakan dan DAP. Berselang setahun dua, ada-ada sahaja krisis yang melanda.

Tetapi jika semua krisis-krisis itu dihimpunkan, ia masih tidak dapat mengatasi krisis Melayu

melawan Melayu yang berlaku dalam tempoh dua tahun menjelang berakhirnya abad ke-20.

Implikasi krisis itu cukup besar. Terlalu besar. Kerananya orang Melayu seolah-olah hilang

integriti sebagai bangsa besar yang dominan.

Keadaan mungkin tidak akan menjadi terlalu buruk sekiranya sewaktu Melayu berpecah

kalangan bukan Melayu juga ikut berpecah sebagaimana yang berlaku pada sekitar

pertengahan 1980-an. Pada ketika itu, atau lebih tepat bermula pada tahun 1984, Melayu

berpecah agak teruk berikutan pertandingan merebut jawatan Presiden UMNO antara Dr.

Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah. Pada tahun berikutnya, MCA pula mengalami

situasi yang sama apabila berlaku perpecahan ekoran perebutan jawatan Presiden antara Neo

Yee Pan dan Tan Koon Swan.

Disebabkan kedua-dua parti besar, yang mewakili dua bangsa besar di Malaysia itu, sama-

sama berada dalam krisis, senario yang ada pada waktu itu berbeza daripada apa yang berlaku

sekarang. Tidak timbul soal tuntutan yang bukan-bukan. Tidak kedengaran kenyataan-

kenyataan yang boleh mengusik sensitiviti kaum. Masing-masing pihak sibuk

memperbetulkan rumahtangga sendiri. Masing-masing lebih leka menyumpah seranah

sesama mereka.

Keadaan itu tidak berlaku pada tahun 1998 dan 1999. Kali ini giliran orang Melayu

menempuh gelombang krisis itu bersendirian. Orang-orang Cina hanya berdiri memerhati

sambil bersilang tangan, dan sesetengahnya mungkin bergendang.

Walaupun kesan krisis yang melanda negara waktu itu turut mengusik DAP, Gerakan, malah

juga MCA, namun ianya tidak sampai menjadikan parti-parti itu terbelah teruk sebagaimana

yang berlaku pada UMNO, parti yang mendominasi kuasa politik Melayu. Kesannya, dalam

pilihanraya umum ke-10, MCA dan Gerakan menang besar. DAP, walaupun kehilangan

sebutir dua bintang, masih boleh mendabik dada bahawa mereka tetap disokong oleh orang-

orang Cina.

Pola pengundian lewat pilihanraya umum itu jelas menunjukkan bahawa sementara orang

Melayu berpecah teruk, orang Cina bersatu padu. Banyak kerusi Melayu, sama ada yang

ditandingi oleh Melayu UMNO, Melayu KEADILAN atau Melayu PAS, telah dipastikan

kemenangannya menerusi undi bukan-Melayu. Bagi UMNO terutamanya, undi bukan-

Melayulah yang banyak menjadi penyelamat.

Apa yang berlaku itu amat berbeza dengan pilihanraya pilihanraya umum sebelumnya, di

mana pada waktu itu kebanyakan kerusi yang dimenangi oleh calon-calon MCA dan Gerakan

adalah disebabkan sokongan yang datang daripada pengundi-pengundi Melayu.

Di dalam mana-mana sistem sosial yang membabitkan kelompok-kelompok bersifat majmuk,

kekuatan sesuatu kelompok itu amat penting dalam menentukan statusnya di dalam

komposisi sistem tersebut. Kelompok yang kuat akan lebih disegani dan sekaligus akan

mempunyai daya kawalan ke atas kelompok-kelompok lain. Sebaliknya, jika kelompok itu

menjadi lemah dan tidak mampu mengawal diri, ia haruslah berhenti daripada bermimpi

hendak mengawal kelompok-kelompok lain, apatah lagi jika kelompok lain itu berada dalam

keadaan yang lebih gagah daripadanya.

Di sinilah letaknya kunci yang membuka pintu ke arah tuntutan 17 perkara oleh Suqui itu. Di

sinilah puncanya kenapa ada orang secara tiba-tiba berani mempersoalkan tentang hak

keistimewaan orang-orang Melayu. Bayangkan kalau Melayu kuat, siapakah yang berani

membuka mulut menyuarakan tuntutan sedemikian?

Tetapi Melayu tidak kuat. Melayu sengaja tidak mahu kuat.

Melayu tidak kaya. Melayu hanya mempunyai kuasa. Selama ini kuasa itulah yang menjadi

perisai yang melindungi Melayu. Jadi apabila perisai itu mula carik di sana sini, apakah lagi

benteng yang Melayu ada?

Suatu masa dahulu Melayu boleh berlindung di bawah payung Kesultanan Melayu. Kuasa

istana boleh menjadi kubu mutlak yang mampu menyelamatkan maruah dan kedaulatan

Melayu.

Tetapi politik Melayu sendiri telah mengakibatkan kubu itu menjadi goyah. Peranan Raja-

Raja Melayu kini tidak sama lagi dengan dahulu. Fungsi mereka tidak lebih daripada menjadi

simbol. Kuasa mereka untuk mengangkat kedaulatan rakyat, Melayu khususnya, telah

menjadi kecil; jauh lebih kecil daripada kuasa rakyat untuk menjunjung kedaulatan mereka.

Tanpa kuasa politik, apa lagi yang orang Melayu boleh banggakan? Tanpa raja, apa lagi yang

boleh mereka harapkan? Tanpa kedua-duanya barangkali orang Melayu cuma tinggal nama!

Awal Oktober tahun 2000, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Rais Yatim dalam

ucaptama pada Wacana Politik Malaysia Dalam Abad Ke-21, tampil dengan saranan supaya

ditubuhkan sebuah Majlis Melayu, yang berfungsi sebagai badan untuk menyatukan semua

Melayu tanpa mengira fahaman politik. Peranan Majlis itu ialah untuk menjaga kepentingan-

kepentingan Melayu, sama sebagaimana Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina, yang

menjaga kepentingan bangsa mereka tanpa mengira faham kepartian.

Saranan itu mendapat reaksi yang berbelah bagi. Banyak cendekiawan Melayu

menyokongnya, tetapi tidak kurang juga yang memberi reaksi negatif.

Di kalangan ahli-ahli UMNO, parti yang dianggotai oleh Rais, terdapat suara-suara yang

menyifatkan cadangan itu sebagai tidak praktikal. Mereka menganggap kemunculan Majlis

itu, jika menjadi kenyataan, akan menggugat kedudukan UMNO sebagai organisasi Melayu

yang unggul. Sekaligus, ia memberi gambaran bahawa UMNO telah gagal dalam

perjuangannya dan sebab itu memerlukan badan lain bagi mengambil alih peranan yang

didokong selama ini.

PAS pula, yang merupakan organisasi politik Melayu kedua terbesar, secara terbuka menolak

penubuhan Majlis itu. Presidennya, Datuk Fadzil Noor menyifatkan cadangan penubuhan

Majlis tersebut sebagai satu helah politik UMNO.

Sebuah lagi parti politik berpengaruh yang dikuasai oleh orang Melayu, KEADILAN,

memilih untuk tidak membuat apa-apa kenyataan berhubung cadangan yang sama.

Kesimpulannya: mereka tidak mempunyai titik temu. Dengan perkataan lain, mereka tidak

bersependapat.

Tidak ada apa-apa yang pelik dalam hal di atas. Ia hanyalah lanjutan daripada tradisi-tradisi

yang pernah diamalkan oleh orang Melayu sebelum ini, iaitu, berpecah sesama sendiri. Ia

hanya akan menjadi pelik sekiranya cadangan itu diteima kerana dengan penerimaan itu

bermakna orang Melayu akan kehilangan identiti sebagai bangsa yang suka berpecah belah.

Dalam lingkungan politik Melayu di Malaysia, hasrat penubuhan sebuah Majlis seumpama

itu mungkin hanya akan menjadi satu mimpi yang cukup indah. Ia mungkin tidak mustahil

dilaksanakan, tetapi ia juga amat payah untuk menjadi kenyataan. Tidak seperti orang-onang

bukan-Melayu, orang Melayu amat sukar hendak mengenepikan sementara isme politik

masing-masing. Bagi sesetengah mereka, kepentingan politik melebihi kepentingan makanan

ruji.

Inilah masalahnya. Inilah pengancam paling besar terhadap masa depan bangsa Melayu. Apa

juga masalah lain, akan menjadi sangat kecil jika dibandingkan dengan masalah perpecahan

Melayu. Kita harus akur bahawa tidak ada gunanya menjadi kaya raya, tetapi pada masa yang

sama berpecah belah; dan tidak ada gunanya mempunyai anak-anak muda yang baik dan

bersopan sedangkan ibu bapa mereka saling bercakaran.

Yang paling menarik, dan juga merupakan yang paling buruk, perpecahan antara Melayu

berpunca daripada masalah politik. ini bermakna, politik yang pada suatu masa dahulu

menyatukan Melayu untuk membolehkan mereka membina kekuatan yang mampu mengusir

penjajah, kini menjadikan mereka pecah berselerak. Politik yang suatu masa dahulu menjadi

senjata untuk menghadapi musuh, sekarang menjadi boomerang yang memakan diri.

Sikap Melayu terhadap politik memang berbalut dengan keanehan. Rasanya tidak ada bangsa

lain di dunia yang menyintai politik lebih daripada orang Melayu. Tidak ada juga agaknya

bangsa yang pagi petang dan siang malam fikirannya dipenuhi oleh perkara-perkara berkaitan

politik.

Bagi orang Melayu, minat terhadap politik tidak mengenal peringkat umur dan tahap

kehidupan. Daripada orang tua yang separuh nyanyuk hingga kepada budak-budak di bawah

umur, daripada jutawan terkemuka hinggalah ke pengemis di kaki lima.

Tidak ada huraian yang tepat untuk memperjelaskan kenapa keadaan ini berlaku. Tidak siapa

tahu apakah ini satu lagi kesan daripada budaya taat yang menjadi darah daging Melayu.

Yang pasti, ketaksuban kepada politik telah mendorong Melayu hilang perasaan kasih dan

sayang kepada bangsanya. Ketaksuban itu menjadikan hati mereka penuh dengan kesumat

dan benci, bukan kepada orang lain, tetapi kepada bangsa sendiri.

Pada masa-masa lalu, sebagai penganut Islam, Melayu lazimnya akan menyelesaikan

perbezaan pendapat sesama mereka dengan jalan yang dianjurkan oleh agama. Sampai

waktunya mereka akan bersalam-salaman dan saling bermaafan. Masjid selalunya menjadi

pengikat ikatan. Islam menjadi titik yang mempertemukan.

Senarionya benar-benar berubah sekarang. Masjid bagaikan sudah tidak mampu berfungsi

dengan sempurna untuk mengeratkan silaturrahim sesama Islam, dan sesama Melayu.

Fungsinya menjadi bercelaru, dicelarukan oleh ketaksuban terhadap fahaman politik yang

menjadi pegangan masing-masing. Kepentingan-kepentingan politik menyebabkan banyak

Melayu dan Islam yang tidak lagi berasa berdosa apabila saling bermasam muka di dalam

masjid. Agama, yang sepatutnya menjadi titik persamaan, diubah fungsinya dan bertukar

menjadi titik yang membezakan.

Ada pihak beranggapan, perpecahan Melayu hanyalah bersifat sementara. Dalam keadaan

terdesak orang Melayu boleh bersatu semula. Mereka memberikan contoh bagaimana, ahli-

ahli UMNO yang keluar daripada parti itu boleh menyekutukan diri dengan PAS yang

dahulunya pernah mereka benci. Begitu juga sebaliknya terdapat ahli-ahli PAS yang

meninggalkan parti mereka, lalu menjadi ahli UMNO yang taat setia. Menurut mereka,

keadaan itu menggambarkan bahawa apabila ada sesuatu faktor yang menekan, orang Melayu

tidak menghadapi masalah untuk duduk semeja dan melupakan sengketa-sengketa yang lalu.

Apatah lagi mereka pula terkenal dengan sikap mudah lupa!

Dalam ‘Mahathir’s Paradigm Shift: The Man Behind the Vision’, Aziz Zariza Ahmad

menyebut, Mahathir sentiasa mempunyai keyakinan bahawa suatu waktu nanti Melayu akan

bersatu dalam erti kata sebenar. Sambil menyanjungi sikap positif itu, saya sering teraba-raba

mencari logik di sebalik keyakinan tersebut.

Sekali lagi perlu disebut bahawa secara rasional, kita sesungguhnya tidak patut menyalahkan

pihak yang membuat tuntutan-tuntutan yang bermatlamat menipiskan pengaruh Melayu.

Sebagai manusia biasa, apabila ada peluang terbuka di depan mata, mereka tidaklah bersalah

jika merebutnya. Jika kita berada dalam keadaan yang sama seperti mereka, bukan mustahil

kita mengambil langkah yang serupa.

Setiap Melayu sepatutnya melihat insiden seperti itu sebagai hukuman ke atas kemungkaran

mereka terhadap nilai perpaduan sesama sendiri. Mereka yang leka dan mereka juga yang

alpa.

Janganlah hairan, jika kerana kemungkaran dan kealpaan itu, tuntutan-tuntutan sedemikian

akan muncul lagi. Janganlah hairan kalau nanti hak Melayu dan apa juga keistimewaannya

akan kembali diungkit-ungkit. Semuanya akan terjadi lagi jika orang Melayu terus-menerus

tidak mahu belajar daripada kesilapan-kesilapan lalu.

Memang benar, Melayu merupakan bangsa yang suka belajar dan cepat diajar. Setiap kali

berlaku sesuatu peristiwa besar yang menggugat kepentingan mereka, Melayu akan cepat

tersedar.

Mereka akan terngadah setiap kali terhantuk. Tetapi malangnya, Melayu jarang berupaya

menahan diri daripada terhantuk.

Sampai bila keadaan ini akan berterusan?

Sampai bila Melayu akan terus dikenali sebagai bangsa

yang suka berpecah belah?

Sampai bila Melayu mahu membuka ruang untuk orang lain mengusik dan mencopet hak

mereka semata-mata kerana mereka sibuk bertelagah?

Sampai bila Melayu akan menyangka menghamun bangsa sendiri itu lebih baik daripada

berusaha menjaga maruah dan kehormatan sesama mereka?

Soalan-soalan ini telah menghantar Melayu ke garis penamat abad ke-20, dan soalan-soalan

ini jugalah yang menyambut Melayu di garisan permulaan abad ke-21.

Hanya Tuhan yang tahu Melayu mana yang dapat menjawabnya. Namun semua orang tahu

Melayu mana yang tidak mampu untuk menjawab!

BAHAGIAN TIGA

DI MANA KITA, KE MANA KITA?

1 APA YANG MELAYU MAHU?

SELEPAS beribu tahun menduduki Tanah Melayu dan selepas lebih 43 tahun merdeka,

setiap Melayu wajar bertanya pada diri sendiri, di manakah kita sekarang? Kemudian

bertanyalah lagi, inikah yang kita mahu?

Melayu bukan lagi setakat bangsa yang dewasa, malah merupakan bangsa yang cukup tua.

Ketuaan sepatutnya menjadikan setiap manusia itu lebih waras. Tetapi telah cukup waraskah

kita?

Mengikut ukuran material, nasib Melayu memang jauh lebih baik jika dibandingkan dengan

seratus tahun atau sepuluh tahun dahulu.

Lupakan soal pemilikan Melayu di sektor ekonomi pada era sebelum merdeka. Ianya terlalu

kecil, barangkali tidak cukup untuk dijadikan angka bagi membolehkan kita mencongaknya.

Lihat sahaja di mana kita tatkala Rancangan Malaysia Kedua bermula. Penguasaan Melayu di

bidang ekonomi ketika itu cuma 1.9 peratus. Diulang: 1.9 peratus!

Mengambilkira bahawa Melayu mewakili lebih daripada separuh penduduk Malaysia, angka

itu jelaslah kelihatan seperti tidak munasabah. Ia malah menjadi masalah besar pada

pelaksanaan Rancangan Malaysia Kedua yang mensasarkan pada tahun 1990 penguasaan

Melayu berada pada tahap 30 peratus, bukan Melayu 40 peratus dan pemodal asing 30

peratus.

Bagi sesiapa pun, menukar 1.9 peratus menjadi 30 peratus sesungguhnya bukanlah kerja yang

mudah.

Usaha pemimpin-pemimpin Melayu untuk meletakkan bangsa mereka di tahap sepatutnya

memang tidak pernah mengenal jemu. Mereka malah menjadikannya tanggungjawab wajib.

Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan menyebut secara jelas matlamat untuk meningkatkan

taraf ekonomi Melayu. Dan siapakah yang memikul tanggungjawab untuk menggerakkan

matlamat tersebut jika bukan para pemimpin Melayu sendiri?

Atas kesedaran pemimpin-pemimpin Melayu, Bank Kebangsaan Melayu yang pendek

umurnya itu ditubuhkan. Atas desakan dan keluhan pemimpin-pemimpin Melayu juga,

Pesuruhjaya British mengusulkan penubuhan RIDA (yang kemudiannya berkembang menjadi

MARA), yang melaluinya memungkinkan orang Melayu mula menapak dengan agak kukuh

di bidang perniagaan dan pendidikan.

Para pemimpin Melayu, dengan kuasa politik yang mereka ada telah menubuhkan pelbagai

badan dan agensi demi menjaga kepentingan bangsa Melayu. Untuk Melayu ditubuhkan

FLDA (kemudiannya FELDA). Untuk Melayu muncul Bank Kerjasama. Untuk Melayu

tegaknya Bank Bumiputera. Untuk Melayu dilancarkan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Untuk

Melayu diwujudkan ASN, ASB dan entah apa lagi.

Pendek kata, kalau menolong bangsa sendiri itu merupakan satu dosa, maka sahlah bahawa

pemimpin Melayu akan merupakan kumpulan manusia yang paling banyak dosanya di muka

bumi ini.

Hasil kerja keras para pemimpin Melayu itu, nasib Melayu di Malaysia berubah. DEB

menyaksikan kemunculan kumpulan usahawan dan ahli korperat Melayu, di samping berjaya

merealisasikan impian untuk melihat tahap kehidupan orang Melayu umumnya menjadi lebih

baik.

Tidak ada sesiapa yang boleh menidakkan pencapaian ini. Sejarah menjadi saksi bahawa

menerusi DEB, golongan kelas pertengahan Melayu telah meningkat secara berganda iaitu

daripada 13 peratus pada awal 1970-an menjadi 28 peratus pada tahun 1993. Di sektor

pekerjaan, peningkatan yang lebih besar berlaku bila mana angka 7.8 peratus pada 1970

bertukar menjadi lebih daripada 25 peratus dalam tempoh 23 tahun berikutnya.

Tetapi apakah angka-angka itu mencerminkan DEB telah benar-benar berjaya? Apakah ianya

cukup untuk menjadi kayu pengukur bahawa hasrat untuk memartabatkan Melayu telah

menjadi kenyataan?

Jawapannya mungkin tidak menggembirakan mana-mana Melayu yang rasional.

Apabila DEB yang dilancarkan pada tahun 1971 sampai pada tempoh matangnya, ternyata

hasrat untuk melihat Melayu menguasai 30 peratus daripada kekayaan negara tidak

kesampaian. Daripada segi peratusnya angka tersebut cuma berada di sekitar 20 peratus

sahaja. Tidak terlalu jauh, tetapi hampir separuh perjalanan daripada sasaran sebenar.

Dan lebih memedihkan lagi, angka itu bukanlah mencerminkan jumlah perkongsian sebenar

orang Melayu ke atas kekayaan negara. Yang menjadikan angka itu kelihatan agak banyak

ialah pemilikan melalui institusi yang digerakkan oleh kerajaan.

Jika perincian yang lebih halus dibuat, sehingga akhir abad ke-20, peratus pemilikan Melayu

hanyalah pada kadar 7 peratus - diulangi, 7 peratus! - dan angka ini disebut sendiri oleh

Mahathir dalam satu kenyataannya di Norwich, England pada awal Oktober, 2000.

Persoalan ini tidak mati setakat itu. Kita juga tidak harus lupa bahawa pemilikan sebanyak 7

peratus itu bukannya bersifat menyeluruh ke atas semua Melayu, sebaliknya ia dimonopoli

dan dikuasai oleh beberapa kerat Melayu sahaja. Majoriti Melayu lain masih terkial-kial

mengejar mimpi.

Sehingga pada tahun 1987, bagi kumpulan 40 peratus terendah, isi rumah bumiputera di

bandar dianggarkan menerima RM 306 sebulan berbanding dengan RM 538 bagi kaum Cina

dan RM 459 bagi kaum India. Di sebalik peningkatan berkali ganda tenaga kerja Melayu di

sektor iktisas dan teknik, pengagihannya mengikut kaum masih tidak seimbang. Pembabitan

Melayu dalam kumpulan yang berpendapatan tinggi masih rendah. Jumlah arkitek

bumiputera pada tahun 1988 misalnya, cuma 192 orang berbanding dengan 679 arkitek Cina.

Melayu yang menjadi akauntan pula cuma 514 orang, berbanding dengan 4,079 Cina dan 315

India. Keseluruhannya,jumlah penyertaan bumiputera dalam kumpulan iktisas cuma 25.1

peratus, berbanding dengan Cina sebanyak 58.4 peratus dan India 14.3 peratus.

Angka-angka itu tidak setakat mencerminkan wujudnya ketidakseimbangan, tetapi juga

menjadi petunjuk terhadap kegagalan DEB mencapai sasarannya.

Apakah reaksi Melayu terhadap kegagalan itu?

Hampir tidak ada apa-apa. Reaksi-reaksi yang timbul kebanyakannya cuma merupakan kes-

kes terpencil, yang membabitkan kumpulan-kumpulan kecil Melayu yang menginsafi nasib

bangsanya.

Majoriti Melayu lain tidak mempedulikannya. Mereka seolah-olah tidak sedar bahawa tahun

yang menjadi titik kematangan DEB itu, iaitu 1990, mempunyai erti yang amat besar dalam

kehidupan bangsa mereka. Mereka langsung tidak tahu bahawa tahun itu menjadi titik untuk

mengukur keupayaan dan kekuatan mereka.

Tidak ada Melayu yang menangis apabila mendapat tahu mengenai kegagalan bangsa mereka

mencapai sasaran 30 peratus tersebut. Mereka tidak berasa kecewa. Mereka kebanyakannya

lebih sibuk membilang hari untuk menjual unit-unit ASN yang bakal matang.

Dan itulah antara contoh kegagalan DEB. Dasar yang baik dan murni itu, dalam satu konteks,

gagal mengubah pradigma kebanyakan Melayu. Ia mungkin berupaya menyuntik impian baru

di jiwa Melayu, tetapi ia gagal menyedarkan mereka secara total tentang peri pentingnya

peranan ekonomi di dalam kehidupan. Hasilnya, banyak Melayu yang merebut peluang-

peluang yang dibuka oleh DEB secara sambil lewa bukan dengan kesedaran dalam erti kata

yang sebenar. Perebutan itu lebih didorong oleh keinginan dan nafsu bukan oleh kehendak

yang diimbangi dengan akal fikiran.

Bapa Pembangunan, Allahyarham Tun Abdul Razak dan anak Melayu pertama yang menjadi

Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah, dalam ucapan-ucapan awal mereka selepas

pelancaran DEB kerap mengingatkan Melayu bahawa dasar itu menyediakan peluang yang

hampir tidak terbatas kepada setiap Melayu, tetapi hanya Melayu yang gigih sahaja akan

berjaya. Mereka juga berkali-kali menekankan bahawa dalam dunia perniagaan tiada apa

yang dinamakan kebajikan.

Kira-kira 20 tahun kemudian kita menyaksikan peringatan yang diberikan oleh kedua-dua

tokoh itu masih tidak begitu dipedulikan. Melayu rata-ratanya masih menyekutukan

perniagaan dengan amal kebajikan. Melayu masih keliru.

Menyedari bahawa penyakit lama bangsanya masih belum sembuh, Mahathir yang mula

menerajui negara sejak hampir sepuluh tahun sebelum DEB mencapai tempoh matangnya,

melakukan bermacam cara untuk merawat mereka. Beliau tidak sekadar mengulangi

peringatan yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu, malah menyuntik idea-idea

baru yang boleh memperkukuhkan kedudukan Melayu.

Hasilnya tampak menakjubkan. Melayu kelihatan terus bergerak laju ke atas. 10 tahun

pertama selepas tamatnya DEB menyaksikan kian banyak muncul Melayu korporat dan

sekaligus menjadikan saiz Melayu kelas pertengahan bertambah besar. Melayu, bangsa yang

sebelum merdeka dianggap tidak tahu membuat jarum ini menutup abad ke-20 dengan satu

bukti bahawa mereka sebenarnya mampu menjadi kuasa di mana sahaja, di darat, di laut dan

di udara.

Secara prinsipnya, Mahathir memang telah berjaya menjadikan Malaysia - dalam kes ini

Melayu - sebagai bangsa yang bergerak maju di atas asas-asas pembangunan yang telah

disediakan oleh Tun Razak.

Tetapi masalah Mahathir sebenarnya akan sama dengan masalah Tun Razak. Jika

Allahyarham Tun masih hidup, barangkali beliau akan menangis melihat bagaimana Melayu

sendiri menggagalkan hasratnya untuk melihat mereka menjadi bangsa yang besar. Mahathir

pula telah berkali-kali menangis atas sebab-sebab yang hampir sama. Dan Mahathir akan

terus menangis. Sebahagian besar Melayu tidak akan membenarkan beliau dan mana-mana

juga pemimpin mereka berhenti daripada menangis dan tersenyum bangga.

Sebagaimana DEB menyaksikan Melayu mencapai kejayaan material dengan kelowongan

fikiran, segala dasar dan rancangan yang diperkenalkan semasa era kepimpinan Mahathir

juga menghadapkan Melayu dengan realiti yang sama. Kalau ada kekecualian, kesnya amat

kecil.

Jika sehingga berakhirnya DEB kita menyaksikan Melayu berlumba merebut peluang secara

sambil lewa, selepas DEB pula kita berhadapan dengan Melayu yang terlalu ghairah untuk

berjaya sehingga terlupa adab dan budinya. Jika Melayu di era DEB kurang menggunakan

fikiran, Melayu selepas DEB pula terlebih menggunakan perasaan.

Tahun 1990 dan tahun-tahun selepasnya telah melihat bagaimana Melayu begitu ghairah

untuk berjaya. Tiba-tiba sahaja kebanyakan Melayu menjadi ahli ekonomi. Pagi dan petang

mereka bercakap mengenainya.

Sesiapa pun yang melihat perkembangan itu akan berkata ia adalah petanda baik. Ia

merupakan alasan paling kukuh untuk menolak dakwaan bahawa Melayu tidak menyedari

akan kepentingan ekonomi. Atau setidak-tidaknya, ia membolehkan orang berkata, selepas

gagal mencapai sasaran DEB, Melayu sekali lagi terkejut jaga dan bangkit untuk menegakkan

kedaulatan mereka.

Tetapi apakah Melayu benar-benar sedar?

Tidak ada Melayu yang akan gembira menjawab soalan ini.

Di sebalik cerita-cerita indah tentang kesedaran dan keinsafan Melayu itu sebetulnya terselit

banyak kisah-kisah yang amat menyayat. Kesedaran yang melampau-lampau telah

meletakkan Melayu dalam satu bentuk igauan baru. Sebahagian besar daripada mereka

berubah menjadi manusia manusia rakus. Terlalu bersungguh-sungguh untuk berjaya telah

menjadikan mereka cepat hilang pertimbangan.

Kumpulan Melayu ini mentafsirkan pencapaian ekonomi dengan cara sendiri dengan

mengenepikan nilai-nilai sebenar, termasuk nilai-nilai yang menjadi asas keteguhan bangsa

mereka. Mereka meletakkan matlamat pencapaian itu di atas segala-galanya. Mereka bekerja

siang malam untuk mencapai matlamat tersebut. Jalan dan haluannya tidak lagi penting. Halal

dan haramnya juga tidak lagi mustahak.

Kebanyakan Melayu di era pelaksanaan DEB adalah saki baki Melayu totok yang masih tebal

dengan sifat mudah berpuas hati. Melayu jenis inilah yang menganggap dapat makan dan

dapat pakai sebagai pencapaian besar dalam hidup. Bagi Melayu jenis pesimis ini, mendapat

sedikit adalah lebih baik daripada tidak mendapatnya langsung. Mereka adalah Melayu yang

enggan memandang ke hadapan.

Selepas tahun 1990, kelompok Melayu ini diganti oleh satu spesis Melayu lain. Melayu kali

ini adalah jenis yang tidak pernah berpuas hati. Mereka adalah Melayu serba optimis yang

beranggapan lebih baik tidak mendapat apa-apa daripada mendapatnya sedikit. Mereka

adalah Melayu yang

tidak menoleh ke belakang lagi.

Kemunculan Melayu spesis baru ini memang membawa banyak manfaatnya kepada umat

Melayu di Malaysia. Kita semua terhutang budi pada mereka. Tanpa mereka mungkin tahap

pencapaian Melayu di sektor ekonomi akan balik ke tahap 1.9 peratus, angka sebelum DEB

dilaksanakan.

Tetapi sebahagian daripada Melayu spesis baru ini juga mempunyai dosanya terhadap kita.

Mereka terlalu banyak menjual bangsa!

Keghairahan mereka yang berlebih-lebihan untuk berjaya telah menyebabkan Melayu spesis

baru itu hidup dalam nilai-nilai baru yang bukan sahaja bertentangan dengan nilai Melayu

jati, tetapi juga dengan nilai kemanusiaan sejagat. Dan mereka menjadi berdosa apabila cuba

menyuntik nilai

itu kepada kita, dan pada masa yang sama menggunakan nilai tersebut untuk melacurkan

kehormatan bangsa.

Berkat kemahuan mereka untuk berjaya, sebahagian kecil orang mula menjadi kaya. Jika

dahulu mereka cuma bermain dengan kupang tembaga, kini mereka mula berada dalam

timbunan ringgit yang berjuta. Seperti biasa, wang yang banyak dengan diiringi oleh

kewarasan yang sedikit, akan menjadikan manusia lebih haloba. Di sinilah segala-galanya

bermula.

Sama ada kerana mereka mengalami kejutan sebab tiba-tiba menjadi kaya, atau kerana

mereka sememangnya mendendami bukan-Melayu yang sejak lama bermain dengan wang

untuk membeli kejayaan, Melayu spesis baru itu menjadi seperti orang lupa diri. Mereka akan

berbuat apa sahaja untuk menjadi kaya dan kemudian menjadi lebih kaya.

Dalam keadaan begini, rasuah mula diterima sebagai budaya hidup. Tanggapan terhadap

rasuah berubah lagi. Kali ini, rasuah yang membabitkan jumlah yang banyak tidak lagi

dianggap perbuatan yang salah. Dalam beberapa keadaan, ia malah dianggap mendatangkan

‘pahala’ sebab di dalamnya terkandung unsur ‘berkongsi nikmat’. Di samping itu terdapat

pula kes-kes lain, di mana perasuah beria-ia mengangkat dirinya sebagai wira. Alasannya, dia

melakukan rasuah demi untuk kepentingan bangsa!

Tempoh 10 tahun terakhir abad ke-20 menyaksikan bagaimana Melayu spesis baru ini benar-

benar menguasai kehidupan Melayu secara keseluruhannya. Mereka menyalah tafsirkan

seruan pemimpin supaya Melayu bergerak maju dengan menganggap ianya sebagai lesen

yang menghalalkan perbuatan mereka. Mereka menganggap seruan supaya Melayu menjadi

pintar dan licik dalam perniagaan sebagai tiket yang membolehkan mereka bermain dengan

hamburan wang.

Hasilnya? Untuk tempoh lebih sedekad yang lalu muncul begitu banyak istilah baru yang

popular di dalam kehidupan orang Melayu. ‘Orang dalam’, ‘orang atas’, ‘orang A’, ‘orang

B’, ‘tabung politik’, dan entah apa lagi, semuanya timbul dengan leluasa. Walaupun bunyi

istilah-istilah itu berbeza, ia menjurus pada maksud yang sama: RASUAH!

Serangan wabak rasuah tidak terhenti setakat hal-hal yang berkisar dengan ekonomi sahaja.

Ia tidak habis setakat soal mendapatkan projek, tender atau pinjaman. Sebaliknya penyakit itu

menular lebih jauh, mula-mula ke dalam politik Melayu, dan kemudian ke dalam kehidupan

Melayu keseluruhannya.

Apabila kumpulan Melayu spesis baru itu telah mempunyai banyak wang dan merasakan

mereka telah cukup kuat, masing-masing cuba membina kekuatan baru dengan memasuki

arena politik. Mereka yakin dengan kuasa politik yang diperolehi nanti, peluang untuk

menambah kekayaan akan menjadi lebih berlipatganda.

Tetapi jangan salahkan mereka seratus peratus. Mereka jadi begitu kerana mereka ‘diajar’

supaya menjadi begitu. Mereka melihat contoh teladan di kalangan sesetengah pemimpin

mereka sendiri. Mereka melihat bagaimana pemimpin-pemimpin itu membuat duit dengan

menggunakan kuasa.

Berbekalkan contoh itulah mereka masuk ke gelanggang. Mereka berusaha menggunakan

duit yang ada untuk membeli kuasa. Dan setelah berjaya memiliki kuasa, mereka akan

menggabungkannya dengan duit, lalu mengamuk untuk mengumpulkan kekayaan seterusnya

tanpa batas dan sempadan, tanpa adab dan sopan.

Bagi Melayu spesis ini, tidak ada apa yang tidak boleh. Sebagaimana mereka menggunakan

jalan pintas untuk menjadi kaya, mereka juga akan menggunakan jalan pintas untuk berkuasa.

Kemudian sekali lagi mereka mempraktikkan cara yang sama untuk kekal berkuasa.

Akibatnya? Yang paling ketara ialah, UMNO, yang menjadi parti politik Melayu terunggul

itu, terpaksa meminda perlembagaannya berkali-kali bagi tujuan membendung politik wang

atau lebih tepat lagi politik rasuah. Oleh kerana UMNO itu terlalu akrab hubungannya dengan

Melayu, tidakkah apa yang berlaku di dalam UMNO itu boleh dijadikan cerminan terhadap

betapa parahnya kerosakan jiwa orang Melayu sekarang?

Dalam kehidupan sehari-harian, Melayu spesis baru itu berjaya membina rangkaian

pengkagum dan pengikut yang besar jumlahnya. Maka rasuah pun tidak terbatas pada urusan

yang membabitkan transaksi berjumlah jutaan ringgit, malah dalam urusan mendapatkan

lesen memandu atau permit arked video. Di mana-mana sahaja, orang Melayu mula pandai

bercakap tentang ‘upah’ dan ‘pulangan’ sehinggakan untuk mendapatkan sehelai borang ada

yang tanpa segan silu bertanya tentang duit kopi. Penangkapan besar-besaran kumpulan

‘tonto’ di PUSPAKOM pertengahan tahun 2000 yang lalu, serta pembongkaran skandal

100,000 ‘lesen terbang’ di Jabatan Pengangkutan Jalan hanyalah dua contoh kecil tentang

bagaimana rasuah telah diterima sebagai cara hidup. Itu belum lagi dimasukkan kisah-kisah

tentang dakwaan wujudnya unsur-unsur rasuah di agensi-agensi yang mengendalikan urusan

perniagaan arked video, seperti Pihak Berkuasa Tempatan dan polis. Memang benar ia turut

membabitkan orang bukan-Melayu. Tetapi benar juga bahawa ia cukup banyak membabitkan

Melayu!

Ditegaskan sekali lagi, buku ini tidak bermaksud menuding jari pada sesiapa. Sekiranya ada

yang patut dipersalahkan, maka si pesalah itu ialah semua umat Melayu. Rasuah tidak akan

berlaku tanpa persetujuan kedua-dua belah pihak. Rasuah boleh dikekang jika satu pihak

tidak merestui kehendak pihak yang satu lagi.

Pemimpin boleh bercakap. Pemimpin boleh menyeru. Pemimpin boleh merayu. Tetapi semua

itu tidak memberi erti jika orang Melayu di peringkat akar umbi bersikap tidak peduli. Dan ia

semakin menjadi tidak bererti apabila si pemimpin sendiri bersikap ‘cakap tak serupa bikin’.

Tanggungjawab untuk membina kepedulian ini tidak terletak pada pemimpin semata-mata.

Tidak juga pada rakyat jelata. Ia merupakan kewajipan bersama. Dan bagi menunaikan

kewajipan itu semua Melayu, pemimpin dan rakyat, harus berhenti meracau, sebaliknya

segera bergerak dan bertindak.

Tanyalah mana-mana Melayu pun, rata-rata akan memberi jawapan mereka membenci

rasuah. Mereka tahu agama mengharamkan perbuatan keji itu.

Tetapi anehnya, kebencian Melayu pada rasuah seringkali hanya dalam kes-kes yang tidak

membabitkan kepentingan mereka sahaja. Apabila ia berhubungkait dengan kepentingannya,

Melayu akan lupa pada segala kebencian tadi. Dan yang haram pun tiba-tiba menjadi halal

semula.

Sikap sebegini telah banyak menjahanamkan Melayu. Tidak sedikit pemimpin dan pentadbir

Melayu yang terperangkap dengannya. Apabila mereka tidak mengamalkan rasuah, mereka

akan dianggap tidak mahu menolong bangsa, sebaliknya jika mereka berbuat demikian,

mereka akan dituduh merosakkan bangsa. Dengan perkataan lain, mereka langsung tidak

diberi pilihan untuk menjadi baik. Tetapi apabila menjadi tidak baik, mereka akan dimusuhi

pula oleh Melayu-Melayu yang lain.

Proses ini telah berlaku berulang-ulang kali dan belum menampakkan sebarang tanda akan

berhenti.

Selagi Melayu masih bersikap demikian selagi itulah masalah yang membelenggu mereka

tidak akan selesai. Selagi itu jugalah rasuah, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan

pecah amanah akan menjadi barah yang akan merosakkan kehidupan mereka.

Kita sedar rasuah menjadi sebahagian daripada budaya dalam sistem ekonomi yang

digerakkan oleh kapitalisme. Kita juga sedar bahawa yang terbabit dengan rasuah bukanlah

setakat sekerat dua orang Melayu, tetapi boleh dikatakan hampir kesemua bangsa di dunia

ini. Kita malah sedar bahawa ada bangsa yang menjadi begitu berkuasa kerana rasuah. Kita

sedar kesemuanya.

Tetapi kes Melayu di Malaysia agak kompleks dan kerana itu kita tidak boleh menjadikan

orang lain sebagai kayu pengukur di dalam apa juga bentuk tindakan kita.

Kita mungkin tidak perlu mengungkit hubungan Melayu dan Islam serta sikap Islam terhadap

rasuah. Ia telah berada dalam pengetahuan semua Melayu yang mengaku dirinya beragama

Islam.

Ditakdirkan ada Melayu yang tergamak menolak hukum Allah dengan menganggap rasuah

tidak memudaratkan sesiapa, Melayu itu patutlah merenung sejenak kedudukan bangsanya di

bumi Malaysia ini.

Sebagai bangsa yang masih bertaraf ‘pilihan kedua’ di negara sendiri, dan pada masa yang

sama memiliki kuasa politik yang tidak boleh dipertikaikan, Melayu hanya menempah

kecelakaan jika menghalalkan perbuatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Ia hanya akan

memungkinkan

pihak-pihak lain yang lebih kaya membeli dan menjual mereka dengan sewenang-

wenangnya.

Sejarah Tanah Melayu telah banyak kali merakamkan kisah bagaimana ada orang Melayu

dijual, ada tanah dan negeri Melayu digadai atas nama emas dan ringgit. Sejarah begitu sama

sekali tidak patut dibenarkan berulang. Kita tidak mahu orang Melayu menjadi seperti orang-

orang Red Indian suku

Kwakiutl di British Columbia, Kanada, yang menerima budaya mencagarkan nama untuk

berhutang sebagai satu cara hidup. Kalaupun sekarang ini sudah muncul banyak Melayu yang

menjual nama dan menggadai bangsa bagi mencari kekayaan secara mudah, kita masih

berharap ia tidak akan menjadi resam baru yang dihalalkan.

Untuk mengekang kemungkinan-kemungkinan itu, Melayu patut mengawal keghairahan

mereka. Para pemimpinnya juga mestilah mempunyai kemahuan yang luar biasa untuk

memerangi gejala yang meruntuhkan ini. Tindakan yang keras dan tegas perlu diambil bagi

menghapuskan rasuah. Tidak ada salahnya jika undang-undang digubal dan wartakan bagi

menghukum pemberi rasuah dua kali lebih berat daripada penerimanya. Apa salahnya jika

jika kedua-dua pihak yang didapati bersalah melakukan rasuah dihukum sebat dengan rotan

di khalayak ramai, di tempat-tmpat terbuka seperti di Dataran Merdeka? Jika pengedar dadah

boleh dihukum gantung, perasuah juga mungkin tidak patut dibenarkan hidup lama dan

selesa.

Kita sedar bahawa dalam mana-mana tamadun pun, keghairahan untuk maju akan bergerak

seiring dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Tetapi ini bukanlah suatu hukum yang

bersikap absolute. Kenyataan itu tidak boleh dianggap sebagai anjuran bahawa untuk

mengelak daripada rasuah dan penyalahgunaan kuasa, kita patut kekal mundur.

Kita boleh maju. Kita boleh berjaya. Malah kita mesti maju dan berjaya.

Namun kejayaan mempunyai dua wajah. Pertama, kejayaan yang singkat dan kedua, kejayaan

yang kekal.

Untuk mencapai kejayaan jenis pertama amatlah mudah. Benarkan sahaja semua pemimpin

dan pentadbir Melayu melakukan rasuah, pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa.

Benarkan semua orang Melayu menjual dan menggadai tanah serta permit-permitnya. Esok

atau lusa, anda pasti melihat begitu banyak Melayu yang kaya, yang maju dan berjaya. Tetapi

selepas esok atau selepas lusa, Melayu mungkin tidak bersisa lagi.

Bagi mencapai kejayaan yang panjang dan kekal, manusia dituntut supaya mengimbangi

kehendaknya dengan akal fikiran. Tidak salah untuk berasa ghairah terhadap kejayaan. Tetapi

keghairahan di peringkat enthusiasm mempunyai nilai yang berbeza dengan keghairahan di

tahap obsessi. Kita sepatutnya memilih yang pertama. Lakukanlah apa yang kita mampu

bukan melakukan apa yang kita mahu.

Dalam ‘Russelas’nya, Samuel Johnson menyebut ‘ hasil kerja yang baik tidak dapat dicapai

dengan perahan tenaga, tetapi dengan ketekunan yang berterusan.’ Dalam bahasa mudahnya

ia bermakna kejayaan tidak akan dapat dinikmati melalui kegelojohan, sebaliknya ia akan

diperolehi melalui kemahuan yang berpanjangan. Di dalam Islam prinsip ini menepati konsep

istiqamah yang dituntut supaya diamalkan oleh setiap individu yang mahu menjadi insan

cemerlang.

Secara semulajadi orang Melayu mewarisi sifat-sifat yang boleh membawa mereka ke arah

kejayaan. Dua daripada sifat-sifat itu ialah ketaatan dan kesabaran. Di dalam ‘Bush-

whacking’ (1882), Residen Inggeris di Pahang, Hugh Clifford mencatatkan: ‘...apabila dia

(orang Melayu) bekerja untuk seseorang yang mengenalinya, dia akan bekerja seperti tidak

ada orang lain bekerja.’

Catatan Clifford itu tidak harus dianggap sebagai kenyataan jelek, yang bermaksud menghina

Melayu sebab berpotensi menjadi khadam yang baik. Dia mungkin tidak bermaksud begitu.

Dia mungkin ikhlas apabila menyatakan kekaguman tersebut sebab di dalam buku yang

sama, Clifford turut menyebut,”...mereka (orang Melayu) memang bagus. Bila-bila masa pun

aku akan memilih mereka daripada memilih orang lain. Anehnya ada pula orang yang

mengatakan orang Melayu adalah haiwan yang paling malas di muka bumi ini.”

Banyak orang Melayu sendiri tidak menyedari akan kelebihan mereka itu. Tradisi kurang

berminat menganalisis diri menyebabkan mereka mengabaikan kelebihan tersebut.

Ketaatan adalah nilai yang dituntut di dalam kehidupan, baik yang menyangkuti urusan

manusia dengan Tuhan, mahupun dalam hubungan manusia sesama manusia. Dalam

sebarang bentuk kehidupan pula, ketaatan adalah tuntutan yang amat payah hendak

disempurnakan.

Tetapi orang Melayu terkecuali daripada kepayahan itu. Seperti telah disebut dalam bab yang

lebih awal, orang Melayu memiliki kesediaan untuk taat secara tradisi. Apabila raja mereka

memeluk agama Islam, sebagaimana yang dilakukan oleh Parameswara di Melaka, atas nama

ketaatan, orang-orang Melayu yang menjadi rakyatnya turut memeluk Islam. Hal yang sama

berlaku di negeri-negeri lain.

Kemudian, selepas beragama Islam, orang Melayu membuktikan bahawa mereka adalah

penganut yang taat. Mereka tidak akan bertolak ansur dalam hal-hal yang membabitkan

maruah dan kedaulatan agama suci itu.

Sebelum itu, ketika beragama Hindu, nenek moyang orang Melayu ternyata menjadi Hindu

yang patuh. Kesetiaan mereka pada kepercayaan yang dianuti itu begitu kuat, sehinggakan

selepas beratus tahun meninggalkan agama itu, mereka masih mempraktiskan sebahagian

daripada resam budayanya.

Di dalam budaya hidup Melayu, penekanan terhadap nilai-nilai ketaatan sentiasa berada di

tempat yang teratas. Anak diwajibkan taat kepada ibu bapa, murid dimestikan taat kepada

guru, rakyat dituntut taat kepada pemerintah. Pendek kata, orang Melayu diajar supaya

mentaati apa sahaja yang mempunyai hubungan langsung dengan mereka. Dalam Kanun

Melaka jelas disebut bagaimana si penderhaka yang tidak mentaati raja bukan sahaja mesti

dihukum bunuh, malah tapak rumahnya juga akan digali dan dibuang ke laut.

Seiring dengan ketaatan itu, Melayu juga memiliki tahap kesabaran yang luar biasa. Akar

umbi Hindu mereka mungkin menjadi sebahagian daripada faktor yang membina peribadi itu.

Di dalam agama Hindu wujud kepercayaan bahawa ‘kesengsaraan adalah satu kenikmatan’

dan kepercayaan itu banyak membantu proses pembentukan kesabaran di kalangan

penganutnya.

Apabila mereka memeluk agama Islam, asas kesabaran yang sedia ada di lubuk hati orang

Melayu itu menjadi bertambah mantap kerana Islam sememangnya meletakkan kesabaran di

darjat yang cukup tinggi.

Dengan pemilikan kedua-dua elemen ini, taat dan sabar, Melayu sepatutnya tidak

menghadapi masalah untuk berbuat sesuatu dengan ‘ketekunan yang berterusan’,

sebagaimana disarankan oleh Johnson.

Malangnya, kebanyakan Melayu tidak menjadi begitu. Mereka mengabaikan potensi yang

dimiliki. Mereka tidak mahu menjadi diri mereka sendiri, sebaliknya lebih cenderung hendak

menjadi orang lain. Kesannya, muncullah Melayu jenis gelojoh dan gopoh. Kesan susulan

daripada kegelojohan itu ialah muncul pula perbuatan-perbuatan yang telah disebutkan pada

awal bab ini; rasuah, penyelewengan,penyalahgunaan kuasa, penjualan harga diri,

penggadaian maruah bangsa dan bermacam-macam lagi perilaku buruk seumpamanya.

Tidak dinafikan bahawa di celah-celah karut-marut perangai Melayu spesis baru itu ada

individu-individu Melayu yang menapak naik dengan jerih payah, bukannya dengan amalan-

amalan korup yang busuk. Orang-orang seperti Tan Sri Azman Hashim, ahli bank yang

terkemuka itu dan Tan Sri Shamsudin, pengasas Sapura, adalah contoh paling dekat untuk

menunjukkan bahawa Melayu juga boleh berjaya di bidang ekonomi tanpa menggunakan

jalan pintas sekiranya mereka memiliki tahap istiqamah yang tinggi.

Selain daripada kedua-dua nama itu, ada lagi nama beberapa kerat Melayu yang bermula dari

bawah dan merangkak naik tanpa sudu emas di mulut. Tidak semua mereka menempah nama

sebagai orang korperat. Sesetengahnya menjadi kaya raya sebagai pekebun, peladang atau

nelayan di ceruk-ceruk terpencil yang tidak diketahui orang.

Orang-orang seperti mereka ini biasanya tidak gah. Dalam kebanyakan kes, kewujudan

mereka tidak disedari sebab mereka tidak bergayut di bawah dagu sesiapa untuk mencari

kemasyhuran. Namun realiti tidak akan boleh dibohongi. Secara realitinya, merekalah

penyumbang sebenar terhadap pencapaian ekonomi Melayu. Merekalah wira kita yang sejati.

Sesungguhnya, kita tidak patut membiarkan nama baik orang seperti mereka ditenggelami

dan dicemari oleh spesis-spesis Melayu yang karut dan rakus.

2 MEMBINA MELAYU BERILMU

DI DALAM cerita-cerita epik Melayu, pencarian ilmu sentiasa diletakkan di tempat yang

istimewa. Ia menjadi kemestian dalam hampir semua cerita seumpama itu. Cara ilmu itu

dicari sahaja yang berbeza. Ada ketikanya melalui pengembaraan dan pada waktu-waktu

yang lain pula melalui perguruan dengan petapa-petapa di perut gua. Tidak kurang juga

kisah-kisah yang menyebut tentang bagaimana guru-guru dijemput mengajar di istana.

Apa yang tergambar melalui kisah-kisah epik itu ialah, orang Melayu sejak dahulu menyintai

ilmu. Walaupun si penglipur lara dan tukang cerita mungkin tidak tahu menulis atau

membaca, namun keadaan itu tidak pernah menghalang mereka daripada menanam minat

untuk belajar di kalangan audien masing-masing.

Dalam konteks kehidupan Melayu moden, seruan-seruan supaya mencintai ilmu sudah wujud

sejak zaman Tun Seri Lanang dan kemudiannya Munsyi Abdullah. Pada awal abad 20, kita

menyaksikan kemunculan tokoh-tokoh Melayu, terutama yang berpendidikan agama, tidak

mengenal jemu berusaha menanamkan kesedaran tentang kepentingan ilmu di lubuk hati

anak bangsanya. Tulisan al-Syaikh al-Adib Ahmad Zain al-Fatani dalam Hadiqat ul-Azhar

Wa I-Rayajin misalnya, amat menekankan tentang perlunya umat Melayu mengambil berat

terhadap kemajuan sains dan teknologi.

Anehnya, bagaimanakah bangsa yang begitu gemar mencari ilmu boleh tercicir di dalam

bidang pendidikan? Kenapa anak cucu bangsa yang menyintai ilmu itu selalu dianggap

terkebelakang dalam hal-hal yang membabitkan bidang ilmu tertentu?

Soalan itu sebenarnya telah lama terjawab. Semua pihak, daripada penjajah hinggalah orang

bukan-Melayu dan orang Melayu sendiri, sama-sama menyedari bahawa keciciran itu

mempunyai pertalian dengan tahap ekonomi orang Melayu. Di mana-mana negara pun,

bangsa yang lemah penguasaan ekonominya dengan sendiri akan terkebelakang dalam bidang

bidang sosial lain. Hukum yang sama meliputi bidang pendidikan.

Di Malaysia, masalah itu telah berjaya diatasi dengan cara yang agak drastik. Selepas sahaja

negara ini mencapai kemerdekaan, orang Melayu yang sejak dari awal menyedari peri

pentingnya pendidikan, telah menggunakan kuasa politik yang dimiliki untuk memastikan

anak bangsa mereka tidak lagi tercicir. Tumpuan habis-habisan diberikan pada bidang

pendidikan sehinggakan dalam banyak keadaan, kelihatan bidang itu diberi lebih keutamaan

daripada bidang ekonomi. Di mana-mana sahaja, keluarga Melayu lebih suka bercakap

tentang di mana dan bagaimana anak mereka belajar daripada berbincang perkara-perkara

yang membabitkan pencarian wang ringgit.

Hasil kesedaran luar biasa itu dapat dilihat sekarang. Sikap pro aktif Melayu dalam isu-isu

pendidikan jelas membantu menjayakan dasar-dasar pendidikan, yang digubal sejajar dengan

hasrat Perlembagaan untuk memartabatkan Melayu sebagai bangsa yang maju dan berilmu.

Pemimpin-pemimpin Melayu pula tidak pernah leka dalam melaksanakan tanggungjawab

untuk mencapai hasrat tersebut. Penyata-penyata yang berkaitan dengan pendidikan, daripada

Penyata Razak (1956) membawa kepada Penyata Rahman Talib (1960) dan Penyata Mahathir

(1979) semuanya sentiasa diberi perhatian teliti dan dijadikan panduan untuk meningkatkan

sistem pendidikan negara, sekaligus meningkatkan taraf pendidikan Melayu. Di kalangan

ilmuan Melayu, muncul orang-orang seperti Allahyarham Aminuddin Baki dan Profesor

Fatimah Hamidon, yang meneruskan kesinambungan perjuangan Pendita Zaaba dan tokoh-

tokoh terdahulu yang tidak pernah jemu meniupkan semangat cintakan ilmu di jiwa orang

Melayu.

Walaupun sekarang ini pencapaian Melayu dalam bidang pendidikan sudah dibanggakan,

namun ia masih amat tidak cukup untuk membolehkan kita berpuas hati. Penguasaan kita di

bidang-bidang pendidikan tertentu masih tercicir jauh. Keupayaan anak-anak kita dalam

bidang-bidang yang sedia kita kuasai pun masih tidak sempurna. Telah banyak muncul kes

pelajar-pelajar bukan-Melayu mengatasi kemampuan pelajar Melayu dalam mata pelajaran

Bahasa Melayu, dan kes-kes begitu selalunya tidak pernah menguncup.

Ada suara-suara sumbang mendakwa, tahap pencapaian anak Melayu di bidang pendidikan

akan menjadi lebih buruk kalau bukan kerana adanya Hak Keistimewaan Bumiputera yang

mereka nikmati. Hak keistimewaan itu telah menyebabkan Melayu memperolehi kuota yang

lebih tinggi, dengan syarat-syarat yang lebih longgar, untuk memasuki institusi-institusi

pengajian tinggi awam.

Asas pada dakwaan-dakwaan itu tidaklah cukup kukuh. Ia lebih digerakkan oleh unsur-unsur

prejudis, di samping keengganan memahami keadaan sebenar.

Isu ini tidak perlu diulas dan dikupas lagi. Ia sudah terlalu kerap disebut, dibincang dan

diperkatakan. Dakwa dakwi mengenainya sudah tidak perlu dilayan.

Namun begitu perlu ditegaskan bahawa tanpa bertupang pada hak keistimewaan itu pun,

Melayu tidak menghadapi masalah untuk bersaing dalam bidang pendidikan. Hak

keistimewaan itu memberikan mereka kelebihan, tetapi tanpanya tidaklah bermakna mereka

seratus peratus kekurangan.

Setakat ini telah terbukti banyak pelajar Melayu yang cemerlang di institusi-institusi

pengajian luar negara yang tidak mengenal langsung erti Hak Keistimewaan Melayu. Setiap

tahun beribu pelajar Melayu berangkat ke luar negara untuk bersaing ‘at par’ dengan orang

lain, dan setiap tahun beribu lagi yang kembali bersama kejayaan.

Masalahnya, kesempatan untuk anak-anak Melayu ikut bersaing agak terhad. Langkah

mereka sentiasa menjadi pendek kerana dibelenggu oleh kepincangan ekonomi yang diwarisi

oleh ibu bapa, nenek moyang dan rumpun keturunan mereka.

Tanpa menafikan wujudnya pelbagai skim dan program yang bertujuan membantu

membiayai para pelajar Melayu yang berpotensi, kita tetap tertakluk pada kenyataan bahawa

kes pelajar Melayu tidak dapat meneruskan pelajaran kerana tidak cukup wang masih lagi

berlaku.

Tahun-tahun kebelakangan ini, yang menyaksikan pertumbuhan begitu banyak institusi

pengajian tinggi swasta di Malaysia, turut menyaksikan bagaimana anak-anak Melayu

melalui proses ‘peminggiran’ sekali lagi.

Secara umumnya, kewujudan institusi-institusi tersebut memang baik kerana ia membantu

menggandakan proses pengembangan ilmu. Jumlah wang yang sangat banyak juga dapat

diselamatkan daripada mengalir keluar negara.

Tetapi dalam konteks kehidupan orang Melayu, kebaikan-kebaikan itu tenggelam dalam

pelbagai kesan sampingan yang datang bersama kewujudan institusi institusi pengajian

tersebut. Antara kesan yang paling nyata ialah, institusi-institusi itu telah mengecilkan saiz

penguasaan mereka dalam bidang pendidikan dan membuka ruang persaingan yang lebih

besar dalam bidang pekerjaan.

Dengan wujudnya institusi-institusi seperti itu, kos pembiayaan akan menjadi lebih rendah.

Ibu bapa tidak perlu lagi berhempas pulas untuk mencari wang untuk menghantar anak-anak,

terutama yang gagal memasuki institusi pengajian tinggi awam tempatan, ke luar negara.

Keadaan ini menyediakan kesempatan yang cukup baik kepada kaum bukan-Melayu yang

telah kukuh kedudukan ekonominya. Mereka boleh menggunakan wang yang dijimatkan itu

bagi menambahkan bilangan anak yang dihantar belajar di peringkat pengajian tinggi. Paling

tidak pun, wang yang sama boleh digunakan untuk menyediakan pelbagai bentuk sokongan

material bagi kegunaan dan kemudahan pembelajaran si anak.

Orang Melayu? Dengan kedudukan ekonomi yang goyah, kemampuan mereka untuk

membiayai pendidikan anak tetap terhad. Kesannya, ruang yang disediakan oleh institusi-

institusi pengajian tinggi swasta itu akan dikuasai oleh bukan-Melayu. Kesan lanjutannya

ialah jumlah tenaga terpelajar bukan-Melayu akan terus berada jauh di hadapan. Nisbahnya

pula sudah tentu akan menjadi bertambah besar dari semasa ke semasa.

Tidak memadai dengan masalah itu, Melayu juga turut dihimpit oleh masalah lain yang tidak

kurang buruknya. Adalah satu perkara yang diketahui umum bahawa ketika sekumpulan

anak-anak Melayu terkial-kial berusaha untuk menaikkan maruah bangsa dengan cara

menimba ilmu, ada kumpulan anak-anak Melayu lain sedang dihambat oleh pelbagai gejala

kebejatan yang boleh meruntuhkan bangsa.

Dengan dukacita, kita perlu mengaku bahawa anak-anak Melayu sentiasa mendahului senarai

remaja bermasalah. Namakan apa sahaja gejala; penyalahgunaan dadah, lepak, lumba haram,

seks bebas, ponteng sekolah, peras ugut, pukul guru, bakar sekolah dan entah apa lagi, kita

pasti menemui anak bangsa kita yang terbabit sama. Dan dalam kebanyakan segmen gejala-

gejala itu, anak-anak bangsa kita juga berada jauh di hadapan remaja-remaja bukan-Melayu.

Statistik yang ada cukup menggerunkan. Dalam rencana yang dipadankan daripada ucapan

Rais Yatim, yang tersiar di Mingguan Malaysia 1 Oktober, 2000, ada dinyatakan, Melayu

mewakili 54 peratus daripada jumlah semua jenis jenayah kecil dan besar, manakala daripada

92,000 sampel kes penagihan dadah, 72 peratus daripadanya adalah Melayu. Di kalangan

tahanan reman juvana, Melayu berada pada paras 71 peratus.

Bukanlah satu rahsia lagi bahawa remaja Melayu menyediakan ruang yang cukup luas untuk

memudahkan pergerakan apa-apa juga anasir dan elemen yang boleh merosakkan bangsa.

Kelebihan nenek moyang mereka sebagai manusia yang mudah menerima dan mempraktik

nilai-nilai baru telah disalahguna dengan begitu rupa. Hasilnya, mereka menjadi mudah, dan

amat suka pula meniru apa sahaja nilai baru, termasuk yang merosakkan.

Tidak ada sesiapa patut berasa hairan kalau masalah begini berlaku pada kumpulan manusia

yang longgar institusi kekeluargaan dan longgar pula pegangan agamanya. Tetapi manusia

Melayu tidak begitu. Kekeluargaan sentiasa menjadi urat nadi orang Melayu sehingga sukar

dicari suatu bangsa lain yang mempunyai begitu banyak senarai ‘pangkat’ dalam hiraki kaum

kerabat. Bagi kebanyakan bangsa, pertalian keluarga akan mula longgar pada generasi ketiga,

tetapi bagi orang Melayu, ia mampu bertahan sehingga tujuh atau lapan generasi. Kita

mungkin tidak mampu tinggal sebumbung sehingga tiga atau empat generasi sebagaimana

yang sering berlaku dalam tradisi kekeluargaan Cina, tetapi kita mampu meneruskan

kesinambungan pertalian kekeluargaan itu dengan cara kita sendiri.

Tradisi kekeluargaan yang erat itu secara langsung membentuk sistem kehidupan masyarakat

yang akrab. Ajaran Islam yang memberi penekanan menyeluruh terhadap segala nilai baik,

termasuk hidup bermasyarakat, dengan sendiri menyebabkan keakraban yang terbina itu

menjadi lebih kuat. Dengan keakraban itu, orang Melayu biasanya berhati-hati untuk berbuat

salah. Mereka takut malu pada masyarakat. Di satu pihak lain pula, masyarakat lazimnya

tidak akan membenarkan mereka berbuat salah kerana pada prinsipnya kesilapan seorang

akan mencacatkan semua.

Seiring dengan tradisi itu, umat Melayu umumnya komited dengan ajaran Islam. Kalaupun

tidak 100 peratus, sekurang-kurangnya 99.9 peratus anak Melayu dibekalkan dengan ajaran

Islam pada peringkat yang paling asas, iaitu membezakan antara yang baik dengan yang

tidak, yang salah dengan yang betul dan yang halal dengan yang haram.

Di dalam sistem pendidikan kita, anak-anak Melayu mempelajari ilmu agama seawal

peringkat pra-sekolahnya. Tidak memadai dengan apa yang diajar di sekolah pada sessi

pengajian biasa, mereka dikehendaki menghadiri kelas-kelas agama di luar waktu sekolah.

Dengan himpunan kesemua itu, tradisi kekeluargaan dan masyarakat yang akrab serta

pendidikan agama daripada peringkat awal usia, anak-anak Melayu mempunyai bekalan yang

cukup untuk menghindar daripada terjebak dengan gejala-gejala buruk. Kalaupun semua

yang disebutkan tadi tidak cukup untuk menjadikan mereka remaja yang baik, ia tetap lebih

daripada mencukupi untuk mengelakkan mereka daripada menjadi remaja yang tidak baik.

Amat malang, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Dari setahun ke setahun bilangan remaja

Melayu yang sakit dan menyakitkan bangsa ini bertambah dengan banyaknya. Lingkungan

kebejatan mereka juga menjadi semakin luas hingga ada kalanya kita merasakan ‘ghetto’

paling liar di Brooklyn atau ‘chicano’ paling nakaldi Bronx juga kagum kepada mereka.

Mengapa ini berlaku?

Di mana silapnya kita?

Banyak pihak berminat mengaitkan gejala sosial ini dengan arus pembangunan yang melanda

negara. Pendapat yang konvensyenal ini tidaklah boleh dianggap salah. Pembangunan

memang sentiasa meninggalkan dosanya ke atas setiap manusia. Suatu ketika dahulu kawasan

yang merentang dari Mauritania hingga ke Pakistan, merentasi kawasan kawasan berbudaya

Arab, Iran dan Turki, kebanyakannya dikuasai oleh model keluarga besar yang berkahwin

dalam batasan kelompoknya sahaja. Sistem kekeluargaan mereka bersifat ‘yang tua

berkuasa’, dengan institusi sosial yang berpengaruh serta hiraki yang terjalin erat.

Bagaimanapun pada penggal kedua abad ke-19, apabila komuniti-komuniti itu mula

menerima angin pembangunan dari Eropah melalui skim penjajahan yang berterusan, segala

nilai yang sedia ada itu mula longgar. Komuniti-komuniti itu mengalami kejutan sosial dan

ekonomi yang teruk. Hasilnya, mereka mula berhadapan dengan masalah-masalah baru,

bermula daripada pelanggaran adat perkahwinan di luar lingkungan keluarga hinggalah ke

masalah kelahiran tanpa perkahwinan.

Keadaan yang serupa berlaku di mana-mana. Apabila mula menjadi besar dan maju,

Tamadun Greek Purba terus dicemari oleh masalah-masalah sosial yang buruk sehingga

rumah pelacuran berada di hampir setiap penjuru jalan. Pada era gemilangnya, Tamadun

Mohenjo-Daro di Lembah Indus dipenuhi oleh sundal dan pemadat.

Alasan yang sama memang boleh digunakan dalam memperkatakan gejala kekalutan sosial di

kalangan remaja Melayu. Kita memang boleh menyalahkan pembangunan.

Memang benar sewaktu negara belum bergerak maju, remaja Melayu tidak terancam sebegitu

rupa. Mereka jarang terlibat dalam aktiviti tidak bermoral. Kenakalan mereka masih berbatas.

Bagaimanapun apabila negara pesat berkembang, nilai nilai buruk yang tersembunyi di dalam

diri mereka mula menampakkan wajahnya. Akibatnya, semakin maju negara, semakin teruk

keadaan mereka; semakin tinggi tamadun bangsa, semakin mundur peribadi mereka.

Tetapi jangan salahkan kemajuan semata-mata. Ada banyak bangsa lain yang boleh maju dan

pada masa yang sama berupaya meminimumkan kebejatan sosialnya. Di China, sebagai

contoh, kadar kebejatannya masih rendah kalau dibandingkan dengan penduduknya yang

berjumlah lebih 1.2 billion itu. Singapura juga setakat ini masih mampu bertahan dengan

rekod yang tidak seburuk kita. Kalaupun ada, bohsia dan bohjannya masih tidak dapat

mengatasi keberanian bohsia dan bohjan kita.

Jika contoh-contoh itu terlalu jauh, bagaimana pula dengan contoh yang ada di depan mata?

Orang Cina dan India di Malaysia berada dalam situasi yang serupa dengan kita. Jika kita

maju, mereka juga sama-sama maju. Jika kita diancam oleh gejala sosial yang datang

bersama kemajuan itu, mereka juga tidak terkecuali. Tetapi kenapa kadar remaja mereka yang

bermasalah jauh lebih rendah? Masakan jawapannya, kerana mereka lebih alim daripada kita?

Kemajuan sepatutnya dimanfaatkan. Peningkatan taraf ekonomi, keupayaan untuk hidup

selesa dan kemampuan menyediakan asas pendidikan sempurna, yang turut datang bersama-

sama kemajuan, seharusnya dijadikan perisai bagi menangkis ancaman-ancaman yang

menggugat moral itu.

Tetapi semua itu sekadar menjadi impian yang indah. Kemajuan yang kian berkembang biak,

kesempatan menimba ilmu yang semakin bertambah besar, asas pendidikan agama yang tidak

pernah berkurangan, semuanya seakan gagal menyelamatkan sebahagian remaja Melayu

daripada menjadi tidak senonoh.

Memang ada benarnya kenyataan bahawa kemajuan telah menghuru-harakan institusi

kekeluargaan dan sistem masyarakat, lalu mengakibatkan tercetusnya pelbagai bentuk

kecelaruan. Tidak dinafikan bahawa memang banyak remaja yang menjadi mangsa

keghairahan ibu bapa mereka untuk maju. Kegilaan kepada kemajuan menyebabkan pertalian

antara keluarga menjadi renggang dan hubungan sesama anggota masyarakat pula bertambah

longgar. Masing-masing lebih senang membawa rasmi enau di dalam belukar yang cita-

citanya cuma mahu melepaskan pucuk masing-masing. Mereka tidak begitu mempedulikan

lagi apa yang terjadi hatta pada anak cucu sendiri.

Persoalannya ialah, kenapa sampai jadi begitu? Bukankah sama seperti anak-anak mereka,

setiap ibu bapa Melayu telah diasuh untuk memilih nilai baik dan buruk sejak masih di dalam

kandungan lagi? Tidakkah mereka dilahir dan dibesarkan dalam kumpulan masyarakat yang

sentiasa mengutamakan norma-norma yang berteraskan kebaikan? Tidakkah ajaran Islam

yang mereka miliki lebih daripada cukup untuk dijadikan panduan bagi mengelak daripada

melakukan perkara-perkara yang tidak elok, termasuk mengabaikan tanggungjawab terhadap

keluarga dan masyarakat?

Lagi sekali jawapannya mempunyai kaitan dengan sikap enggan menjengah pada perdu

sendiri. Sekiranya setiap Melayu meluangkan masa merenung kembali akar budaya mereka,

masing-masing pasti akan menyedari bagaimana besarnya pengabdian nenek moyang mereka

terhadap nilai dan resam yang baik. Kata-kata ‘biar mati anak, jangan mati adat’ misalnya,

sudah memadai untuk menggambarkan betapa komitednya orang Melayu dalam hal

mempertahankan norma-norma yang mereka warisi. Semestinyalah norma-norma itu baik

dan sejajar dengan tuntutan agama.

Jika setiap Melayu melapangkan masa, sebagaimana mereka melapangkan masa untuk

berbual kosong di kedai kopi atau menghadap skrin televisyen untuk menonton gusti atau

cerita Hindi, lalu meneliti setiap baris perkara-perkara yang menjadi suruhan dan larangan

agama Islam yang mereka anuti, dengan sendiri kecelaruan yang menyerkupi mereka akan

terurai. Mereka pasti akan segera sedar bahawa dilahirkan sebagai Islam itu sebenarnya

adalah rahmat yang amat besar,dan ianya sudah memadai untuk menyelamatkan mereka

daripada menjadi yang bukan-bukan.

Malang sekali, Melayu terlalu sibuk memandang ke hadapan sehingga melupakan tuntutan

untuk menoleh ke belakang. Mereka terkejar-kejar untuk menjadi orang lain sehingga terlupa

untuk menjadi diri sendiri. Mereka juga terlupa bahawa bangsa mereka sendiri mempunyai

segala asas, yang jika dicerna betul-betul akan membolehkan mereka menjadi seribu kali

lebih baik daripada orang lain.

Tidak ada sesiapa di dunia ini yang gembira melihat bangunan-bangunan tinggi yang dibina

oleh kemajuan bangsanya menjadi tempat anak-anak muda bangsa itu mensiasiakan hidup

dengan perilaku yang mencacatkan peradaban. Melayu tidak harus membenarkan kebejatan

itu dilindungi oleh kilau kemilau bangunan-bangunan tersebut.

Tuntutan untuk merawat keadaan ini sebahagian besarnya terpikul di bahu semua pihak.

Tetapi yang paling berat memikul bebannya pastilah pemerintah. Dalam apa juga keadaan,

pemerintah tidak boleh lepas tangan begitu sahaja.

Menyalahkan golongan remaja Melayu kerana kerapuhan peribadinya adalah satu perkara.

Mengungkit-ungkit kegagalan mereka menggali nilai-nilai baik daripada budaya bangsa dan

agama mereka juga merupakan satu lagi perkara. Tetapi membiarkan mereka terus begitu

adalah satu perkara yang lain.

Kemajuan tidak memadai dengan menyediakan segala nikmat yang bersifat material. Ia harus

seimbang dengan keperluan-keperluan rohani yang bersesuaian. Tanggungjawab pemerintah

untuk menyediakan keperluan rohani itu sama beratnya dengan tanggungjawab memberikan

kemajuan material kepada rakyat.

Setakat manakah tanggungjawab itu telah dipenuhi?

Kita sering mendengar pemimpin-pemimpin kerajaan bercakap tentang matlamat untuk

membentuk masyarakat yang stabil, lahiriah dan batiniah. Kita sering mendengar mereka

menyeru supaya rakyat - dalam konteks ini, Melayu - berusaha untuk menjadi insan yang

sempurna, yang mampu berjaya tanpa mencacatkan nilai-nilai moral dan kemanusiaannya.

Dari situ telah timbul pelbagai istilah, umat berwawasan, insan cemerlang, masyarakat

madani dan bermacam-macam lagi.

Tetapi cukupkah dengan itu?

Adakah apa yang disuarakan itu bertepatan dengan langkah-langkah yang diambil atau

sebaliknya ia sekadar menjadi retorik politik semata-mata? Kita membelanjakan jumlah yang

banyak untuk tujuan pembangunan. Kita persiapkan pelbagai kemudahan untuk menarik

pelaburan asing. Tetapi berapakah jumlah yang diperuntukkan untuk menangani gejala

sosial? Berapa banyak prasarana yang kita sediakan bagi kemudahan menangani gejala-gejala

itu. Balik-balik kita cuma bergantung pada seruan pemimpin, kerja keras polis dan pencegah

maksiat. Pendekatan yang digunakan terus-menerus bersifat konvensyenal, tidak seimbang

langsung dengan elemen-elemen perosak yang saban hari bertambah canggih. Sudahlah

begitu, usaha-usaha melaksanakan pendekatan itu pun masih kita lakukan secara sambil lewa.

Setakat sekarang, berapa keratkah pemimpin yang sedar bahawa tanggungjawab merawat

bangsanya yang sakit itu lebih besar daripada kewajipan menyuapkan sudu emas ke mulut

mereka? Mereka beria-ia hendak menjadi jaguh hak asasi manusia, menjadi juara di peringkat

antarabangsa, menjadi hero dalam isu-isu yang membabitkan kepentingan bangsa dan umat

lain di seberang laut. Mereka lupa pada kudis di kelopak mata.

Banyak remaja Melayu sedang sakit. Banyak juga ibu bapa mereka yang sedang tenat. Kita

mengaku mereka mungkin silap sebab gagal membina jati diri sehingga menjadi begitu lemah

dan mudah kalah pada asakan-asakan luar yang merosakkan.

Tetapi mereka berada dalam keadaan tidak sedar. Kalau sedar mereka mungkin tidak akan

melakukannya. Apakah yang telah kita lakukan untuk menyedarkan mereka?

Setiap kali timbul isu yang membabitkan gejala buruk di kalangan remaja Melayu, akan

kedengaranlah di sana sini suara yang bercakap mengenainya. Akan muncullah sekerat dua

pemimpin yang cuba menyelesaikannya. Apa yang kita lakukan untuk menyambut usaha

mereka? Setakat mana sokongan yang diberikan? Berterima kasih pun tidak. Yang sering

terjadi ialah kita menjuihkan bibir sehingga akhirnya si pemimpin itu malu sendiri dan

menghilangkan diri.

Kita juga kerap mendengar penubuhan jawatankuasa itu dan jawatankuasa ini, badan itu dan

badan ini, yang kononnya bertujuan menangani masalah sosial di kalangan remaja Melayu.

Apakah kesudahannya? Setakat mana kejayaannya? Adakah cukup setakat menggelengkan

kepala apabila membaca berita remaja Melayu membuang anak di dalam tandas atau di tepi

jalan?

Dalam hubungan ini perlu rasanya ditanya, tidak bolehkah organisasi-organisasi yang

membabitkan Melayu, sama ada NGO atau bukan, parti pemerintah atau pembangkang,

melupakan apa sahaja perbezaan antara mereka dan kemudian duduk semeja untuk mencari

jalan menangani isu yang kronik ini? Berat sangatkah untuk berbuat begitu? Besar sangatkah

dosanya? Adakah ketidak serasian fahaman antara organisasi itu lebih penting dan lebih

mulia dipertahankan daripada kehormatan bangsa sendiri?

Masalah ini membabitkan semua Melayu, jadi penyelesaiannya juga harus melibatkan semua

Melayu. Selagi tidak ada kerjasama padu ke arah itu, jangan haraplah ianya akan dapat

diselesaikan. Paling lebih, usaha-usaha mengatasinya hanya akan menjadi bahan cemuhan,

bukan daripada kalangan bukan-Melayu, tetapi daripada Melayu-Melayu lain yang tidak

terlibat dengan usaha tersebut.

Perspektif dan pradigma kita terhadap soal ini memerlukan perubahan yang total. Ia tidak

boleh lagi dianggap isu iseng-isengan yang peranannya cuma setakat untuk mempopularkan

seorang dua tokoh. Kita perlukan komitmen yang lebih daripada itu.

Kita telah pernah melancarkan perang untuk membasmi kemiskinan. Alhamdulillah, kita

boleh dikatakan berjaya, walaupun banyak lagi yang perlu dilakukan.

Langkah yang sama perlu untuk mengatasi masalah masalah sosial yang membabitkan remaja

Melayu. Kita patut berjihad ke arah itu. Patut berganding bahu. Patut bersatu. Tetapi ini

tidaklah bermakna kita perlu menangkap dan menghukum semata-mata. Tidak juga bererti

kita mesti mengharamkan yang itu dan yang ini. Tanggungjawab kita lebih besar daripada itu.

Remaja Melayu, seperti ibu bapanya juga, berada dalam keadaan sedang terkejut. Kemajuan

dan kesenangan mendadak menyebabkan mereka terkapa-kapa. Dalam keadaan bingung

begitu mereka tidak mampu membuat keputusan. Mereka akan bertindak melakukan apa

sahaja yang difikirkan betul.

Kejutan besar itu telah melekakan mereka. Kejutan itu menyebabkan mereka lupa pada

perisai dan benteng yang mereka ada.

Mereka tidak patut dihukum dengan membiarkan masing masing terus hanyut dalam kemelut

itu. Mereka perlu dibantu. Perlu disokong. Perlu disedarkan.

Pada masa-masa akan datang pemerintah sepatutnya lebih berhati-hati dalam merangka dan

melaksanakan sesuatu projek pembangunan. Jangan berikan tumpuan pada kepentingannya

terhadap sektor ekonomi sahaja. Kajian menyeluruh juga harus dibuat terhadap kesan sosial

yang mungkin dicetuskannya. Tidak ada salahnya berbelanja lebih sedikit untuk tujuan itu.

Jangan sekadar memikirkan berapa banyak peluang pekerjaan yang bakal disediakan oleh

projek itu, tetapi fikirkan juga berapa banyak anak Melayu yang akan jahanam kerananya.

Persiapan untuk memantau harus dibuat lebih awal. Janganlah menanti sehingga terhantuk.

Ambil sahaja kes kewujudan arked-arked video haram, dan arked berlesen yang menjalankan

aktiviti perjudian. Keseronokan mengutip wang lesen yang tidak seberapa menyebabkan kita

membiarkan pusat-pusat aktiviti tidak sihat itu merosakkan remaja kita untuk tempoh yang

cukup lama. Selepas semuanya menjadi barah, baru kita bertindak. Hasilnya? Kita

diketawakan.

Dalam keghairahan melaksanakan projek-projek yang telah dan sedang dirangka, perhatian

besar harus diberi pada aspek pembinaan rohani anak-anak Melayu. Mereka perlu dipupuk

supaya mempunyai kekuatan mental. Mereka perlu diasuh supaya berani berkata tidak kepada

apa sahaja pengaruh yang tidak elok.

Kita tidak bermaksud mengatakan ada projek-projek pembangunan yang dilaksanakan setakat

ini membawa kesan buruk pada struktur sosial orang Melayu. Secara positif kita menganggap

apa sahaja yang dilakukan adalah baik.Bagaimanapun nilai kebaikan itu harus ditambah

dengan menutup sama sekali ruang-ruang yang dianggap boleh membawa elemen buruk.

Kita sedar bahawa dengan kecanggihan teknologi sekarang, pengaruh buruk itu mempunyai

seribu juta jalan untuk menyerang manusia. Untuk menjadi rosak, remaja kini tidak perlu

keluar berkeliaran di pusat karaoke atau pusat snooker. Mereka boleh menjadi rosak hanya

dengan menekan punat televisyen atau papan kekunci komputer.

Kesimpulannya, biar jalan mana pun yang ditutup, akan ada jalan lain yang boleh dibolosi

oleh pengaruh-pengaruh tersebut. Tetapi kekhuatiran terhadap kemungkinan berlakunya

pembolosan-pembolosan itu tidak bererti kita harus menghentikan usaha menutup laluan-

laluan berkenaan.

Kecanggihan teknologi juga tidak mengizinkan lagi kita menjalankan sistem pemantauan

secara bermusim. Ianya perlu dilakukan setiap hari dan sepanjang masa. Pendekatan

pendekatan yang ada harus sentiasa dikaji kesesuaiannya dengan arus perdana. Apa yang

kelihatan amat sesuai lima tahun dahulu barangkali sekarang ini sudah menjadi amat lapuk

dan ketinggalan.

Program, projek dan dasar yang sedia ada banyak yang perlu dijenguk semula. Keberkesanan

dasar pendidikan misalnya, tidak harus diukur daripada segi pencapaian lahiriah semata-mata.

Roh Falsafah Pendidikan Negara perlu diambil kira. Kita perlu bertanya sehingga kini setakat

mana falsafah tersebut berjaya menyumbang ke arah pembentukan generasi yang boleh

dipertanggungjawabkan?

Kira-kira tujuh tahun lalu kita melancarkan Program Rakan Muda. Dan program itu tidak

pernah mati. Nasibnya sahaja agak kurang baik dan akibatnya ia sering tenggelam timbul

mengikut arus.

Tujuh tahun dahulu, idea mewujudkan program seperti itu memang canggih. Tetapi apabila

berlaku pertukaran menteri, projek itu menjadi hilang serinya. Gahnya hilang. Kehebatannya

pudar. Pelaksanaannya selepas itu menjadi seperti melepaskan batuk di tangga.

Ini juga satu lagi penyakit. Tradisi menazakkan, atau memendekkan nyawa projek-projek

yang baik selepas berlaku pertukaran pemimpin patut dihentikan. Ia tidak menyumbang apa-

apa selain daripada membazirkan hak rakyat, di samping menjadikan fikiran mereka

bertambah bercelaru.

Kebelakangan ini, mungkin selepas melihat begitu banyak gejala buruk menyerang remaja,

timbullah usaha untuk memberikan nafas baru kepada Program Rakan Muda itu.

Usaha itu patut dihargai. Tetapi selepas tujuh tahun masihkah program itu relevan? Adakah

kajian terperinci dibuat untuk menentukan kesesuaiannya dengan kehendak remaja sekarang?

Pernahkah kita bertanya, bagaimana keberkesanannya dalam penggal pertamanya dahulu?

Apakah ia benar-benar mampu membantu menangani masalah remaja, atau sebaliknya

membawa hasil yang cuma ala-kadar?

Perkara-perkara beginilah yang perlu dititik beratkan. R & D tidak boleh dijadikan momokan

untuk mencantikkan kertas kerja. Ia perlukan keikhlasan. Ia juga menuntut ketelusan. Masa

untuk kita melakukan percubaan, dan kemudian kesalahan, telah berlalu. Masalah yang kita

hadapai sekarang ini terlalu besar dan tidak membenarkan kita membuang masa memperbaiki

kesalahan yang sama secara berulang-ulang.

Kejayaan anak-anak Melayu dalam pelbagai lapangan ilmu seperti yang ditegaskan pada

bahagian awal bab ini tidak boleh dijadikan sebab untuk terus mendabik dada. Nisbah

pencapaian mereka masih kecil jika dibandingkan dengan bukan-Melayu. Di samping

berbangga dengan kejayaan kejayaan yang sedikit itu pula, kita harus melihatnya dengan

skop yang lebih besar. Dengan perkataan lain, dalam meratapi anak-anak Melayu yang

pincang, kita perlu juga bertanya, bagaimana wajah sebenar anak-anak Melayu yang berjaya?

Kukuhkah peribadi mereka?

Sebahagian besar daripada anak-anak Melayu yang berjaya ini akan menyertai kumpulan

iktisas. Mereka akan bertanggungjawab menjadi penggerak dan pemacu bangsa ke arah yang

lebih baik. Mampukah mereka melakukannya? Bolehkah mereka dipercayai? Amanahkah

mereka? Bersihkah mereka? Atau apakah kecemerlangan mereka cuma di atas kertas,

sedangkan realitinya mereka gagal menjadi Melayu yang dituntut?

Dengan melupakan sekejap kisah pemimpin Melayu yang korup dan tidak boleh diharap, kita

juga telah cukup mual dengan cerita profesional yang boleh dijual beli, pegawai yang korup,

petugas yang bermuka masam, karenah birokrasi yang bukan-bukan dan beranika kisah buruk

yang lain. Ia tidak menjadi persoalan besar jika membabitkan orang lain. Tetapi apabila ianya

membabitkan Melayu, kita berhak menganggap ada sesuatu yang masih tidak kena. Sekaligus

kita berhak bertanya, apakah kejayaan-kejayaan yang dicapai sehingga membolehkan mereka

berada pada kedudukan-kedudukan itu, telah melunturkan segala nilai Melayu dan Islam

yang mereka warisi, yang jika diamalkan dengan sempurna pasti menjamin bentuk kehidupan

yang teratur, licin, bersih dan murni.

Jika masalah ini berlaku pada anak-anak Melayu yang kurang berilmu, tidak sukar untuk kita

memahaminya. Tetapi apabila ia terjadi pada kumpulan yang berpendidikan tinggi, tanda

tanya mengenainya sudah tentu akan menjadi sangat besar.

Dan apabila Melayu-Melayu yang hebat ini tidak berupaya memberikan contoh yang baik,

bagaimanakah kita boleh mengharapkan Melayu yang terpinggir boleh menjadi cemerlang?

Setelah mereka tidak lagi boleh mencontohi bangsa sendiri, salahkah jika mereka mencontohi

orang lain?

3 MELAYU DAN GLOBALISASI

BAYANGKAN senario ini:

`Secara tiba-tiba datang satu kuasa, yang entah dari mana, menyogokkan secara paksa

pelbagai perkara baru yang menarik. Kita menerimanya kerana, pertama, tertarik dengan

perkara-perkara baru yang dibawa olehnya; kedua, kerana mahu mengikut orang lain supaya

tidak dikatakan ketinggalan; dan ketiga, kerana kita sememangnya tidak mempunyai pilihan

lagi.

Kuasa baru itu kemudian terus menggoda kita dengan kehebatan—kehebatannya. Ia

menawarkan terlalu banyak perkara yang dahulunya cuma menjadi igauan kita. Dalam pada

itu kuasa tersebut akan memberitahu kita tentang betapa salahnya amalan-amalan kita selama

ini, betapa kurangnya pengetahuan kita dan betapa buruknya budaya kita. Pemberitahuan itu

akan dilakukan secara berulang ulang, manakala kehebatan-kehebatan baru yang disogokkan

pula tidak pernah berkurang.

Akhirnya, kita pun perlahan-lahan percaya bahawa apa yang kita ada memang tidak baik dan

tanpa berusaha memperbaikinya, kita terus melontarkan segala yang kita miliki itu jauh-jauh.

Apakah yang akan terjadi pada kita selepas itu?’

Sebenarnya, saya bercakap tentang globalisasi. Tentang konsep sebuah dunia baru. Tentang

mala petaka yang mungkin dibawa olehnya.

Siapakah yang menyangka selepas berlalunya ancaman penaklukan dan perluasan wilayah,

selepas sebuah demi sebuah tanah jajahan muncul sebagai kuasa yang merdeka, akan timbul

pula satu bentuk penjajahan baru yang lebih bersopan tetapi sangat buas.

Tetapi itulah yang sedang berlaku. Tahun-tahun terakhir abad ke-20 telah memperkenalkan

pada manusia sejagat konsep sebuah dunia baru, dunia tanpa sempadan dengan langit yang

maha terbuka. Konsep yang sekarang ini menjadi bahan polemik di setiap penjuru dunia.

Konsep yang menggelisahkan negara-negara kecil dan meresahkan negara-negara besar.

Globalisasi adalah arus yang tidak dapat dielakkan. Ia adalah percikan pasca modenisme

yang sedang mara dan sedang kita hampiri.

Globalisasi telah, sedang dan akan terus memaksakan proses perubahan demografi, teknologi,

penghapusan sempadan, penembusan budaya, perkahwinan bahasa dan pelbagai lagi ke atas

umat manusia. Konsep yang ibarat hantu raya tidak bertuan itu sedang menelan konsep

negara-bangsa, yang diperkenalkan oleh ahli falsafah Jerman, Johann Fichte (1762-1814). Ia

sedang dalam perjalanan untuk mencipta kuasa-kuasa supranasional, yang bakal

menenggelamkan kuasa negara-negara yang dibentuk oleh negeri-negeri kecil pada zaman

penaklukan dan penjajahan.

Globalisasi menjanjikan kehidupan yang lebih mudah dan cemerlang. Ia akan mencabut nilai-

nilai kebangsaan dan kenegaraan, lalu menggantikannya pula dengan konsep kesejagatan.

Manusia perlahan-lahan akan hilang identiti asalnya, dan perlahan-lahan juga kumpulan di

mana dia menjadi anggotanya akan larut dan menjadi sekulit dengan kumpulan lain yang

lebih besar. Gabungan itu akan menjadi bangsa global. Ketika itu tidak ada lagi bangsa

Melayu, Cina, India, Sepanyol, Arab, Inggeris atau apa sahaja. Tidak ada lagi puak Karen,

Pygmy, Masai, Gypsy, Badwi dan sebagainya. Dalam hal kenegaraan pula, sedikit demi

sedikit akan hilang nama negara-negara yang selama ini pernah dikenal dan disebut.

Semuanya akan bercantum dalam satu proses yang aneh dan membentuk kumpulan negara

global.

Di kalangan para pejuang hak asasi yang tergila-gilakan persamaan hak secara mutlak,

mungkin ini yang mereka mimpikan. Mereka mungkin boleh bertepuk tangan apabila

manusia menjadi sama, atau kelihatan sama, dengan menikmati hak yang sama sebagai

individu tanpa dicela oleh hak-hak kenegaraan.

Di barat, kegilaan dan kekeliruan tentang hak asasi telah lama tumbuh. Kemuncak kegilaan

itu ialah pada tahun 1789, tahun meletusnya revolusi besar terhadap hak-hak kemanusiaan di

Peranchis. Tahun itu menyaksikan satu Perisytiharan besar yang merumuskan bahawa setiap

‘manusia adalah warganegara’.

Dalam perisytiharan yang sama, jelas disebutkan bahawa, tidak ada lagi tanggungjawab

individu kepada masyarakat dan sebaliknya. Individu bebas bertindak bagi dirinya sendiri.

Hanya satu garisan diletakkan untuk mengawal kebebasan itu, iaitu, individu tersebut tidak

boleh mengganggu hak dan kebebasan individu lain.

Perisytiharan itu berkembang biak hasil usaha jaguh jaguh revolusi seperti Bonaparte,

Jefferson, Goethe dan Miranda. Bergerak atas keinginan membentuk persaudaraan sejagat,

mereka telah mempromosi idea itu dan sesudah mengalami pelbagai proses, termasuk

dikhianati oleh idea bahawa keunggulan semangat kolektif mengatasi kebebasan individu

yang menjadi dorongan pada budaya penjajahan, Perisytiharan 1789 itu berjaya juga

berkembang biak sehingga menjadi asas Perisytiharan Hak Manusia pada tahun 1948.

Kemurniaan di sebalik Perisytiharan 1789 ialah, ia menjadi jaminan kebebasan bagi setiap

orang dan menjadi rangka dasar bagi persefahaman dan kerjasama antara sesama manusia.

Tetapi keburukannya ialah, menjadi asas pada pembentukan faham individualistik secara

terbuka dan melonggarkan pegangan masyarakat ke atas anggotanya. Dua penentang revolusi

yang tersohor, Edmund Burke di England dan Joseph de Maistre di Peranchis sama-sama

mensifatkan Perisytiharan 1789 itu sebagai mengarut sebab ia mengubah nilai semula jadi

manusia.

Globalisasi adalah lanjutan daripada impian pencetus pencetus idea 1789 itu. Sejarah

mungkin akan berulang. Sebagaimana Peranchis memberikan hak kewarganegaraan kepada

kumpulan orang-orang asing pada penghujung abad ke-18 lalu bagi membentuk sebuah

Peranchis sebenar, globalisasi juga sedang membuka hak kewarganegaraannya kepada semua

orang. Jika Perancis, yang menurut bekas pemimpinnya De Gaulle, ‘dibina bersama orang

asing yang berkongsi kesukaran’, globalisasi pula ‘dibina bersama orang asing yang

berkongsi keselesaan.’

Sama seperti orang lain, kita di Malaysia tidak akan terkecuali daripada serkupan jubah

globalisasi ini. Jika ada sahabat yang paling baik sekarang ini, ia adalah globalisasi. Jika ada

musuh yang paling jahat, ia juga tidak lain daripada globalisasi.

Bagi mereka yang kuat, ancaman globalisasi adalah minimum berbanding dengan yang lemah

dan kurang kuat. Sekurang-kurangnya, mereka boleh menangguhkan ancaman itu dan

mempunyai masa yang cukup untuk membuat persiapan baru bagi mengatasinya.

Melayu tidak lemah, tetapi masalahnya, Melayu juga tidak kuat.

Kolonialisme yang dibawa oleh globalisasi mempunyai perbezaan ketara dengan bentuk

penjajahan nyata. Sifatnya lebih abstrak.

Dalam menghadapi musuh nyata pun Melayu berkeadaan kelam kabut, bagaimanakah

mungkin mereka mampu menghadapi musuh yang tidak nyata?

Demografi Melayu sehingga awal abad ke-21 ini masih bertunjangkan suasana-suasana yang

tidak membantu ke arah pembinaan kekuatan untuk menghadapi musuh kabur itu. Terlalu

banyak ruang yang dibuka dan terbuka untuk diresapi oleh agen-agen emperialis baru yang

bertuankan teknologi itu.

Serangan-serangan globalisasi setakat ini telah banyak menumbangkan kehormatan Melayu.

Kita terperangkap dalam fahaman-fahaman ekonomi yang memisahkan kita daripada nilai

Melayu sebenar. Kita terjerat dalam idea-idea baru yang mendidik Melayu supaya

meninggalkan jati dirinya. Kita terjebak dalam konsep politik yang mengangkat isme

melebihi kepentingan agama dan bangsa.

Semua ini menjadikan budaya kita berubah. Proses asimilasi budaya ini pula tidak pernah

berhenti. Dari satu sudut ia kelihatan seperti dipaksakan ke atas kita, tetapi dari sudut yang

lain ia adalah pencabulan yang kita relakan.

Contoh mudahnya sangat banyak. Yang paling dekat ada di dalam rumah sendiri. Tiada siapa

yang memaksa kita membeli televisyen, tetapi kita sendiri yang mengangkutnya ke rumah.

Tidak cukup satu, kita beli dua dan tiga. Masih tidak mengapa kalau siaran televisyen itu

merupakan hasil kerja bangsa kita yang serasi dengan nilai budaya kita. Tetapi ia menjadi

masalah apabila ‘peti beracun’ itu sarat dengan program-program asing atau program

tempatan yang berwajah asing. Tiada siapa memaksa kita menontonnya, tetapi kita seolah-

olah tidak boleh hidup jika tidak berbuat demikian.

Itu baru televisyen, bagaimana dengan VCD, kaset dan internet? Jangan pula lupa bahawa

selain bahan bacaan, bercetak atau pun tidak, radio juga merupakan agen penyebar budaya

yang cukup besar pengaruhnya.

Asimilasi budaya sampai bila-bila pun tidak akan berpihak pada yang lemah dan yang kurang

kuat. Kira-kira 400 tahun dahulu sekumpulan orang Rusia menawan satu kawasan di utara

negara itu yang bernama Siberia. Selama beberapa generasi mereka hidup tanpa sebarang

masalah besar. Mereka sesama sendiri mungkin terpisah sedikit daripada dunia luar, tetapi

mereka hidup didalam persekitaran sendiri yang tidak membimbangkan.

Penduduk Siberia itu terbahagi kepada kumpulan kumpulan etnik. Mereka bertutur dan

berhubung dalam bahasa-bahasa Utara.

Pada tahun 1924, tidak lama selepas komunis berkuasa di Rusia, nasib orang-orang Siberia

itu mula berubah. Bermula daripada penubuhan Jawatankuasa Bagi Membantu Penduduk

Utara Jauh, proses ‘pelupusan’ budaya penduduk Siberia pun bergerak tanpa menoleh ke

belakang lagi.

Kakitangan pemerintah, termasuk guru-guru dari Kremlin dihantar ke Siberia dengan satu

misi; membantu kumpulan etnik yang berbeza dan mengubah cara hidup mereka daripada

cara tradisi kepada cara komunis.

Secara perlahan-lahan, penduduk Siberia dipaksa menerima nilai baru. Mereka yang telah

sekian lama hidup, dan sekian lama mendapat makan dan pakai, secara tiba-tiba diajar

tentang apa yang patut dibuat dan apa yang tidak. Corak kehidupan tradisi mereka

diperlekehkan habis habisan, manakala nilai komunisme diangkat dengan sehebat-hebatnya.

Buku-buku teks di sekolah mula dipenuhi oleh kisah kehebatan Lenin dan Stalin, serta

kejahatan rejim Czar. Semangat revolusi diselit secara terang-terangan. Hal ehwal tempatan

dicicirkan, mulanya secara sedikit demi sedikit, dan kemudian lenyap sama sekali. Orang-

orang tua yang dahulunya dihormati, kini ditampalkan dengan imej orang-orang dungu yang

tidak boleh dijadikan contoh. Shaman (pawang) yang menjadi kepala adat dilabelkan sebagai

penipu dan pengkhianat yang menyekat kemajuan.

Hasilnya, dalam masa yang cukup singkat wajah sebenar penduduk Siberia hilang. Bahasa-

bahasa Utara juga hilang.

Nasib yang sama akan menimpa sesiapa sahaja yang lemah di era globalisasi ini. Dan kita

tidak mahu ianya berlaku terhadap umat Melayu. Namun ia harus akan berlaku jika kita

terlalu taksub pada nilai-nilai baru tanpa mengambil langkah perlu bagi membina jati diri;

bukan binaan yang bersandarkan slogan, tetapi binaan dalam erti kata sebenar.

Melayu belum tercabut terus daripada akar umbinya. Tetapi sebahagian besar Melayu sedang

bergerak ke arah itu. Telah wujud kumpulan-kumpulan Melayu yang tidak mempunyai

semangat kebangsaan lagi dan bilangan mereka sedang bertambah dengan banyaknya.

Mereka meninggalkan

sebahagian besar resam dan adat budaya Melayu, memandang jelek pada tata kehidupan

bangsa sendiri, berasa malu berbahasa ibunda dan tidak pernah mahu mengambil tahu tentang

roh rumpun keturunannya. Pada mereka budaya Melayu mengekang kemajuan. Lebih

memedihkan lagi ada antara mereka yang sudah tidak mahu mengaku dirinya Melayu.

Terdapat kemungkinan kes-kes membenci akar umbi ini merupakan cetusan daripada rasa

kecewa yang terpengap di hati-hati anak Melayu itu sendiri. Kemelut yang melanda hidup

manusia Melayu, kekalutan jiwa, kejumudan fikiran dan ketidak tentu haluan bangsanya

menyebabkan kumpulan yang ghairah dengan kejayaan itu berasa gelisah. Mereka

menganggap bangsa mereka bukan lagi faktor yang membantu, sebaliknya beban yang

menyulitkan. Akhirnya, mereka mengambil jalan mudah, membuang susu sebelanga semata-

mata kerana nila setitik. Obsesi pada kejayaan peribadi menjadikan mereka tidak sanggup

meluangkan masa lagi untuk menyelamatkan susu yang tercemar itu.

Semua itu berlaku kerana globalisasi, dan kerana kealpaan Melayu sendiri.

Kemunculan manusia-manusia yang membenci bangsa sendiri itu adalah ciri-ciri kejayaan

awal globalisasi. Di peringkat itu pencabutan manusia daripada masyarakat dan bangsanya

telah berlaku. Langkah selepas itu, untuk mencabut manusia daripada negara dan negara

daripada manusia, tidak lagi menjadi sukar. Kata Johann Fichte, tatkala mengulas tentang

negara-bangsa dan ‘hak darah’, “tanpa negara, nyata atau khayalan, sesuatu bangsa tidak

mempunyai masa depan.”

Inilah yang menggelisahkan semua nasionalis di segenap pelosok dunia. Mereka yang

berpegang pada konsep ‘hak darah’ tidak akan dapat menerima apa juga bentuk pelupusan

bangsa dan negara.

Kita pula bagaimana?

Relakah kita melihat seorang demi seorang Melayu meninggalkan Melayu untuk

menyekutukan diri dengan bangsa global yang abstrak itu? Sanggupkah kita melihat seorang

demi seorang Melayu dicabut keluar daripada kelompok kita? Mahukah kita menjadi seperti

kumpulan etnik kecil di Ukraine, Armenia dan Arzebaijan yang sering merindui ‘hak darah’

mereka yang semakin lama menjadi semakin tipis? Mahukah kita melihat yang tinggal

sebagai warisan bangsa nanti cuma nostalgia semata-mata?

Pedulikan orang lain. Kita tidak perlu, dan tidak berhak membincangkan masa depan mereka.

Kita mungkin boleh melakukannya, menyibuk tentang urusan orang lain, hanya jika kita

sendiri tidak mempunyai masalah. Realitinya pula, sebagai bukan-Melayu dan bukan-Islam,

masalah mereka mungkin tidak seberat kita. Mereka mungkin tidak mempunyai terlalu

banyak nilai yang dipertahankan. Nilai-nilai yang ada juga barangkali lebih bersifat

‘absorbent’ berbanding dengan nilai-nilai kita.

Bagi setiap Melayu dan Islam, apatah lagi yang berada di Malaysia, tanggungjawab kita

sentiasa berat. Dalam apa juga yang hendak dilakukan kita diikat dan terikat oleh tiga

kewajipan berkembar; terhadap agama, terhadap bangsa dan terhadap nusa.

Tidak ada satu pun antara ketiga-tiga tuntutan itu boleh dicicirkan, setidak-tidaknya untuk

tempoh beberapa dekad akan datang. Setiap satu daripadanya perlu untuk menegakkan yang

dua lagi.

Dalam menghadapi karenah globalisasi inilah tiga perkara asas ini yang mesti kita lindungi.

Ketiga-tiganya juga merupakan komponen-komponen yang sangat penting untuk

menggerakkan apa sahaja strategi bagi menangkis segala bentuk serangan, termasuk

globalisasi.

Kita mungkin menganggap setakat ini kita tidak menghadapi masalah dengan nusa. Kita

ditakdirkan berada di sebuah bumi milik kita sendiri. Dengan izin Allah, negara ini pula

memiliki segala ciri sebuah negara yang ingin didiami. Saingan yang kita hadapi dengan

semua mereka yang berkongsi bumi ini hanyalah persaingan lazim yang tidak berbentuk

ancaman.

Tetapi itu cuma anggapan. Realitinya mungkin berbeza. Kita harus akur bahawa sejarah

politik antarabangsa kerap membuktikan keikhlasan jiran tidak boleh dijadikan sandaran

untuk kita bersenang-senang. Kemungkinan adanya jiran yang cemburu dengan pencapaian

kita tetap wujud. Samalah juga dengan kemungkinan ada jiran yang rela dirinya diperalatkan

oleh kuasa-kuasa lain.

Kesemua kemungkmnan itu menuntut kesedaran yang tidak sedikit. Hakikat bahawa ada di

kalangan negara tetangga yang sentiasa memberi tumpuan untuk memperkuatkan bidang

ketenteraan dan pertahanannya mesti dilihat dengan penuh kewaspadaan, kalaupun bukan

dengan kecurigaan. Kita tidak perlu menuduh sesiapa, tetapi kita perlu berjaga-jaga.

Kesimpulannya, kita masih ada masalah dalam soal nusa.Kita juga bermasalah dalam soal

bangsa dan agama. Himpunan kesemuanya menunjukkan kita memang ada masalah besar.

Masalah yang berkaitan dengan kepentingan nusa mungkin lebih mudah ditangani kerana

ianya bersifat fikizal. Tetapi tidak dalam masalah-masalah bangsa dan agama. Sifatnya terlalu

abstrak. Sama seperti hantu dan tahyul yang menjadi urat nadi kehidupan sekelompok kecil

kawan rakan yang

sebangsa dengan kita.

Secara langsung masalah yang kabur ini akan turut menyulitkan usaha untuk mencari jalan

penyelesaiannya.Sebagaimana hantu dan tahyul, ia sering membawa kesan yang sangat

menakutkan.

Masalah Melayu yang masih tidak boleh duduk semeja dalam hal yang menyangkuti

perjuangan agama dan bangsa menyediakan ruang yang cukup baik untuk globalisasi

menenggelamkan mereka. Di sinilah asas kekhuatiran kita.

Agak sukar untuk membayangkan kesan sebenar globalisasi, tetapi tidak sukar untuk

membayangkan nasib orang Melayu jika mereka masih memandang ringan soal perpaduan

bangsa dan kedaulatan agama.

Tetapi berapa keratkah Melayu yang sedar, dan berapa keratkah pula yang mahu disedarkan?

BAHAGIAN AKHIR

RUMUSAN DAN KESIMPULAN

JANGAN MELAYU HILANG DI DUNIA

19 tahun dari sekarang lagi kita akan sampai ke tahun 2020. Hanya 19 tahun lagi kita akan

berada di tahap negara maju sebagaimana yang disasarkan.

19 tahun lagi kita akan menjadi kuasa yang dihormati. Tetapi 19 tahun lagi, di manakah

orang-orang Melayu, tuan punya bumi bertuah ini?

Bagaimanakah wajah mereka?

Melihat pada pergerakan sosio-ekonomi Melayu masakini, kita mungkin optimis untuk

mengatakan bahawa pada masa itu Melayu juga akan menjadi cukup hebat.

Mengukur pada komitmen mereka di bidang ekonomi dan pencapaian anak bangsa mereka di

bidang akademik, kita tidak perlu berasa ragu-ragu bahawa ketika itu Melayu akan menjadi

kuasa yang mahir dan berpengaruh.

Meneliti kesungguhan para pemimpin kita selepas 43 tahun merdeka, dan kejayaan-kejayaan

yang telah mereka capai, semua Melayu berhak tidur lena sementara menanti kedatangan

tahun 2020.

Tetapi memerhati Melayu secara keseluruhannya boleh menyebabkan kita terus berasa

cemas.

Kita akur bahawa hala tuju negara sememangnya cukup jelas. Kita tidak meragui objektif

Wawasan 2020.

Keyakinan bahawa objektif itu akan tercapai juga tidak pernah berkurangan. Proses

mentranformasikan negara ini, daripada sedang membangun kepada sebuah negara maju,

memang berjalan rancak. Persediaan untuk menyambut ‘k-ekonomi’ bagi menggantikan ‘e-

ekonomi’ tidak pernah mengenal titik.

Berbillion-billion ringgit telah dibelanjakan untuk menggerakkan usaha-usaha ke arah

pencapaian matlamat itu. Tidak cukup wang sendiri, kita meminjam daripada dana asing.

Gawat atau tidak, usaha-usaha itu diteruskan. Jika ditangguhkan pun hanyalah untuk

sementara.

Dengan kesungguhan begitu, hampir tiada kuasa, selain Tuhan, yang boleh menggagalkan

pencapaian matlamat tersebut.

Bagaimana dengan Melayu?

Kita sedar bahawa apabila kerajaan mensasarkan tahun 2020 sebagai tarikh untuk melihat

tegaknya sebuah Malaysia yang maju, soal kepentingan Melayu turut diambil kira. Kerajaan

memang telah mensasarkan di mana dan bagaimana kedudukan Melayu pada waktu itu.

Bagaimanapun kerajaan sendiri mungkin tidak sedar bahawa banyak orang Melayu yang

masih tidak tahu ke mana sebenarnya mereka hendak dibawa. Sebahagian yang lain pula

tidak tahu di mana sasaran sebenar wawasan tersebut dan bagaimana hendak mencapainya.

Keadaannya sama seperti ketika DEB dilancarkan. Sebahagian Melayu tidak tahu apa-apa.

Sebahagian yang lain tahu dasar itu digerakkan untuk mereka dengan sasaran menguasai 30

peratus kekayaan negara. Tetapi mereka tidak cukup tahu bagaimana caranya untuk bergerak

menuju ke sasaran tersebut. Mereka diberi bekal, tetapi kurang dibimbing dan ditunjukkan

jalan. Hasilnya, DEB gagal mencapai matlamat sebenar.

Perkara yang sama mungkin berulang. Tanggapan bahawa Melayu telah cukup kuat, hebat

dan pintar sehingga mereka boleh dibiarkan bersendirian menghadapi cabaran-cabaran ke

arah mencapai matlamat wawasan itu, boleh meranapkan impian sebenar. Kenyataannya,

Melayu belum memiliki ketiga-tiga ciri itu. Kekuatan peribadi Melayu masih boleh

dipersoalkan, kekuatan ekonomi mereka pula masih bersifat penguasaan beberapa kelompok

bukannya bersifat menyeluruh; kehebatan Melayu masih terikat pada keberanian melawan

sesama sendiri bukannya keberanian menghadapi musuh luar; kehebatan Melayu masih

berlegar pada kecekapan meniru bukan pada kelicikan melindungi nilai-nilai sendiri.

Mengharapkan Melayu mencari sendiri kekuatan, kehebatan dan kepintaran itu bukanlah

langkah wajar. Majoriti Melayu tidak akan berupaya melakukannya. Mereka terlalu sibuk

bercakaran sesama sendiri. Mereka lebih seronok mencari siapa kawan malaikat dan siapa

pula kawan syaitan. Mereka sibuk dengan idealisme masing-masing sehingga akhirnya

menjadi tidak ideal lagi.

Melayu adalah urat dan nadi negara ini. Kesempurnaan kemajuan negara harus bererti

kesempurnaan kemajuan Melayu. Tidak ada ertinya jika Malaysia maju, tetapi Melayu terus

mundur. Tidak ada maknanya jika yang berjaya cuma kumpulan-kumpulan kecil Melayu

sedangkan kelompok majoriti kian jauh tercicir. Lebih tidak bermakna lagi jika di sebalik

kemajuan itu, Melayu terus teraba-raba mencari dirinya.

Belum terlambat bagi mana-mana pihak pun untuk mengambil pendekatan-pendekatan serius

bagi membimbing Melayu ke arah menjadi bangsa yang sempurna menjelang tahun 2020

nanti. Tetapi ia akan menjadi sangat terlambat jika kita menanti sehingga kedatangan tarikh

itu sebelum berbuat apa-apa.

Kita tidak mahu apabila tiba tarikh itu Melayu terngadah sekali lagi. Ketika itu bukan lagi

waktu yang sesuai untuk bercakap tentang mencari ketuanan, mempertahankan kedaulatan

raja dan membina ikatan sesama ummah. Waktu itu kita tidak harus lagi gusar, atau

digusarkan, dengan kisah keruntuhan institusi kekeluargaan Melayu, dengan cerita Melayu

tanpa bapa yang lebih banyak daripada Melayu tanpa rumah atau Melayu pembakar sekolah

yang sama ramai dengan Melayu penagih dadah. Pada masa yang sama juga, kita tidak patut

lagi dibelenggu masalah Tanah Simpanan Melayu, pencapaian ekonomi Melayu yang lemah,

kerakusan pentadbir Melayu, kegelojohan usahawan Melayu atau kebobrokan kepemimpinan

Melayu. Bangsa yang maju tidak harus dibelenggu oleh masalah begitu. Ya, masalah-masalah

tersebut, mesti diselesaikan pada peringkat yang paling asas dan penyelesaian itu mesti dibuat

SEKARANG!

Tanggungjawab memimpin Melayu ke arah itu memang amat berat. Agenda menyelamatkan

Melayu ini tidak boleh, dijadikan agenda sisipan sahaja. Ia perlu digerakkan seiring dengan

agenda sebenar. Komitmen untuk memastikan Melayu tidak tenggelam haruslah sama dengan

komitmen untuk memastikan wawasan besar itu tidak gagal. Dalam konteks ringgit ia

mungkin memerlukan peruntukan yang sama banyak dengan semua perbelanjaan untuk

mentranformasikan Malaysia sebagai sebuah negara pertanian menjadi negara perindustrian.

Tetapi jika kita boleh meminjam untuk merealisasikan cita-cita, apa salahnya kita meminjam

untuk menyelamatkan bangsa?

Dalam satu konteks, keperluan Melayu terhadap subsidi material memang telah berkurangan.

Tetapi Melayu masih memerlukan subsidi moral. Sikap menganggap Melayu tidak boleh

dimanjakan perlu dikikis. Tidak ada dosanya memanjakan bangsa sendiri kerana ia adalah

lebih baik daripada memanjakan orang lain. Lagipun, bermanja itu adalah percikan daripada

budaya kasih sayang yang diperkenalkan pada Melayu oleh agama suci Islam.

Usaha membimbing Melayu ke arah kegemilangan itu juga harus mengambilkira cabaran-

cabaran baru yang akan ditemui di pertengahan jalan. Globalisasi misalnya, bukanlah istilah

yang popular tatkala Wawasan 2020 dilancarkan dahulu. Ketika itu ia belum menjadi

fenomena. Disebabkan itu, ketika wawasan besar tersebut dirangka, kerajaan tidak begitu

memberatkan langkah-langkah mengatasi ancaman globalisasi, khususnya ke atas umat

Melayu. Tumpuan lebih diberikan pada soal-soal kelemahan sosial yang bersifat

konvensyenal.

Dalam tempoh 19 tahun akan datang kita tidak tahu ancaman bentuk mana pula yang akan

muncul. Sementara kita tidak tahu apakah usaha untuk membasmi kemiskinan akan terus

kekal sebagai utopia, kita juga tidak tahu apakah nanti akan ada dadah menjadi makanan ruji?

Kita tidak tahu apakah akan berdepan dengan era kemunculan mutan-mutan (manusia buatan)

yang menagih nyawa? Kita tidak tahu apakah ketika itu nyawa boleh didagangkan

sebagaimana orang menjual sperma dan buah pinggang?

Pendeknya, kita tidak tahu kejutan apa yang sedang menanti Melayu. Tetapi sebagai bangsa

yang mudah terkejut dan senang hanyut dalam kejutan itu, Melayu patut dipersiapkan

daripada sekarang. Mereka perlu dibangunkan daripada tidur dan dipersiapkan untuk

menghadapi realiti.

Kita perlu mengaku bahawa persiapan yang ada setakat sekarang masih jauh daripada

mencukupi. Contoh kecil yang boleh diambil ialah, dalam menghadapi zaman ledakan

teknologi maklumat ini nisbah di antara keinginan negara dan kemampuan Melayu begitu

terpisah jauh. Sementara kerajaan membelanjakan ribuan juta ringgit bagi mengejar impian

untuk menjadikan Malaysia sebuah kuasa dalam teknologi IT, masih terlalu banyak orang

Melayu yang tidak mengenal tetikus dan papan kekunci komputer. Masih terlalu ramai

Melayu yang terpaksa berfikir seribu kali untuk membeli sebuah komputer kerana ianya

bermakna mengorbankan wang belanja dapur selama setahun. Di kawasan-kawasan tertentu

pula, masih banyak kampung-kampung tradisional Melayu yang tidak mempunyai bekalan

eletrik sehingga menyebabkan sebarang keinginan untuk membeli komputer hanya akan

menjadi mimpi yang palsu!

Aspek-aspek beginilah yang tidak harus diabaikan. Ia tidak patut dibiarkan tenggelam dalam

agenda-agenda besar dan retorik-retorik yang indah.

Pemimpin boleh mencipta matlamat. Pemimpin boleh memandu Melayu ke arah matlamat

itu. Malah pemimpin boleh memacu Melayu sekiranya perlu. Tetapi pemimpin juga perlu

memastikan Melayu yang disuruh berlari itu bukan sahaja berkasut, tetapi juga telah

bersarapan pagi.

Sebab itulah bagi memimpin Melayu dalam perjuangan mengejar matlamat baru dan

mengekalkan kehormatan yang sedia ada, kita memerlukan kumpulan pemimpin yang tinggi

dinamismenya. Generasi pelapis yang bakal mengambilalih kepemimpinan yang ada perlu

mempunyai sekurang-kurangnya 110 peratus kekuatan berbanding dengan generasi

pemimpin yang ada sekarang. Hanya orang Melayu yang tahu apakah di kalangan pelapis

mereka wujud jenis pemimpin seumpama itu?

Ada atau tidak, kita perlu melahirkannya. Tidak ada sesiapa pun yang boleh diharapkan untuk

menentukan bangsa kita terus timbul selain daripada seseorang atau beberapa orang di

kalangan kita sendiri.

Sesiapa pun yang memimpin, dan daripada parti apa pun ia datang, tanggungjawabnya

terhadap Melayu tidak boleh berkurang. Dia, sang pemimpin itu, awal-awal lagi harus

mempunyai kesedaran bahawa Melayu harus ditunjuk. Melayu harus dipimpin. Melayu harus

dikembalikan pada jati dirinya. Mereka patut ‘diperkenalkan’ semula pada bangsa sendiri.

Mereka patut diajar mengenali kelebihan-kelebihan mereka. Mereka perlu diasuh supaya

menyayangi kelebihan-kelebihan itu.

Di peringkat awal persekolahan lagi, anak-anak Melayu perlu diberi ruang untuk mempelajari

susur galur bangsanya. Mereka juga perlu diasuh supaya berpadu. Usaha itu tidak mencukupi

dengan hanya menyanyikan lagu-lagu patriotik yang menganjurkan penyatuan dan

perpaduan. Mereka perlu dibawa jauh daripada itu. Perlu diajar mengenal hero-hero mereka,

bukannya memuja hero orang.

Dan yang diangkat sebagai hero bukan sahaja mereka yang berani mati, tetapi anak-anak

Melayu yang berani hidup, yang berjaya dan yang cemerlang. Namun dalam

memperkenalkan semula hero-hero itu, langkah yang bersifat pemujaan kepada individu

harus dipinggirkan. Penekanan perlu diberi pada sumbangan dan perjuangan secara

keseluruhan, bukan pada kekeramatan peribadi. Ini perlu bagi mengelak ketaksuban dan bagi

membendung kemunculan manusia yang mahu menjadi ‘super-hero’, yang berkemungkinan

akan menggunakan jalan jalan pintas untuk mencapai cita-citanya.

Pemupukan nilai kasih sayang perlu bermula di peringkat awal juga. Ia tidak seharusnya

terbatas pada keluarga atau pada kucing Parsi sahaja. Skopnya harus diluaskan. Nilai

kecintaan kepada kawan, pada manusia, pada bangsa,pada masyarakat dan pada agama mesti

didahulukan. Penerapan nilai itu ke jiwa anak-anak harus dilakukan lebih dahulu daripada

penerapan elemen mencintai kemajuan. Ini penting bagi memastikan mereka mampu

membina peribadi yang seimbang sebelum mula diganggu oleh impian-impian besar.

Semua langkah ini tidak harus ditafsirkan sebagai sesuatu yang bersifat mengundur. Kembali

pada diri dan pada persekitaran yang dekat bukanlah halangan untuk maju. Ia hanya satu

pengunduran berhelah untuk meletakkan Melayu kembali di atas landas dan paksinya yang

sebenar.

Tidak ada ruginya berbuat begitu. Sama juga dengan tidak ada untungnya menggilai

kemajuan sehingga menggadai nilai nilai yang sedia ada. Kemajuan seharusnya menjadi alat

untuk hidup selesa bukannya untuk menambah bilangan pesakit jiwa. Kerana itu kegilaan

terhadapnya perlu seimbang dengan kegilaan untuk memperbaiki diri.

Inilah kewajipan sebenar pemimpin Melayu. Sebelum mendabik dada mengaku diri sebagai

pejuang bangsa, mereka perlu sedar bahawa kejayaan mereka tidak diukur dengan

kemampuan melambakkan emas di hadapan orang Melayu, sebaliknya akan dinilai dengan

kesungguhan dan kemampuan mereka merawat Melayu daripada penyakit-penyakitnya.

Sesungguhnya, kejayaan tidak akan memberi apa-apa makna pada orang yang sedang sakit.

Sebaliknya ia hanya akan menyebabkan mereka menjadi bertambah sakit.

Usaha merawat penyakit-penyakit Melayu tidak akan menjadi sukar jika ilmu diletakkan

pada asas yang betul. Dan asas itu tidak akan menjadi betul selagi ilmu dicampur adukkan

dengan politik. Tindakan memencilkan tokoh-tokoh Melayu tertentu daripada menjadi bacaan

di sekolah misalnya, semata-mata kerana perbezaan fahaman politik, bukanlah amalan yang

menguntungkan. Sama juga seperti tindakan memencilkan institusi-institusi ilmu yang

mendukung fahaman politik yang berbeza.Ia hanya memberi gambaran tentang kurangnya

nilai rasional kita, yang akhirnya akan menyumbang pada pembentukan generasi yang tidak

rasional juga.

Perspektif orang Melayu terhadap politik perlu diperbetulkan. Mereka perlu diasuh semula.

Mereka harus disedarkan bahawa politik seharusnya dijadikan senjata untuk menghadapi

orang lain, bukannya dijadikan racun untuk saling bunuh-membunuh sesama sendiri.

Pemimpin atau bakal pemimpin itu perlu menginsafi, dan menganjurkan keinsafan yang sama

kepada semua Melayu akan hakikat bahawa Islam menganjurkan usaha mencari titik temu

bukannya mencari titik perbezaan. Amalan-amalan serang—menyerang sesama sendiri perlu

dihentikan. Perdebatan untuk mencari siapa yang betul perlu ditamatkan. Ia tidak akan

menguntungkan sesiapa, sebaliknya merugikan semua.

Kita tidak boleh berkata Islam dan Melayu saling bertaut. Islam tidak memerlukan Melayu

untuk hidup, tetapi Melayu amat memerlukan Islam. Keperluan itu sudah tentu bukan setakat

untuk dijadikan hiasan dan tempelan. Ia adalah keperluan lahiriah dan batiniah.

Melayu memilih Islam dan kekal di dalam Islam kerana yakin agama Allah itu boleh

membawa kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Keyakinan itu tidak pernah susut, tetapi

perilaku mereka jelas mencemarkan keyakinan tersebut.

Amalan itu perlu dihentikan. Selepas mereka ‘diperkenalkan’ kepada diri sendiri, Melayu

sepatutnya ‘diperkenalkan’ semula kepada agamanya. Mereka harus disedarkan bahawa

Islam telah membekalkan mereka dengan kelengkapan yang cukup untuk menangkis apa

sahaja ancaman, tidak kira sama ada ianya sebahagian daripada pascamodenisme atau pun

tidak.

Penawar paling mujarab yang disediakan oleh Islam ialah kitab suci Al-Quran. Di Malaysia,

orang Melayu beruntung besar kerana penawar itu tidak berpeluang digunakan oleh yang

bukan beragama Islam. Majoriti bukan-Melayu di Malaysia termasuk kategori ini.

Bagaimanapun, agak malang kerana di kalangan orang Melayu yang beragama Islam sendiri,

penawar itu tidak pernah dimanfaatkan sepenuhnya. Al-Quran tidak dihayati dan didalami

dalam erti kata sebenar.

Kelazimannya, semenjak dari kecil, anak-anak Melayu yang beragama Islam diajar membaca

Al-Quran. Tetapi kelazimannya juga mereka tidak diasuh memahami dan mendalami apa

yang dibaca. Mereka terus-menerus berpegang pada kaedah Baghdadi, yang menganjurkan

hafalan demi hafalan. Hasilnya, sering berlaku mereka boleh membaca sekalipun tidak

mengenal huruf dan maknanya.

Ini juga perlu diperbetulkan.

Pembelajaran Al-Quran tidak patut lagi dianggap tugas sampingan yang tanggungjawabnya

terpikul pada guru agama semata-mata. Ia patut dianggap tugas wajib. Ia perlu mampu

dilakukan oleh semua orang.

Langkah untuk menjadikan pengajian Al-Quran sebagai salah satu subjek wajib di peringkat

awal persekolahan harus diambil. Anak-anak kecil yang masih suci itu mesti diberi suntikan

nilai yang bersifat suci juga, sebelum mereka dicemari oleh pengaruh-pengaruh lain yang

bersifat batil.

Dalam melaksanakan tugas ini, kaedah pendidikan dan pengajaran yang betul harus dijadikan

keutamaan. Bukan lagi satu rahsia bahawa selama ini kebanyakan kanak-kanak, yang

beragama Islam, mempelajari Al-Quran lebih kerana tuntutan keluarga, bukannya kerana

minat yang datang daripada dalam diri mereka sendiri.

Faktor utama yang menyumbang kepada berlakunya keadaan seperti ini ialah, kanak-kanak

itu tidak memahami sepenuhnya apa yang dipelajari. Sikap kita yang tidak menitik beratkan

pembelajaran bahasa Arab menjadikan kebanyakan kita menjadi seperti burung kakak tua,

yang hanya tahu menyebut apa yang diajar, tetapi tidak memahami apa yang disebut.

Tanpa kefahaman sudah pasti tidak akan timbul minat. Dan tanpa kebolehan menguasai

bahasa Arab, kefahaman terhadap Al-Quran hanya akan menjadi satu lagi impian.

Langkah untuk membetulkan semua kelemahan ini perlu diambil segera. Usaha-usaha bagi

menggalakkan pembelajaran dan penggunaan bahasa Arab, bahasa yang telah diangkat oleh

Allah Taala untuk menjadi bahasa Al-Quran, harus segera dipertingkatkan. Jika kita boleh

menghabiskan wang, masa dan tenaga yang banyak untuk ‘membantu’ mendaulatkan bahasa

Inggeris, kenapa tidak boleh melakukan perkara yang sama bagi mengangkat martabat bahasa

kitab suci kita sendiri? Kalau kita berasa kecewa dengan kelemahan anak bangsa kita

menguasai bahasa Inggeris, kenapa kita tidak berasa malu apabila anak bangsa kita bersikap

bena tak bena terhadap bahasa yang menjadi teras kesucian agamanya? Kalau kita takut

bangsa kita tercicir sebab gagal berkomunikasi dengan baik dalam bahasa antarabangsa,

mengapa kita tidak gementar melihat mereka tidak dapat menguasai bahasa yang menjadi

penghubung antara kita dengan alam yang satu lagi?

Kita sedar bahawa, ada ketikanya, wujud prejudis yang luar biasa di sesetengah kalangan

terhadap apa sahaja yang menyangkuti urusan keagamaan. Salah sangka ini tidak hanya

berlaku di kalangan bukan Islam, tetapi juga membabitkan orang Islam sendiri. Mereka,

dalam keadaan tertentu, cenderung untuk menganggap bahawa Islam tidak banyak

menyumbang ke arah kecemerlangan kehidupan.

Salah faham seperti ini boleh diminimumkan jika mereka yang tersilap anggap itu,

berkesempatan memahami ilmu Al-Quran. Di dalam kitab suci itu, mereka akan menemui

jawapan bagi apa sahaja tanda tanya mereka selama ini. Mereka pasti akan sedar bahawa

usaha yang bersungguh-sungguh untuk mendidik orang Melayu, dan umat Islam, di negara

ini mendalami inti pati Al-Quran tidak akan mendatangkan apa-apa kerugian kepada sesiapa,

sebaliknya ia akan menyelamatkan kita daripada terus tenggelam dalam keraguan dan

kekeliruan.

Pelbagai peristiwa yang telah berlaku ke atas kehidupan umat Melayu, dan Islam, di Malaysia

semenjak kebelakangan ini sudah cukup untuk dijadikan isyarat bahawa kita tidak boleh

berlengah-lengah lagi. Kedudukan Al-Quran sebagai sumber ilmu dan penyuluh kehidupan

tidak harus diperlekehkan. Martabatnya harus diangkat dan dimuliakan. Dalam melaksanakan

matlamat itu, sebarang kekhuatiran politik dan polemik kosong mengenainya perlu

diketepikan. Islam harus diletakkan di atas segala kepentingan lain. Tidak timbul Islam

UMNO, Islam PAS, Islam KEADILAN atau Islam apa pun. Islam sebenar berada di atas

semuanya. Ia tidak boleh diletakkan seiring atau di bawah keperluan-keperluan politik,

kerana selagi kita berbuat begitu bermakna kita telah mencemari kesuciannya.

Ahli-ahli agama memikul tugas penting bagi membetulkan keadaan ini. Mereka perlu

menjadi benteng yang berperanan melindungi kesucian Islam daripada dicabuli oleh sebarang

isme politik yang merugikan. Mereka wajib berusaha mencari titik temu yang boleh

meletakkan semua umat Islam di Malaysia di sebuah meja bulat. Pertentangan-pertentangan

pendapat harus diperbetulkan dengan cara yang penuh hikmah. Persaingan untuk

membuktikan Islam mana yang lebih baik dan lebih betul perlu dihentikan. Perlumbaan untuk

mencari kesalahan sesama sendiri mesti ditamatkan. Kita tidak perlukan itu semua. Yang kita

perlu ialah pembentukan sebuah ukhwah yang kuat. Yang kita mahu ialah kewujudan sikap

saling membetulkan bukan saling menyalahkan.

Beberapa tahun sebelum merdeka, kesemua Melayu-Islam di Malaysia pernah bergerak

sebagai sebuah pasukan. Sebelum Perang Dunia Kedua pula, golongan nasionalis dan agama

sama-sama memainkan peranan untuk menggabungkan Melayu. Ketika itu titik yang

mempertemukan mereka ialah keinginan untuk membebaskan diri daripada penjajahan.

Titik temu yang sama sebenarnya masih boleh digunakan. Cerita tentang penjajahan bentuk

baru bukanlah dongeng ciptaan untuk menakutkan sesiapa. Proses kolonialisme itu memang

sedang berlaku dengan pesatnya. Usaha-usaha ke arah pembentukan sebuah empayar baru

yang sangat besar sedang berjalan.

Menanamkan kesedaran di kalangan umat Islam tentang wujudnya ancaman penjajahan ini

adalah tugas wajib setiap ulama. Dalam konteks Malaysia, langkah itu bermakna turut

melindungi Melayu.

Bagi membangkitkan kesedaran itu, ahli-ahli agama tidak perlu menjadi harimau yang

menghamun orang lain atas nama kebenaran. Mereka juga tidak perlu menjadi tekukur yang

hanya mengiakan cakap orang demi kerana mahu menjaga kedudukan. Mereka perlu bijak

untuk menempatkan diri di antara kedua-duanya. Mereka perlu bijak untuk mencipta

persepakatan bukannya pintar memecah-belahkan. Mereka mesti berani kerana benar.

Dalam menginsafi hakikat bahawa kerja ini memang payah, kita juga harus mempunyai

keyakinan bahawa ianya mampu dilaksanakan. Allah tidak akan mensia-siakan usaha yang

baik. Tetapi usaha yang baik sudah pasti akan terjejas keberkesanannya jika dilakukan secara

berasingan untuk kepentingan individu dan kumpulan.

Selain daripada pemimpin dan ahli agama, kumpulan elit Melayu mempunyai tanggungjawab

moral yang sangat besar bagi melaksanakan misi menyelamatkan bangsa ini. Mereka

mempunyai keupayaan, fizikal dan mental, untuk memandu anak bangsa mereka ke hadapan.

Mereka harus ingat bahawa mereka tidak mungkin berada pada kedudukan sekarang kalau

bukan kerana mereka Melayu, dan jika bukan kerana berpeluang menggunakan Hak

Keistimewaan Melayu. Ertinya, banyak atau sedikit, mereka terhutang pada setiap Melayu.

Hutang itulah yang perlu dilunaskan.

Umumnya, Melayu marhain tidak mengharapkan sedekah material daripada kumpulan

Melayu elit Itu. Meminta-minta bukan perangai Melayu. Nenek moyang Melayu berupaya

meneroka dan memugar belantara tanpa perlu bergantung pada subsidi daripada sesiapa.

Yang mereka perlukan cuma peluang dan kesempatan.

Terlalu banyak yang boleh disumbangkan oleh golongan Melayu elit ini. Ilmu dan

pengalaman mereka sahaja sudah menjadi aset yang amat berharga, dan akan berkali ganda

menjadi lebih berharga, jika bersedia dikongsi dengan anak bangsa sendiri. Inilah yang sering

dilakukan oleh golongan elit bukan-Melayu. Mereka mencari kejayaan dan kekayaan,

kemudian mengagihkannya dalam pelbagai bentuk, nyata dan tidak nyata, kepada kaum

mereka. Sebaliknya, inilah pula yang jarang dilakukan oleh elit Melayu. Mereka bagaikan

takut hendak berkongsi dengan bangsa sendiri. Mereka seakan bimbang perkongsian itu akan

menyebabkan Melayu lain menjadi lebih besar dan lebih hebat daripada mereka. Sebaliknya,

mereka tidak bersikap begitu apabila berkongsi dengan orang lain. Mereka tidak bimbang

terhadap kemungkinan orang lain yang menjadi rakan kongsi mereka itu lebih berjaya. Entah

siapa yang mengajar mereka sehingga percaya bahawa merelakan kejayaan orang lain itu

lebih mulia daripada mendoakan kejayaan bangsa sendiri.

Elit Melayu jenis ini adalah elit yang sakit. Keadaan mereka tidak banyak bezanya dengan

bohsia dan bohjan di kaki lima. Mereka tidak menyumbang apa-apa kepada bangsa selain

daripada contoh buruk yang berterusan.

Tanpa perlu menamakan mana-mana pihak, kita berharap benar supaya setiap organisasi yang

dianggotai oleh kumpulan elit Melayu bergerak seiring dan bersepadu untuk menangani isu

besar ini. Mereka tidak perlu memulakannya daripada bawah, tetapi boleh melakukannya dari

atas. Sebagai idola bangsa, pada setiap masa mereka sentiasa menjadi contoh dan teladan.

Tiap yang mereka lakukan akan menjadi perhatian. Jadi adalah menjadi kewajipan mereka

untuk saling mengingatkan sesama sendiri supaya hanya melakukan yang terbaik dan yang

baik-baik, bukannya mempamerkan keserekahan dan haloba yang berterusan. Mereka sesama

mereka perlu mengikis hasad dan iri hati.

Sumbangan yang berbentuk moral begitu adalah lebih besar manfaatnya daripada sumbangan

berunsur material. Memang benar, setiap yang bersifat material itu penting. Tetapi

sumbangan material itu tidak akan memberi sebarang erti jika sekadar dijadikan perisai untuk

melindungi keruntuhan moral si penyumbang, atau lebih buruk lagi jika dijadikan umpan

untuk memancing projek menjual bangsa.

Komitmen pemimpin yang baik, peranan alim ulama yang bertanggungjawab dan sumbangan

elit Melayu yang menginsafi nasib bangsanya masih berpotensi untuk menjadi kerja yang sia-

sia jika semua manusia Melayu di peringkat akar umbi tidak memberi reaksi balas yang

betul.Ini bermakna tanggungjawab kita, Melayu yang bukan pemimpin, bukan ahli agama

dan bukan elit, juga sama besarnya dengan kewajipan mereka. Sebagaimana telah ditegaskan

berkali-kali, kitalah penentu hala tuju dan masa depan kita. Kitalah yang akan menentukan

sama ada Melayu akan terus tegak bersama ketuanannya atau akan perlahan-lahan hilang

daripada senarai bangsa-bangsa utama di dunia.

Kita perlu bangkit. Perlu bergerak. Lontarkan jauh-jauh tabiat lama. Keluarkan diri daripada

cengkaman kemalasan, dengki khianat, iri dan kesumat. Tinggalkan tabiat suka berhutang

dan malas membayar hutang. Lupakan kebiasaan berfoya-foya, mengada-ngada dan

meminta-minta. Berusahalah dengan sungguh-sungguh tanpa mengharap payung dan

pelindung. Tidak mengapa kalau sedikit tamak, tetapi janganlah sampai menjadi haloba.

Jadikan yang sebangsa itu kawan bukannya lawan. MULAKAN DARI SEKARANG!


Recommended